Langkah strategik, amat diperlukan! Bina semula infrastruktur Gaza! MAPIM sambut baik pengumuman PM!
Published by.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia mengenai komitmen negara dalam usaha pembangunan semula Gaza, termasuk pembinaan sekolah, hospital dan masjid.
MAPIM melihat inisiatif ini sebagai langkah strategik dan amat diperlukan bagi membina semula infrastruktur asas yang telah musnah akibat serangan berterusan di Gaza.
Keprihatinan Malaysia dalam membantu rakyat Palestin amat dihargai dan selari dengan usaha kemanusiaan yang selama ini diperjuangkan oleh MAPIM.
Sebagai sebuah badan yang aktif dalam misi bantuan kemanusiaan di Palestin, MAPIM bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan ini dapat berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat Gaza.
Sementara itu Majlis MAPIM telah melancarkan kempen untuk menyediakan 5,000 khemah bagi penduduk Gaza sebelum bulan Ramadan yang akan datang.
Kempen ini bertujuan untuk memberikan tempat tinggal sementara kepada mereka yang kehilangan rumah akibat keganasan Israel yang berterusan.
Pergerakan lebih sejuta penduduk Gaza dari daerah Khan Yanis di selatan ke Beit Hanon, Jabalya, Nuseirat di utara Gaza kini, berharap akan melihat kediaman mereka yang telah hancur dan berusaha dibangunkan semula sedikit demi sedikit.
Mengikut maklumat pejabat Media Kerajaan Gaza, warga Gaza memerlukan 135,000 khemah dan karavan kerana kemusnahan kediaman oleh serangan tentera penjajah Israel selama 471 hari telah mencecah 90%.
Gaza menyeru seluruh pertubuhan antarabangsa dan negara Arab segera menyalurkan bantuan.
MAPIM dan Pertubuhan Alkhair Malaysia mengambil inisiatif menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong usaha ini dengan menyalurkan sumbangan melalui saluran rasmi mereka.
Kami merayu agar rakyat Malaysia bersama-sama menyokong usaha murni ini dan menunjukkan solidariti yang konkrit terhadap penderitaan yang dialami penduduk Gaza.
MAPIM juga menyeru masyarakat Malaysia untuk terus memberikan sokongan dalam bentuk sumbangan dan doa bagi memastikan rakyat Palestin mendapat kehidupan yang lebih baik dan bermaruah.
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)