SAYA terpanggil untuk memberikan kenyataan ini kerana saya melihat kepada petanda yang tidak sihat sedang berlaku di negara kita. Datuk Dr Hussamuddin Yaacub 

Bila isu hiasan tanglung di sebuah sekolah diprotes dan tujuh orang menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) terpaksa turun ke sekolah untuk mempertahankan tanglung, saya melihat ada sesuatu yang tidak kena. Semasa saya kecil, kita bermain tanglung. Kita beli tanglung dan sambut bersama-sama dengan orang Cina.

Saya melihat tindakan tujuh menteri turun ke sekolah untuk menyelamatkan tanglung tidak produktif. Ia hanya menyebabkan orang Islam yang tidak benci tanglung sekarang semakin benci dengan tanglung. Mereka boleh bezakan apabila isu jawi diasak oleh Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) dan pemimpin bukan Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu senyap. Ini menyebabkan orang Melayu marah.

Saya bukan seorang yang cauvinis. Sejarah membuktikan saya dibesarkan dalam kawasan orang Cina. Kawan-kawan saya semua orang Cina, orang bukan Melayu. Saya bersekolah dengan orang bukan Melayu. Jadi saya seorang yang sudah hidup dalam zaman harmoni. Tetapi bila saya lihat keadaan kini, saya rasa wujud pengurusan yang salah oleh kerajaan sekarang. Ia dibawa oleh pengurusan kerajaan yang tidak bagus sebelum ini tetapi tidak ditangani dengan baik oleh pengurusan kerajaan sekarang.

Saya bukan orang politik, bukan seorang pemimpin. Saya hanya seorang penjual surat khabar dan penjual buku. Kenapa saya terpanggil untuk bercakap isu ini? Sebab dalam aplikasi WhatsApp sudah ada pihak mula pungut nama orang hendak berjihad. Ini sangat bahaya. Dengan apa yang berlaku di Iran dan Iraq, semangat orang Islam sedang membara. Saya rasa semua ini perlu dihentikan.

Hentikan semua ini

Pemimpin kena lakukan sesuatu untuk hentikan semua ini. Jangan biarkan. Kita sudah biarkan isu jawi, isu Dr Zakir Naik selama beberapa bulan. Yang menentang adalah pemimpin dalam kerajaan sendiri. Sedangkan isu jawi kerajaan yang cadangkan. Jadi apa semua ini? Seruan saya kepada semua pemimpin, tolong lakukan tindakan yang tepat dan bukannya tindakan bersifat popular semata-mata.

Saya tahu saya mengambil risiko yang tinggi. Saya orang kecil tetapi saya sayangkan negara saya. Saya tidak mahu negara saya terbakar kerana orang Melayu sekarang ini sedang meluat dan marah. Bagi saya isu ini remeh. Isu ini kecil. Apa jadi dengan toleransi yang kita bina bertahun-tahun?

Tetapi sekarang bila timbul isu tiga muka surat untuk memperkenalkan jawi di sekolah dan jawi yang hendak diperkenalkan adalah yang ada dalam logo polis dan wang kertas. Sebenarnya itu cara untuk mengenali negara kita sedangkan wang negara China pun ada jawi. Pengajaran jawi ditentang oleh Dong Zong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) daripada bukan Islam.

Jadi apa yang anda hendak lakukan? Inilah menyebabkan orang semakin tidak yakin kepada PH. Kita pilih PH untuk mengharapkan perubahan daripada tidak baik kepada lebih baik tetapi sekarang kesan paling tidak baik. Dahulu walaupun tidak begitu harmoni tetapi keadaan tidak seteruk sekarang.

Saya keluar untuk memberi seruan kepada pemimpin, kepada rakyat dan media, jangan apikan ini lagi. Jangan sampai terbakar terutamanya portal-portal, kalau netizen itu memanglah kita faham kerana mereka emosi.

Kehidupan mereka susah, ekonomi tidak baik, mereka emosi tetapi portal-portal yang besar mengapi-apikan. Sebagai contoh, kes soalan Dr Zakir Naik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ia satu isu kecil. Soalan dalam subjek etnik dan di peringkat universiti, kita seharusnya terbuka kepada fikiran-fikiran sebegitu tetapi Lim Kit Siang pun komen.

Jadi saya rasa kalau orang macam Lim Kit Siang pun ambil isu kecil yang remeh ini, yang hanya berapa orang ambil peperiksaan itu, tetapi kerana ada hantu yang berkongsi dan diambil oleh portal dan dikomen oleh jaguh-jaguh yang hendak jadi wira kepada bangsa mereka. Mereka jaguh yang berfikiran kecil. Kalau tokoh berfikiran besar, mereka tidak akan buat tindakan seperti itu kerana isu ini remeh. Tetapi dengan sendirinya orang Cina marah. Orang India marah dengan UniMAP. Minta Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berhenti.

Orang Melayu tidak marah ke? Bila kamu semua bercakap, kamu tidak kaji kesannya kerana kamu mahu jadi wira orang Cina, India dan orang Melayu pula membalas nak jadi juara. Jadi untuk sebarang tindakan akan ada kesannya. Jadi hentikan perkara sia-sia ini.

Sepatutnya lagi tinggi kita sebagai pemimpin, lagi bijak. Pemimpin sepatutnya membawa penyelesaian. Isu jawi, isu Dr Zakir Naik, isu UniMAP. Semua itu masalah. Semuanya ada jalan penyelesaian. Jalan penyelesaiannya adalah bertimbang rasa. Kalau kita biarkan selama 20 bulan didebatkan secara terbuka dan pemimpin-pemimpin yang berotak kecil komen dengan mulut yang lantang menyebabkan isu menjadi besar dan membakar semangat orang Cina yang tidak faham isu jawi itu tiga muka surat, mereka ingat hendak tukar agama ke?

Semasa kecil saya dibesarkan dalam 90 peratus masyarakat Cina. Saya tidak jadi macam Cina. Hari-hari saya pergi rumah Cina. Kawan saya orang Cina, datang makan rumah saya. Ayah saya ustaz. Mereka tidak masuk Islam. Tetapi kenapa dulu harmoni? Kerana kamu semua main politik perkauman dan sekarang negara sedang hampir terbakar. Anda semua perlu hentikannya. Saya minta maaf. Saya bercakap dalam nada ini. Walaupun saya orang kecil, saya sayang negara saya, saya sayang bangsa saya dan saya yakin majoriti rakyat bersetuju dengan saya. Cuma mereka tidak bercakap.


Isu jawi

Contoh dalam isu jawi yang sebegitu ringan, apa yang kita perlu buat ialah menteri-menteri yang bukan Islam ini perlu perjelaskan kepada Dong Zong. Berapa ramai orang bukan Islam masuk Islam. Lebih ramai orang bukan Islam masuk Kristian. Dan ada orang Melayu yang pindah agama. Tetapi kita besarkan isu kecil.

Saranan saya kita kena bertolak ansur. Hentikan sekarang. Hentikan perbincangan terbuka. Arahkan semua media termasuk Sinar Harian. Saya sanggup dan akur. Sinar Harian kenapa kadang-kadang kita terpaksa jawab sebab media-media lain gasak. Awak tengok sejarah saya selama 40 tahun dalam Kumpulan Karangkraf. Saya buat Watan, Eksklusif. Kita sederhana. Betul kita kritikal tetapi kita bertanggungjawab.

Sekarang keterbukaan media, kualiti wartawan sudah hancur. Dia menulis tidak kira sensitiviti. Tajuk-tajuk juga menghancurkan. Saya seru kerajaan kawal mereka ini.

Sinar Harian sepatutnya, kalau dari segi portal, kita paling tinggi dan saya buat seruan ini bukan saya takut Malaysiakini, The Malaysian Insight. Kami lagi tinggi kedudukannya daripada mereka. Lihatlah rekod media sosial kami. Orang Melayu percaya kepada kita. Orang Melayu mengharapkan kita. Dan mesej saya kepada anda semua bahawa yang memenangkan PH, bukan orang Cina. Yang memenangkan orang PH adalah 10 hingga 15 peratus orang Melayu yang kecewa dengan pentadbiran lama, yang memberi sokongan kepada pentadbiran PH.

Jadi kenapa pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH sunyi senyap dalam isu jawi. Amanah dan PKR tidak bercakap. Membiarkan Dr Maszlee Malik seorang diri. Sedangkan di sebelah sana pemimpin kecil jangan kira, pemimpin negara pun menentang. Jadi kalau betul nak selamatkan negara, kita perlu lakukan sesuatu.

