SEBAGAI PENYAMBUNG SUARA KERAMAT BANGSA
Published byAssalamualaikum dan Selamat Tahun Baharu 2020. Dengan ketibaan tahun 2020, dengan rasa rendah diri dan besar hati, saya memaklumkan pelancaran sebuah portal politik bernama Utusan.Press (http://utusan.press).
Ini portal kedua yang dilancarkan selepas KitaReporters.com pada pertengahan Ogos 2019.
Portal yang khusus kepada kolumnis, rencana, agama, video dan grafik berkenaan politik ini merupakan satu usaha ke arah kesinambungan perjuangan Suara Keramat Bangsa ekoran penutupan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad pada Oktober 2019.
Perjuangan memartabatkan agenda Alif Ba Ta ini, nampaknya telah disahut oleh beberapa portal lain.
Maka, mengapa perlu satu lagi portal yang menyahut agenda Agama, Bangsa dan Negara ini.
Secara mudahnya, lebih banyak lebih meriah. Lagi banyak portal diwujudkan, maka segala perkara yang menyentuh kedudukan dan kepentingan Agama, Bangsa dan Tanah Air yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dapat diperjuang dan dipertahan dengan lebih kuat serta meluas.
Portal Utusan.Press, selain berhasrat menjadi Penyambung Suara Keramat Bangsa, juga berharap dapat meneruskan tradisi Penyebar Fikiran Rakyat mengenai masa depan serta hala tuju negara Malaysia dan warga Malaysia.
Maka, wadah politik ini diharapkan untuk menambah lagi wacana politik yang bersifat positif, produktif serta konstruktif sebagai sumber perbincangan dan perbahasan.Semoga Allah permudahkan serta berkati rancangan dan usaha ini.
Terima Kasih
Gamal Nasir Mohd Ali
Pengarang UtusanPress
P/S: Mereka yang mahu menyumbang kolumnis, rencana, agama, video dan grafik bolehlah emelkan sumbangan mereka kepada saya di emel seperti di atas