MAHUKAN KESEJAHTERAAN SOSIAL, EKONOMI
Published bySEBELUM membaca seterusnya, letak tepi kegagalan kerajaan melunaskan janji manifesto sebab isu ini majoriti rakyat yang rasional sudah menerima hakikat semua yang dijanjikan itu sudah ke longkang. : Nizam Isa
Harus diingat akhir-akhir ini pemimpin kerajaan dilanda masalah moral dan akhlak.
Di saat rakyat menderita akibat kenaikan kos hidup, hilang punca pendapatan, tekanan kehidupan dan pelbagai musibah, zikir "Najib" dan alasan menyalahkan pentadbiran yang lepas bukan formula menyelesaikan masalah dan menenangkan hati rakyat.
Pemimpin kerajaan yang terlibat (dan tertangkap) dalam masalah akhlak serta moral, yang berzumba dan berseronok melepaskan tempias "nafsu perut dan bawah perut" menambahkan keresahan rakyat yang berhempas-pulas untuk meneruskan kehidupan selepas PRU14.
Rakyat tidak akan terkesima lagi dengan hujah-hujah keilmuan, dengan memetik falsafah serta teori yang gah retoriknya tetapi kosong pengisiannya.
Memetik puisi klasik, menyebut nama-nama besar sarjana Asia seperti Buya Hamka, bersulamkan penulisan Covey, dan menjadikan Qardawi sebagai pelindung tidak akan menyelesaikan soal "bread and butter".
Ia hanya membuktikan golongan ini mirip ke arah "intelectual elitism" yang syok sendiri dalam alam khayalan kesempurnaan dunia, walaupun akhlak dan moral sendiri menjadi masalah dalam jiwa.
Majoriti rakyat mahukan penyelesaian.
Langkah penjualan aset-aset strategik negara, pinjaman ratusan juta ringgit, langkah pengurangan kos pentadbiran, pelantikan ketua-ketua baru dalam GLCs serta program yang dilaksanakan nampaknya masih gagal menyelesaikan kemelut ini.
Dividen ASB dan Tabung Haji (sekadar menjadi contoh) mencatatkan kadar terendah dalam sejarah penubuhannya.
Bursa saham merudum dan dinobatkan sebagai pasaran saham terburuk di rantau ini.
Menteri Kewangan masih bermimpi dengan idealismnya yang tersendiri. Melepaskan dendam terhadap institusi lama yang dianggap musuh keturunan dan keluarga.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi menghadapi kemelut persepsi yang menyentuh soal akhlak dan "sexual standing"nya. Menteri-menteri lain sibuk menikmati kehidupan baru yang empuk. Ada juga yang lebih sibuk menjawab trolling netizen terutama mantan PM lebih dari melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka.
Tun Mahathir Mohamad ketika menjadi PM4 meletakkan dirinya dan negara di persada yang ulung.
Bagaimanapun kali ini dalam usia yang amat senja, negarawan ini nampaknya terpaksa berhadapan dengan persepsi buruk yang lakukan oleh menteri-menterinya sendiri.
Apa yang PH lakukan kepada BN terutama DS Najib Razak kini melanda pakatan longgar ini.
Saya teringat ketika Tun M dan BN menghadapi cabaran Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif dahulu.
Yang sering didendangkan sebagai serangan kepada APU dan BA dahulu ialah, "tidur sebantal, mimpi lain-lain".
Inilah yang berlaku dalam PH.
Impian menjatuhkan Najib dan BN telah tercapai. Malangnya, kecuali yang seorang dua yang punya kepintaran, hilang arah tuju seterusnya.
Harapan Tun M sebenarnya terletak pada PBBM, yang sebahagian besar mempunyai pengalaman luas kerana mereka adalah bekas pemimpin UMNO.
Ini termasuk yang melompat setelah UMNO/BN tumbang. Malangnya mereka ini bukan sahaja tidak boleh diterima oleh rakyat, kerana unsur pengkhianatan, tetapi juga ditolak oleh DAP dan PKR yang merupakan majoriti dalam PH.
Apa yang dihadapi kerajaan sekarang ialah kegagalan mentadbir. Kegagalan inilah yang menyebabkan rakyat menderita.
"Kelaparan dalam keamanan, susah dalam kemakmuran dan derita dalam kesenangan".
Yang pastinya jurang ekonomi semakin besar. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah papa.
Kerajaan harus menangani masalah "bread and butter". Fokus utama ialah kesejahteraan rakyat. Bukan memberi alasan.
Kalian mewarisi satu kerajaan yang dikatakan dipimpin oleh kleptokrat, tetapi adakah wajar kerajaan kleptokrat diganti dengan sebuah pentadbiran kakitokrasi atau mengamal unsur-unsur nepotisme ibarat sebuah kerajaan "feudal".
Lantaklah teori apa pun, kleptokrat, kakitokrasi, nepotisme, kronisme atau diktatorship sekali pun. Yang penting kesejahteraan rakyat.
Kita tidak boleh hidup dalam dunia sempurna yang pemerintahnya seperti Khulafaq Ar Rasyidin.
Rakyat hanya mahukan kesejahteraan sosial dan ekonomi yang meletakkan bumbung di atas kepala mereka serta makanan di atas meja.
Dan yang utama janganlah kegagalan ini disorok dengan mewujudkan ketegangan antara kaum.
NIZAM ISA
Bekas wartawan dan bekas pengarah media dan komunikasi, Pejabat Menteri Besar Perak.
Rencana ini disiarkan dalam https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10217802462348159&id=1080014148&__tn__=K-R