Semua orang terutama pemimpin dahulu kena berhenti bercakap isu ini dan berhenti mengapikan isu-isu ini. Maknanya kita kena rasional dan tawarkan penyelesaian.

Bagi saya senang, Dong Zong sudah berapa puluh tahun lamanya berkeras dalam isu ini dan sekarang tengok apa jadi, kesannya semakin buruk.

Tengok negara lain. Saya bukan chauvanis tetapi pergilah ke Thailand. Orang Cina ke, orang India ke, orang Pakistan ke, orang Pashtun pun. Semua cakap Siam, boleh faham bahasa Siam.

Sekarang kerana anda tidak terima bahasa Melayu, tidak mahu belajar bahasa Melayu, (dalam soal ini) saya tidak bercakap sekolah satu aliran. Anda hendak belajar bahasa Melayu pun tidak mahu. Selagi anda berkeras, orang Melayu akan berkeras dan isu ini akan diambil kesempatan oleh orang dipengaruhi emosi negatif yang ada kepentingan (tertentu). Jadi kita kena bersikap terbuka menerimanya.

Cadangan saya mudah sahaja. Pemimpin DAP dan PKR yang ada dalam PH kena faham betul-betul kandungan tiga muka (pengenalan tulisan jawi dalam buku teks sekolah rendah).

Mereka kena anjurkan jelajah bagi memberi penerangan dan meyakinkan orang ramai bahawa semua pihak boleh terima dengan hati terbuka.

Bila mereka boleh menerimanya, orang Melayu tidak akan mempersoalkan pasal isu tanglung kerana (tradisi itu) sudah berpuluh tahun kita terima.

Punca orang Melayu marah Dong Zong hanya disebabkan mereka tidak terima jawi. Tetapi saya tidak akan sokong anda kalau kerajaan atau Dr Maszlee (mahu menetapkan) semua pengajian bahasa Melayu dalam jawi. Saya akan menjadi antara orang menentangnya.

Akan tetapi, kerana tiga muka surat sahaja pun yang kandungannya bukan semua tulisan jawi, ini pun payah kamu tidak boleh terima. Kalau kamu mahu hidup harmoni beratus tahun lagi, kamu kena terbuka terima pengenalan tulisan jawi.

Jadi (sekiranya) anda terima ini, orang Melayu akan reda dan tidak akan mempersoalkan tradisi pakai tanglung atau tidak mempersoalkan sekolah Cina dan sebagainya.

(Mengenai) isu (penceramah terkemuka) Dr Zakir Naik, apa Zakir Naik boleh buat. Dia hanya mewakili satu orang sahaja. Mengapa anda sangat takut dan dengar nama dia sahaja sudah histeria macam ada hantu?

Jadi saranan saya kalau mahu keamanan, kedua-dua pihak (perlu bersikap terbuka) dan seruan saya kepada orang Melayu, kita kena berubah dan kita tidak lagi bersentimen.

Agama kita mengajar soal toleransi dan dalam al-Quran ada cakap kita kena menghormati penganut agama lain dan tanggungjawab kita adalah untuk melindungi mereka. Tetapi saya boleh faham mengapa orang Cina takut Islam, perangai orang Islam pun hodoh.

Di masjid pun boleh bergaduh. Majoriti jawatankuasa masjid bergaduh sesama sendiri. Kalau di masjid pun bergaduh, apatah lagi di tempat lain.

Sekiranya sumbangan diterima digunakan untuk bantu orang miskin, pastinya tiada masyarakat B40 atau BR1M kerana sistem Islam cukup cantik.

Tetapi mereka yang mengurus tidak betul. Buat apa bina masjid cantik-cantik tetapi tidak ada orang datang? Kenyataan saya ini mungkin buat orang Melayu marah tetapi ini adalah realiti yang dihadapi oleh masyarakat kita. Kenapa orang Cina takut, kerana kita sendiri tidak betul.

Sekarang kita kena betulkan, sebab itu saya buat World Quran Hour. Saya buat kempen mengaji al- Quran, supaya orang Melayu faham agama mereka. Bila anda faham agama anda sendiri, maka anda akan ada kerangka pemikiran al-Quran.

Bila ada sistem operasi al-Quran, dengan sendiri akhlak anda akan menjadi terpuji. Kita hanya sibuk dengan majlis-majlis besar tetapi melupakan kepada pengisiannya.

Jadi kepada pemimpin Melayu, cukup-cukuplah dengan aktiviti-aktiviti tidak mendatangkan hasil. Sila baiki taraf hidup orang Melayu. Tanya diri, berapa peratus orang Melayu yang memahami Islam.

Tanya ustaz-ustaz yang mengajar agama. Saya tahu saya akan diserang kerana kenyataan ini tetapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya saya boleh menjawab di padang Mahsyar nanti. Saya ada kuasa, saya ada kebolehan, saya ada media dan saya sudah sampaikan kepada orang Islam.

Sebenarnya kita mengalami kegagalan besar dalam menjadi seorang muslim sebenar. Sebab apa? Sebab kita tidak betul-betul mengamalkan Islam. Mengapa dahulu orang tertarik dengan Islam? Kerana akhlak pemimpinnya, bagaimana dia bercakap dan budi bahasanya.

Tetapi kalau kita asyik sebar fitnah melalui WhatsApp, Islam apa itu? Orang susah sekeliling masjid kita tidak tolong. Kita sibuk main golf, anak kita biarkan. Masalah kita hadapi ini bukan masalah dibawa pimpinan negara tetapi masalah rakyat sendiri. Orang Cina takut kerana perjalanan kehidupan orang Melayu sendiri tidak betul.

Pergi masjid, dengar khutbah berpuluh tahun tetapi perangai masih sama tak berubah. Islam adalah cara hidup dan mati. Orang macam Zaid Ibrahim dan Siti Kassim, misalnya, hanya melihat Islam sebagai agama yang hanya memikirkan soal kematian. Sedangkan Islam bukan begitu.

Kalau kita hayati al-Quran, Islam mempromosi budaya berjaya dalam hidup. Kita tengok perjalanan sirah bagaimana sahabat nabi pada zaman 700 tahun hijrah terawal. Bagaimana orang Islam berjaya kerana mereka benar-benar memahami Islam, mengamalkan ajaran al-Quran dan berakhlak tinggi.

Zaman kita sekarang akhlak kita teruk. Dengan pemimpin rasuah, menipu, menggunakan kemudahan tetapi tidak jaga rakyat. Peruntukan dibelanjakan untuk membiayai pesta-pesta termasuk jabatan menguruskan Islam. Kita kena perbetulkan kalau mahu selamatkan negara, ummah dan agama Islam.

Kita kena betulkan diri kita dahulu. Kena pastikan akhlak anak kita betul. Kita kena ajarkan mereka al-Quran, fahamkan mereka al-Quran, bentukkan peribadi mereka supaya mereka hendak menjadi orang hendak berjaya di dunia dan di akhirat.

Supaya mereka mati boleh masuk syurga, dengan sendirinya cara hidupnya akan bagus dan akan baik.

Dengan itu orang bukan Islam akan rasa selamat. Jadi pastinya tidak akan timbul isu Jawi dan sebagainya. Pemimpin kena betulkan sikap orang Melayu kerana mereka ada kuasa untuk buat keputusan.

Isu Zakir Naik kecil saja. Kita perlu yakinkan kepada orang bukan Islam bahawa isu jawi, yakinkan dan pastikan Dong Zong terbuka menerimanya. Kadang-kadang kita terpaksa korbankan sesuatu masalah bagi menyelesaikan masalah lebih besar.

Komunikasi itu penting. Dari segi komunikasi, kita tidak buat dengan baik. Bila orang tidak faham, orang bagi komen. Bila pemimpin pun tidak faham, komen mereka akan membuat rakyat lebih keliru. Kita perlu berubah jika mahu selamatkan negara. Perlu ada gencatan senjata.

DATUK DR HUSSAMUDDIN YAACUB

Penerbit Sinar Harian dan  Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf 


Rencana ini disiarkan di  https://www.sinarharian.com.my/article/65292/BERITA/Nasional/[VIDEO]-Hubungan-kaum-agama-semakin-parah-di-Malaysia

0
0
0
0
0

Copy Link: