Meskipun orang ramai kurang mengibarkan bendera Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan kali ini (2023) seperti mana berkibarnya bendera-bendera parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 lalu tetapi itu bukan penghalang untuk rakyat Malaysia membuktikan semangat cinta kepada tanah air. 

Buktinya? Lihat sahaja jumlah kehadiran iaitu lebih 100, 000 orang hadir bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 bertemakan  'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan'. 

Lebih membanggakan apabila orang ramai telah hadir ke Dataran Putrajaya seawal jam 10 malam bagi mendapatkan tempat yang sesuai bagi melihat perarakan serta persembahan pada keesokan hari. (31 Ogos 2023).


Biarpun hujan turun namun orang ramai masih setia menunggu di kawasan mereka. - Kredit foto: Amirul Fazli


Ini membuktikan rakyat Malaysia masih mempunyai semangat patriotik dalam diri dan mereka hadir sebagai tanda memberi sokongan kepada hari bersejarah negara.  

Bahkan ketika hujan mula membasahi kawasan persekitaran, orang ramai sanggup menunggu  dan setia menanti tanpa bergerak meninggalkan tempat. 

Meskipun acara bermula jam 8 pagi namun kebanyakan tempat sudah dipenuhi orang ramai sebelum jam 6 pagi lagi. 

Keadaan di Putrajaya terutama kawasan tempat letak kenderaan menjadi begitu sesak meskipun ada yang hadir seawal jam 4.00 pagi. 


Kebanyakan tempat sudah dipenuhi orang ramai dan mereka membuktikan semangat patriotik dalam diri mereka. - Kredit foto: Amirul Fazli. 


Kehadiran orang ramai sehingga tempat duduk penuh dan ada yang terpaksa berdiri bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan. - Kredit foto: Amirul Fazli. 


Pengorbanan sanggup datang awal ternyata berbaloi apabila dapat melihat lebih dekat persembahan dari pembarisan dan perarakan, pertunjukkan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Selain itu ia turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat Malaysia (TDM), aksi terjunan tepat VAT69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), pancaragam dan persembahan khas Hari Kebangsaan. 


Antara aksi terjunan tepat VAT69 Komando PDRM yang menjadi tarikan utama. - Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia. 


Untuk pembarisan dan perarakan mencatat jumlah paling besar apabila melibatkan 17,262 orang selain 534 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta aset haiwan sebanyak 100 ekor turut dipersembah kepada orang awam.

Ketika sesi aset kenderaan penguat kuasa ditayangkan serta pertunjukkan udara, jelas kelihatan keceriaan para penonton. 

Acara tahunan ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri dan isteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan isteri, serta ahli-ahli Jemaah Menteri dan isteri. - KitaReporters


Tentera Darat Malaysia (TDM) antara kontijen yang memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2023. - Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia. 

13
10
0
16
0

Copy Link: