Pendatang asing jadi warga, bagaimana sikap politik mereka?
Published byKali ini saya ingin menyorot apakah sebenarnya dalam minda dan perlakuan pendatang asing dalam konteks apabila mereka diterima menjadi warganegara Malaysia. Fenomena kedatangan pendatang asing menjadi satu isu politik yang sensitif kepada sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka. : OLEH AHMAD KAMIL MOHAMED
Kredit foto: Agensi AFP
Kali ini saya ingin menyorot apakah sebenarnya dalam minda dan perlakuan pendatang asing dalam konteks apabila mereka diterima menjadi warganegara Malaysia.
Fenomena kedatangan pendatang asing menjadi satu isu politik yang sensitif kepada sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Dulu ia menjadi isu di negara-negara maju sejak tahun 1960an kepada negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah.
Pada zaman tersebut saya mula mengamati komen-komen di akhbar-akhbar tanah air. Jika diamati di zaman 1970-an itu rata-rata masyarakat kita mengutuk sikap negara maju yang bertindak keras terhadap kedatangan pendatang asing semata untuk mencari kehidupan di negara mereka tersebut yang dianggap lebih stabil dari segi politik dan lebih maju.
Komen mereka berbunyi, “kenapalah negara Barat itu tidak mahu terima pendatang asing itu?” Ketika itupun saya sudah boleh memikirkan dan membayangkan fenomena itu sebagai satu bebanan kepada sesebuah negara kerana banyak faktor yang terkesan dengan kehadiran mereka terutama dari segi komposisi etnik dan rupa bangsa sesuatu negara. Ya tujuan mereka datang untuk mencari pekerjaan selain tapak kehidupan yang lebih terjamin demi survival.
Tetapi dengan kebanjiran mereka itu. ia memberi kesan yang besar kepada percaturan politik yang berperlembagaan berdasarkan sejarah penubuhan sesebuah negara.
Perkara ini disedari oleh masyarakat kita apabila menerima kebanjiran pendatang asing sejak 1970-an. Sejak itu negara kita pula merasai keadaan ini dengan kedatangan pelarian Vietnam dan pendatang asing. Negara mula menjadi destinasi untuk mencari kehidupan baru yang lebih baik kepada orang luar terutama daripada negara-negara jiran sehinggalah kepada negara Timur Tengah, China, India dan Eropah.
Syarikat saya juga terpaksa mengambil pekerja asing sejak 1990-an keadaan kesulitan mendapatkan pekerja tempatan.
Tulisan ini menjurus kepada perkara pokok iaitu apakah sikap dan perlakuan berpolitik mereka apabila sudah menetap di tanah air dan diterima menjadi warganegara? Apakah yang akan jadi kepada negara dan tanahair kita dari aspek komposisi kaum dan kestabilan politik?
Cuba kita tumpukan kepada pendatang daripada negara jiran yang dianggap mereka itu bangsa serumpun seperti Indonesia, Selatan Thailand dan Selatan Filipina. Apabila mereka berada di sini ramai juga yang ingin menjadi warganegara Malaysia apabila mendapati sistem pendidikan, kesihatan dan kehidupan lebih terjamin. Tambahan apabila mereka telah berkahwin sesama mereka atau membawa keluarga ke sini.
Malah telah adapun yang menjadi warganegara Malaysia sejak 1970-an.
Maka anak-anak mereka mula bersekolah. Rata-rata mereka ini keluarga golongan bawahan. Di sekolah anak mereka akan mengetahui bahawa ada peluang untuk belajar di asrama penuh milik kerajaan. Tetapi peluang itu istimewa hanya untuk anak-anak kaum bumiputera.
Sewajarnya mereka memang tidak layak.
Anak mereka tentu teringin untuk mendapat tempat di MRSM contohnya. Maka mereka mula merasa kononnya ada sesuatu yang tidak betul dan adil kepada sistem sosial dan pendidikan negara ini kerana mereka tidak memahami sejarah dan pembentukan Malaysia dengan penerimaan kaum pendatang terdahulu yang harus menerima persetujuan apa yang disebutkan sebagai kontrak sisial. Juga mereka tidak melalui apa yang telah dilalui oleh masyarakat bumiputera sebelum merdeka yang rata-rata ketinggalan dari segi infrastruktur kehidupan yang kebih selesa.
Mereka juga mungkin menjadi golongan yang tidak boleh terima hakikat sejarah tersebut apabila slogan-slogan parti politik yang menyeru kepada kesamarataan.
Maka ibu bapa dan anak-anak warganegara baru dalam kalangan pendatang asing ini mula menjadi kelompok kritikal terhadap dasar dan polisi “mainstream” tanah air kita ini. Mereka mula bermain politik memperjuangkan hak pula. Agak-agak arus politik manakah yang mereka pilih? Tentulah mereka ingin merubah status quo negara yang ada.
Rasanya senario politik tanah air masih dalam “mode” pertembungan antara ketuanan Melayu, hak keistimewaan bumiputera lawan “Malaysian Malaysia.” Kehadiran kelompok pendatang asing yang akan menjadi warganegara baru Malaysia kelak adalah satu faktor perubah kepada keseimbangan dan keharmonian senario politik tanah air. Pada mulanya mereka di”beli” dengan slogan “undi kami kerana memperjuangkan agar kamu dapat menjadi warganegara” kemudian apabila mereka sudah menjadi warganegara maka kemungkinan besar mereka menjadi kelompok antistatus quo hak keistimewaan bumiputera melainkan mereka juga diberikan hak keistimewaan tersebut.
Sedangkan Malaysia masih sebuah negara muda yang rupa bangsa, struktur sosioekonomi dan politik masih melalui tahap perkembangan yang belum mencapai satu keserataan dari aspek peluang kehidupan disebabkan oleh struktur ekonomi sosial kaum yang tidak seimbang sejak zaman kolonialisme British.
AHMAD KAMIL MOHAMED
Pengkaji Sains Informasi, Komunikasi dan Gelagat Manusia