Kredit foto: CGTN.com


Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk memperkukuh hubungan dengan China, MAPIM berpendapat persoalan etnik Uighur (Uyghur) Muslim di Xianjiang perlu disuarakan.

MAPIM mengusulkan Malaysia menggunakan pendekatan diplomasi yang berhikmah untuk menyatakan pandangan agar pihak kerajaan China menghentikan konflik dengan etnik Uighur. Sesungguhnya hak etnik Uighur untuk hidup aman, mengamalkan budaya dan agama mereka perlu disuarakan.

Malaysia boleh bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan isu berkaitan dengan baik.



Sebagai negara Muslim yang dihormati, suara Malaysia boleh menjadi suara pendamai demi keamanan untuk kedua-dua pihak.

Kerajaan China yang menjalin hubungan dengan banyak negara Islam yang lain perlu mengambil berat terhadap keprihatinan umat Islam terkait dengan isu Uighur.

MAPIM mengusulkan supaya Malaysia mewakili suara umat Islam supaya keamanan dan kedamaian rantau dapat diwujudkan.

Negara Islam dalam OIC memerlukan Malaysia menjadi pendamai kerana status Malaysia sangat dihormati.

Isu Uighur tidak boleh dinafikan sudah berpanjangan dan ia menjadi konflik yang terlalu lama. 

Nasib mereka yang menjadi pelarian di banyak negara seperti Turki adalah akibat mereka berhadapan dengan polisi kerajaan China yang keras dalam menangani isu terorisme yang dituduh etnik Uighur terlibat.

Laporan mengenai pelanggaran hak manusia harus ditangani dengan meminta agar kerajaan China melakukan perubahan dasar yang lebih manusiawi.

Sudah sampai masanya proses damai digerakkan. Suara Malaysia harus konsisten agar nasib Uighur terbela. 

Keinginan China melabur di Malaysia dialukan namun isu Uighur tidak harus diketepikan.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)



12
14
0
5
0

Copy Link: