SAYA terpanggil untuk menyahut seruan Pemangku Menteri Pendidikan untuk rakyat memberi teguran serta cadangan membina, agar pendidikan negara dapat diperbetulkan supaya tidak menyimpang dari hasrat murni yang semua idam-idamkan, iaitu satu sistem pendidikan yang berkualiti dan mantap. : Dr Badhrulhisham Abdul Aziz 


Saya ingin memulakan dengan pendidikan tinggi, yang mana ianya adalah kemuncak sistem pendidikan yang amat rapat dengan pembinaan negara melalui pembentukan modal insan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Kepincangan yang berlaku di IPT telah mendapat perhatian ramai, baik dari masalah halatuju dan juga pelaksanaan.

Kita tidak perlu ulang mengenai semua kepincangan ini, tetapi memadai dengan memberi beberapa perkara utama yang perlu ditangani segera.

Perkara yang paling utama dan pokok adalah untuk memastikan kepimpinan tertinggi di IPT, terutamanya IPTA dipilih dari mereka yang benar-benar layak dari segi pentadbiran dan mempunyai sahsiah atau keperibadian yang unggul.

Lantik mereka dengan ciri-ciri ‘qawi’ (kuat) dan ‘amin’ (jujur) sebagaimana yang disebut dalam al-Quran.

Walaupun sering dicanang-canangkan oleh bekas Menteri Pelajaran lepas, bahawa sistem pemilihan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor adalah telus dan berintegriti yang dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa pemilih, namun realitinya campur tangan politik dan Menteri sendiri berlaku sehinggakan terdapat andaian beberapa pemilihan tidak dilakukan dengan telus untuk mendapatkan calon yang terbaik.

Ini berlaku bukan sahaja dalam zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), malah juga dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Yang kedua, masih lagi berkait rapat dengan sumber manusia adalah tenaga pengajar akademik dan juga tenaga pentadbiran yang berwibawa.

Ini dapat dilakukan jika kerajaan memberi tumpuan dengan membuat pelaburan sewajarnya dalam mewujudkan tenaga akademik yang berkualiti tinggi dan minda kelas pertama.

Banyak wang yang dibelanjakan untuk pembangunan fizikal univeristi tetapi amat kurang untuk pembangunan tenaga akademik yang berkaliber.

Sepatutnya yang terbaik atau ‘cream of the cream’ yang dipilih menjadi tenaga akademik supaya pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan berada pada tahap yang terbaik.

Perkara yang ketiga, yang tidak kurang pentingnya adalah mewujudkan satu kehidupan kampus yang kondusif dan memberansangkan untuk pelajar di IPT.

Ini termasuk mewujudkan bilik dan dewan kuliah yang sempurna, asrama yang lengkap dan moden, sistem pengangkutan yang efisien, peralatan makmal bertaraf dunia, kemudahan sukan dan rekreasi serta kelengkapan internet dan kemudahan perpustakaan yang mencukupi.

Tambahan lagi, perkhidmatan oleh pihak hal-ehwal pelajar mestilah ‘tip top’ dan melayan mahasiswa sebagai orang dewasa dengan peraturan-peraturan yang munasabah.

‘Campus life’ yang cemerlang akan membentuk generasi muda yang gemilang.

Akhir sekali, pastikan kebebasan akademik terjamin dan tidak menjadikan politik mengongkong warga universiti.

Siapa sahaja yang memerintah dan mentadbir negara, jadikan IPT sebagai tempat yang setaraf dengan ciri utamanya iaitu mencari dan mempertahankan kebenaran.

Sekiranya politik mewarnai kampus, maka negara akan kerugian dari matlamatnya dalam melahirkan satu generasi yang terpelajar, berfikiran matang dan insan yang mempunyai kekuatan jatidiri sebagai manusia berminda kelas pertama.

DATO' IR TS DR BADHRULHISHAM ABDUL AZIZ

Presiden BERJASA


Rencana ini disiarkan dalam  https://www.ismaweb.net/2020/01/16/berjasa-cadang-reformasi-pendidikan-kepada-dr-m/

0
0
0
0
0

Copy Link: