KAUM YANG BANTAH DONG "TAK BUAT KERJANYA"

Published by
Utusan.Press
APAKAH semua tuntutan Dong Jiao Zong berhak atau tidak, wajar bagi masyarakat majmuk Malaysia atau tidak, ia adalah kerjanya kerana di mana-mana pun mereka berada mereka mahu kecinaannya itu dipelihara dan dipertahankan. Subky Abdul Latif 


Jika di Amerika berapa kerat saja keturunan Cina, kebudayaan, bahasa dan apa jua watak Cina tidak mungkin diperkasakan, tetapi hak mewujudkan Kota Cina atau China Town tidak boleh ditolak. Jika yang lain tidak dapat Kota Cina patut ada di mana-mana.

Tapi bagi mana-mana wilayah seperti Malaysia yang tuntutan Dong Jiao Zong itu boleh dimajukan bodohlah Cina jika tidak diperjuangkan. Mungkin ia bukan Cina jika tidak ada hasrat itu.

Kewajaran, patut ada berhak tidak berbangkit, Dong Jiao Zong mesti buat kerjanya.

Cuma penguasa tempatan seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan lain-lain memberi laluan kepada tuntutan adalah kuasa dan haknya.

Malaysia adalah satu-satunya kerajaan di dunia sejak awal ambil remeh dengan tuntutan itu. Mungkin tuntutan Dong Jiao Zong adalah yang dibimbangkan oleh kaum Cina pimpinan saudagar Cina Ipoh, Lau Pak Kuan yang membuat rombongan ke Pejabat Tanah Jajahan British di London membantah tuntutan Tunku Abdul Rahman memerdekakan Tanah Melayu.

Tuntutan Lau Pak Kuan tidak didengar oleh British kerana ia adalah urusan Tanah Melayu merdeka. Cina buat kerjanya dan apa kerja pemimpin Tanah Melayu buat selepas merdeka? Ramai yang jadi Perdana Menteri tetapi tidak buat apa yang mereka dimandatkan.

Sama ada kita suka perlembagaan Reid atau tidak, ia telah memperuntukkan sepulu tahun selepas merdeka Bahasa Melayu jadi bahasa rasmi tunggal dan semua urusan termasuk satu bahasa penghantar di sekolah-sekolah.

Menjelang 10 tahun merdeka, kata Almarhum Syed Jaafar Albar, Dr. Mahathir dikatakan dikirim untuk Razak menemuinya menyarankan bahasa rasmi itu tidak dilaksanakan seperti cadangan perlembagaan Reid kerana bimbang bukan Melayu tidak mengundi Perikatan dalam Pilihan raya Umum (PRU) 1969. Albar menolak mesej Mahathir itu tetapi Akta Bahasa yang wujud selepas itu tidak laksanakan cadangan Reid.

Kerajaan pimpinan Melayu tidak buat kerjanya.

Kerajaan Mageran selepas 13 Mei 1969 mengangkat Tun Abdul Rahman jadi Menteri Pelajaran. Dia cuba melaksanakan Laporan Pelajaran Razak dan Laporan Rahman Talib yang jadi tonggak dasar pelajaran kebangsaan. Rahman Yaakub mahu melaksanakan satu bahasa penghantar untuk semua sekolah mulai tahun 1970.

Dipercayai atas lobi Dong Jiao Zong, kerajaan Mageran menasihatkan Rahman Yaakub tidak melaksanakan pelannya dengan alasan bukan Melayu tidak menghantar anak-anak ke sekolah dalam negeri, sebaliknya akan menghantar anak bersekolah di seberang laut. Tanya Rahman Yaakub ramai mana yang mampu menghantar anak ke luar negeri?

Rahman Yaakub bertegas akan laksanakan pelannya. Tetapi dia dijadikan Ketua Menteri Sarawak, Menteri Pelajaran dipegang orang lain. Pelan Rahman Yaakub dibakulsampahkan. Bukan orang lain mengkhianati pelajaran kebangsaan tetapi para pemimpin Melayu yang takutkan gertak Dong Jiao Zong.

Dong tidak pernah lupa tuntutannya, tetapi Melayu yang dapat mandat tidak jalankan mandat. Sekarang politik hampir dipengaruhi Dong Jiao Zong. Apa yang kita dapat buat? Jangan salahkan Dong Jiao Zong meneruskan tuntutannya. Mereka buat kerjanya. Kaum yang berteriak membantah Dong Jiao Zong tidak buat kerjanya.

Jangan salah orang Melayu menyertai DAP, kerana orang Melayu tidak pernah cemburu atas sosiobudaya politik kita. Kerana saya Melayu saya tidak senang dengannya. Jika saya Cina, saya akan bersamanya. Tetapi kita bukan jenis berputus asa. 

Subky Abdul Latif 

Subky Abdul Latif ialah pengasas dan pengarang akhbar Harakah


Dipetik dari akaun Facebook https://www.facebook.com/subkylatif/posts/2700976696664882?__tn__=K-R

1
0
0
0
0

Copy Link: