Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa dunia Islam agar mempamerkan solidariti yang lebih besar dan lebih kuat terhadap warga Palestin dan tidak hanya melalui retorik.

"Dunia Islam mesti mempamerkan solidariti yang lebih besar terhadap warga Palestin – tidak sekadar melalui retorik, tetapi dengan tindakan yang kolektif, usaha diplomatik yang sistematik dan berterusan, serta dukungan ekonomi.

"Pembunuhan beramai-ramai, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan warga Palestin menuntut lebih daripada sekadar kecaman. 

"Dunia Islam mesti komited dalam menyediakan dukungan dalam aspek pendidikan, hak dan akses kepada kesihatan dan infrastruktur serta mesti melonjak suara mereka di setiap platform antarabangsa," tegas Perdana Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Manama, Bahrain pada 19 Februari 2025.

Anwar diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua negara bagi menyampaikan ucapan dan berkongsi pandangan bersama para ulama serta sarjana Islam pada IIDC itu.

Katanya, platform ini dimanfaatkan dalam menggesa agar kumpulan ini bersatu dalam menangani isu sektarianisme dengan mengambil tindakan konkrit bagi mendukung Palestin dan Syria.



"Saya tegaskan bahawa eksploitasi sektarianisme digunakan sebagai senjata membakar ketegangan yang akan hanya memecahbelah masyarakat serta melemahkan kerjasama politik, sekali gus menjauhkan kita dari kesatuan yang didambakan.

"Alhamdulillah, ucapan saya ini senada dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, yang menggesa agar sarjana dan kepemimpinan dunia Islam untuk memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai ummah yang bersatu, selain menolak budaya fanatisme agama yang kian mengakar," jelas beliau.

Selain Palestin, Perdana Menteri juga menyampaikan pandangan bahawa Syria berpotensi menjadi model bagi usaha perdamaian dan rujukan selain menggesa dunia Islam untuk sama-sama menyusun masa depan mereka. 

"Tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria bukan sahaja membawa harapan kepada rakyat Syria, tetapi juga peluang bagi seluruh ummah.

"Insya-Allah, biar sejarah mencatat bahawa – melalui tindakan, integriti, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi – kita sememangnya satu ummah, dengan satu tujuan yang sama," kata Anwar lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


19
13
0
11
0

Copy Link: