BELUM pun ke mana Wawasan Kemakmuran Bersama (SPV 2030) nak dibawa, agenda kemakmuran Bumiputera telah terima tamparan hebat. : Dr Hasan Mad 


Saya tak terkilan sangat jika mereka dalam kalangan pemimpin DAP yang menamparnya, kerana kita pun sedia maklum mereka itu terlalu kiasu dan enggan memahami agenda kemakmuran bersama acuan Malaysia.

Saya juga tak hiraukan sangat institusi global menjadi tangan-tangan kotor yang menampar SPV 2030 ini dari luar dengan kelicikan mereka, kerana mereka memang dilatih khas bagi tujuan itu. Yang saya terkilan ialah bilamana tamparan ini juga dari tangan-tangan suku kaum bangsa saya sendiri yang diamanahkan menjaga kepentingan kami semua.

Dalam rencana ini izinkan saya mengupas dua isu ini, pertama kefahaman mengenai kemakmuran dan kedua mengenai ekonomi Bumiputera, mengikut acuan kemakmuran itu.

1. Kemakmuran

Setiap kali saya terbaca cerita atau menerima perkhabaran mengenai persiapan SPV 2030 ini, saya dapat rasakan bahawa SPV 2030 ini banyak berkisar kepada isu berkaitan ekonomi saja dan libatkan muka-muka yang sama. Soalan saya, adakah jargon kemakmuran ini sekadar penggantian model pembangunan negara yang sebelum ini berpaksikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi saja? Bukankah kemakmuran itu lebih inklusif sifatnya?

Kemakmuran adalah berkaitan dengan kehidupan. Negara yang lebih kaya kerana lebih maju ekonominya tidak bermakna ia lebih makmur. Negara-negara Nordics misalnya, bukan diantara negara-negara terkaya tapi mereka adalah yang paling makmur di dunia. Negaranya maju dan yang lebih penting ialah rakyatnya makmur.

Apa yang saya faham, kemakmuran itu adalah paduan kepada sumbangan atau peranan yang dimainkan setiap elemen yang menjadi tiang-seri kepadanya. Secara ringkasnya, jika nak diformulakan dan lebih mudah untuk difahami, ia adalah seperti ini:

Vk = Va + Vg + Vp + Ve + Vs + Vh + Vi + Vm +Vr +Vv

(Variable Kemakmuran (k) = Variables agama (a) + governance (g) + pendidikan (p) + ekonomi (e) + keselamatan (s) + kesihatan (h) + insan rabbani (i) + masyarakat madani (m) + sumber asli (r) + kelestarian alam-sekitar (v).

Saya amat khuatir rakyat dikelirukan dengan slogan SPV 2030 ini walhal kandungannya bukan mengenai kemakmuran, sekadar salin kulit saja dan ia masih berkisar kepada model pembangunan lama yang berpaksikan pertumbuhan dan kemajuan fizikal.

Bagi orang Melayu, elemen paling utama yang akan membentuk asas kepada kelestarian dan keutuhan SPV 2030 ialah kekuatan aqidah setiap pemegang-taruh. Sayugia diingatkan di sini, goyahnya kepimpinan dan tadbir-urus (governance) kerajaan terdahulu ialah kerana isu aqidah ini.

Sekalipun begitu banyak institusi Islam diperingkat persekutuan dan negeri, isu aqidah para pemegang-taruh terlibat masih menghantui kita semua.

Malah, hingga kini pun kerajaan persekutuan masih tercari-cari pendekatan berkesan bagi mengasingkan fungsi enablers yang wajar dimainkan oleh agensi-agensi pemerkasaan Islam persekutuan, manakala agensi negeri dibawah MAIN sewajibnya memainkan semua fungsi regulatori, pembangunan dan kemajuan, termasuk agenda muamalat.

Elemen atau tiang-seri kemakmuran kedua yang ingin saya sentuh ialah ketelusan & kecekapan tadbir-urus, integriti dan kesepakatan diantara tiga tunggak utama pemerintahan negara, iaitu institusi istana, institusi politik dan institusi pentadbiran kerajaan.

Maaf cakap, institusi istana memilih jalan selamat dan terus berdiam diri sekalipun begitu banyak isu serius wajar mereka tangani. Isu ancaman pengganas PKM misalnya, sudah sewajarnya pihak istana bertitah memerintahkan kerajaan bertindak tegas terhadap puak-puak cauvinis anti-nasional.

Jika wajar sesuatu pertubuhan itu diharamkan, ia wajib dilakukan sekarang, bukan menunggu bila ‘nasi sudah menjadi bubur’. Rakyat telah mula bersuara, tapi istana kekal membisu.

Institusi politik pula terus bercelaru membuatkan rakyat semakin mual dengan kerenah mereka. Malangnya kecelaruan ini semakin hangat dikalangan institusi politik yang kini menerajui kepimpinan Negara. Ini amat aneh. Lazimnya, pihak pembangkanglah yang lebih celaru dek kehilangan kuasa memerintah. 

Institusi pentadbiran kerajaan pula dek terlalu lama berperanan ‘ikut telunjuk’, dalam keadaan dimana institusi politik menjadi serabut, mereka juga memilih jalan selamat. Akibatnya keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan semakin lesu.

Jika beginilah halnya, apalah yang nak dimakmurkan. Apa makmurnya jika dengan jelas kita tercicir kian jauh di belakang Singapura. Terkini, kita pula dihambat sengit oleh Indonesia, Filipina dan Vietnam dikalangan Asian Tigers dalam persaingan kemakmuran di peringkat ASEAN. 

Natijahnya, agenda pendidikan juga semakin celaru dek pernah dipimpin seorang menteri yang dia sendiri pun amat kusut-masai pemikirannya.

Tengoklah bagaimana sekolah vernakular menjadi semakin bermaharajalela, buku sejarah diputarbelit, buku komik mengagung-agungkan kuasa asing tersebar tanpa kawalan, kepimpinan IPT silih berganti bak pertukaran pemandu bas pelancong dan banyak lagi permasalahan yang amat merungsingkan.

Begitu juga halnya dengan isu hubungan etnik dan agama yang semakin rapuh. Makmurkah kita jika aspek ini semakin goyah? Didalam SPV 2030 dan dalam fasa pertama perlaksanaannya dalam RMK 12, adakah elemen hubungan kemasyarakatan ini diberi penekanan penting?

2. Ekonomi Bumiputera

Dalam kita sedang sibuk menyediakan RMK 12 yang akan menyediakan blueprint fasa pertama perlaksanaan SPV 2030, satu per satu institusi kepentingan ekonomi Bumiputera telah diubah kiblatnya atau jadi kelam-kabut. Bumiputera merasakan kepentingan ekonomi mereka semakin tergugat dan terhakis.

Seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang dengan sengaja cuba memiskinkan mereka dengan cara melemahkan peranan pelbagai institusi ekonomi kepentingan mereka.

Mulanya FELDA, lepas itu TH dan terbaru MARA. Lepas ini entah apa pula. Yang membuatkan Melayu lagi marah ialah ada diantara tangan-tangan ghaib itu tangan-tangan Melayu yang berperanan ‘bak tikus membaiki labu’.

Belum terlambat untuk kerajaan merencana semula apa yang rakyat mahu dari SPV 2030 ini. Ada beberapa personaliti berwibawa yang saya kenali dan mereka ini mengikuti dengan rapat akan perancangan penggubalan agenda atas nama SPV 2030.

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, misalnya, semakin rancak menulis dalam blog dan facebook beliau mengenai SPV dari kacamata beliau. Dr Rais Saniman masih ada bersama kita walaupun sudah uzur. Beliau bukan saja salah seorang akitek DEB tapi juga lama bermastautin di Norway, salah satu model negara yang dibangunkan berasaskan model kemakmuran yang sebenarnya.

Para pembuat dasar tidak perlu menyombongkan diri enggan menyerapkan mereka itu bagi memandu pasukan penggubal RMK 12 yang kini menyediakan pengisian kepada fasa 1 perlaksanaan SPV 2030 ini. Tanyalah atau rujuklah kepada mereka itu.

Malah ramai lagi tokoh sehebat mereka itu yang wajar dirujuk jika kita ikhlas ingin melihat SPV 2030 itu penuh bermakna kepada Bumiputera. Perlu juga diingatkan sekali lagi di sini, bilamana berbicara mengenai kemakmuran, janganlah hanya libatkan mereka dalam bidang berkaitan ekonomi dan wakil agensi-agensi kerajaan saja.

Pakar rujuk mewakili pelbagai kelompok pemegang-taruh dari kalangan pemain industri, penggerak dan aktivis masyarakat, para ilmuan dan sarjana, bertalarbelakangkan pelbagai bidang terutamanya hal-ehwal Islam, kepimpinan, pendidikan, keselamatan, pembangunan insan rabbani, pembangunan keluarga, pembangunan masyarakat madani, pembangunan sumber asli dan kelestarian alam sekitar, wajib dilibatkan sama.

Ilmu saya mengenai model pembangunan berasaskan kemakmuran ini amat cetek tetapi saya tidak terputus hubungan dengan beberapa institusi yang mempromosikan agenda kemakmuran di peringkat global.

Dapatlah saya memahami ke arah mana dan bagaimana navigasi mereka mencapai agenda kemakmuran mereka itu. Secara peribadi, saya hanya mampu menyuarakan kebimbangan saya saja.

DATO DR HASAN MAD

Setiausaha Agung MPM


Rencana ini disiarkan dalam https://www.ismaweb.net/2020/01/27/seperti-ada-tangan-ghaib-sengaja-miskinkan-bumiputera/

0
0
0
0
0

Copy Link: