Perihal Melayu: Kalau ada yang bertanya, inilah jawapannya!
Published by
Utusan.Press
--title--
PERIHAL MELAYU Oleh IR DR ZAINI UJANG (Kumpulan Puisi Datuk Seri Zaini Ujang, KALAU ADA YANG BERTANYA, terbitan ITBM Oktober, 2019)
PASAL I
Bangsanya melaut ramai asalkan Islam dan berbudaya Melayu
Bahasanya indah bersulam Arab, Inggeris dan pelbagai suku kaum
Agamanya tegar Islam, tiada yang selain dan selayaknya
Negaranya Malaya, membentuk persekutuan Malaysia
Buminya Tanah Melayu, menjadi sebutan Semenanjung Malaysia
Ketuanya Raja dan Sultan, disusuli memanda menteri dan barisan orang kenamaan
Patuhnya bersyarat: Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah
Cintanya pada tanahair, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Wanitanya ayu dan lelakinya kacak, berkulit sawo matang, putihnya kuning langsat, hitamnya manis
Sifatnya beradab, patuh, taat, pemurah, pemaaf tetapi pelupa; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Sayangnya beragam, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan
Pengajiannya berpada dan bertertib, kalau salah tolong tunjukkan
Semangatnya membara, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
PASAL ll
Dilemanya untuk lebih berdaya saing di bumi sendiri
Masalahnya tidak setegar kaum lain untuk bersaing meraih kejayaan duniawi
Lenanya pada kemewahan yang sedikit, mudah lupa daratan
Lalainya pada kejayaan mudah, ali baba dan kekayaan segera, tak kaya oleh emas pembawa, tak gadis oleh kain berselang
Lekanya memilih pemimpin, harapkan pegar, pegar makan padi
Azamnya cepat dingin, rezeki secupak tak kan jadi segantang
Bodohnya suka bergaduh, bertikam lidah, menang sorak kampung tergadai
Heronya si Tuah yang setia, atau si Jebat yang derhaka
PASAL lll
Majunya pada pendidikan, dari buian hingga ke liang lahat; belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab
Martabatnya pada kebaktian, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
Mulianya pada perpaduan, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul
Santunnya penuh beradat, adat bersendi syarak, syarak bersendi hukum
Gagahnya kerana kesepakatan, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
PASAL IV
Majulah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Belajarlah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam.
Berusahalah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!
DATUK SERI IR DR ZAINI UJANG
Pemikir ilmu, pejuang alam sekitar dan penggiat seni
3
0
0
0
0