IKRAM Malaysia akan bersama rakyat Malaysia bersolidariti bersama Palestin melalui Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024 (Ahad) sebagai tanda sokongan padu kepada perjuangan mereka yang terus ditekan oleh negara Zionis Yahudi apatah lagi dengan jenayah pembunuhan ke atas Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sebagai peristiwa sangat tragik dan kejam.

Perhimpunan aman  itu dijangka menghimpunkan lebih 15,000 rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti parti politik, pemimpin agama dan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat berbilang kaum dan agama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir pada perhimpunan yang dijadualkan bermula pukul 8 malam itu dan menyampaikan Pidato Kemuncak Himpunan Palestin Merdeka.

Anwar Ibrahim akan menyampaikan Pidato Kemuncak sempena Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.


Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, Shahrul Aman Mohd Saari, berkata pihaknya akan berusaha menggembleng dan memastikan seramai mungkin ahli di negeri dan kawasan dapat hadir bagi memastikan solidariti kepada rakyat Palestin dan sokongan terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.  

Beliau berkata, sebagai ahli jawatankuasa penganjur di bawah gabungan Ops Ihsan, pihaknya yakin dapat mengumpulkan di antara 1,500 hingga 3,000 ahli IKRAM di kawasan dan negeri dapat hadir di perhimpunan itu.

"IKRAM Malaysia senada dengan kerajaan dalam isu Palestin dan kami sentiasa memberi sokongan padu dan solidariti kepada perjuangan mereka yang tertindas di bawah rejim Zionis sejak 75 tahun lalu.

"Perhimpunan Palestin Merdeka ini juga sebagai menyatakan bantahan dan kesedihan susulan pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Asy-Syahid  Ismail Haniyeh, baru-baru ini yang dianggap satu tindakan tidak berperikemanusiaan.

"Pembunuhan itu jelas bertujuan menggagalkan rundingan gencatan senjata sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza," katanya dalam satu kenyataan akhbar di Kuala Lumpur. 

Shahrul Aman Mohd Saari


Ismail Haniyeh bersama seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Tehran.

Sebelum ini, Himpunan Malaysia Bersama Palestin pernah diadakan di Bukit Jalil, pada 24 Oktober 2023 yang menghimpunkan lebih 15,000 hadirin yang berpakaian serba putih, bagi mempamerkan sokongan mereka kepada rakyat negara Timur Tengah itu yang berterusan dihimpit kesukaran akibat penindasan rejim Israel.

Beliau yakin, perhimpunan ini membuka ruang untuk semua pihak bersama-sama bersolidariti, dan ia menjadi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa pendirian rakyat Malaysia terhadap isu Palestin tidak berubah, dan usaha seperti ini akan diteruskan sehingga Palestin menjadi sebuah negara merdeka.

Orang ramai yang hadir di Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Bukit Jalil, pada 24 Oktober 2023 mengibar bendera Palestin sebagai tanda sokongan kepada perjuangan mereka yang tertindas sejak 75 tahun lalu.


Beberapa pemimpin kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dijangka hadir.

Hadirin beragama Islam akan menunaikan solat maghrib berjemaah yang diimamkan, Sheikh Rami As-Sousi manakala tazkirah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman.  

Pelbagai acara akan diadakan sempena perhimpunan itu, antaranya pidato solidariti Palestin, persembahan puisi daripada pengacara TV3 Fedtri Yahya, persembahan anak-anak Pusat Belajar Alternatif Jasmine ash-Sham, puisi disampaikan Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, lagu-lagu patriotik oleh Faizal Tahir, video balasungkawa Ismail Haniyeh dan doa Qunut Nazilah.  

Beliau memohon ahli IKRAM memakai baju putih sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin dan berharap seramai mungkin dapat menawarkan diri menjadi petugas sempena peristiwa bersejarah itu. 

Mereka boleh mengisi borang di link https://forms.gle/pmwtKCf32pQBSje29 dan menghubungi emel MalaysiaBSAMAPalestin@gmail.com untuk maklumat lanjut. - KitaReporters


Sebahagian rakyat beragama Islam yang hadir di JHimpunan Malaysia Bersama Palestin di Bukit Jalil, pada 24 Oktober 2023 bersolat maghrib secara berjemaaah.  

15
18
0
13
0

Copy Link: