PUSAT WANITA BERDAYA MAHU GONCANG DUNIA

Published by
KitaReporters
INISIATIF sesebuah organisasi atau badan kebajikan mahupun sukarela antara lain bertujuan ke arah memberi pendedahan untuk membantu anggota masyarakat meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai kaedah serta teknik yang difikirkan berkesan terutama dalam situasi kedudukan ekonomi yang mencabar sekarang. : KitaReporters.com

Bengkel Aneka Roti anjuran bersama Pusat Wanita Berdaya (PWB) Kawasan Seri Serdang dengan kerjasama Smart Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan di Dewan George, Taman Equine, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.


Langkah itu diambil supaya kehidupan komuniti masyarakat khususnya yang berada dalam kategori kelompok B40 lebih lagi bagi yang tinggal di kawasan separa bandar dapat diperbaiki dan dipertingkakan khususnya merangkumi bidang ekonomi.

Sehubungan dengan itu, salah sebuah badan yang bertanggungjawab untuk sama-sama berjuang memperbaiki dan meningkatkan tahap ekonomi anggota komuniti khususnya dalam kalangan wanita di negara ini ialah Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Pusat berkenaan mempunyai misi dan peranannya tersendiri dalam menjayakan hasrat serta matlamat yang diinspirasikan oleh pihak kerajaan melalui program-program serta perancangan yang disusun atur semata-mata bagi menjamin misi dan matlamat utama mencapai target kejayaan saperti diharapkan.

Bengkel Kraf Tangan Tudung Saji Reben di Kampung Tengah, Puchong memberi pendedahan bagaimana untuk menghias tudung saji dan boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan.


Bagi PWB kawasan Seri Serdang di Selangor, tahun 2020 yang bakal menyingkap tirainya beberapa hari lagi, disifatkan sebagai tahun yang lebih mencabar untuk menentukan suatu program atau perancangan yang dilaksanakan mampu mencapai matlamat kejayaan lebih bermakna.

Ini bermakna pelbagai cabaran dan rintangan yang mungkin terpaksa dilalui akan cuba dihadapi dengan lebih waspada serta berhati-hati bagi menjamin setiap rancangan mahupun program yang diatur benar-benar dapat memberi manfaat kepada setiap individu terlibat.

Untuk tujuan ini, PWB Seri Serdang akan mencuba sedaya upaya merealisasikan setiap perancangan diatur untuk tempuh sepanjang tahun selain melaksanakan beberapa program yang tidak sempat dijalankan tahun ini, sekalipun sudah ada hasrat mengadakannya. 

PWB Seri Serdang turut terlibat secara langsung menjayakan Karnival 3W Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Padang Awam MPSJ, Puchong Prima, Puchong,  Selangor.


Mazni Mohd,Said, Penyelia PWB Kawasan Seri Serdang, Selangor.


Perkara ini dinyatakan oleh Penyelia PWB Kawasan Seri Serdang, Mazni Mohd Said atau lebih mesra dengan panggilan Munie semasa ditemui pada Sabtu (21/12/2019) lalu di Taman Equnie, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

Beliau ditemui ketika pusat berkenaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Smart Selangor menganjurkan Bengkel Aneka Roti yang dihadiri seramai 40 orang wanita terutama suri rumah dari sekitar Bandar Putra Permai, Kota Perdana, Seri Indah, Lestari Perdana, Lestari Putera dan Taman Equine.

Pelbagai teknik cara pembuatan aneka jenis roti, piza dan kek telah diberikan tunjuk ajar oleh dua orang fasilititor. 

Bengkel tersebut merupakan antara program terakhir PWB Seri Serdang bagi tahun 2019.

Bengkel Kraf Tangan Sarung Bantal Crochet diadakan di Kampung Bersatu Batu 12, Puchong.


Katanya, sekalipun peruntukan dana tahunan yang diperolehi pada 2020 berkurangan dari tahun ini iaitu cuma RM40,000 jika dibandingkan RM50,000 (2019), namun program-program utama yang mampu memberi kesan kepada usaha memperbaiki tahap kehidupan dengan meningkatkan status ekonomi dalam kalangan komuniti akan diteruskan pelaksanaannya, dengan kerjasama badan-badan NGO, syarikat swasta dan orang perseorangan.

"Dengan adanya dana yang disalurkan melalui kerajaan negeri di samping bantuan-bantuan pihak tertentu kami di PWB Seri Serdang tetap akan meneruskan program  telah dirancang dan disusun atur bagi sepanjang tahun 2020, " ujarnya.

Bengkel Membuat  Shawl Batik Shibori di Serdang Raya antara program menarik anjuran PWB Seri Serdang. 


Penyertaan ahli komuniti agak terhad bilangannya bagi sesuatu program yang diadakan pada satu-satu kawasan.

Maka, hanya individu yang benar-benar berminat serta mahu berubah meningkatkan taraf hidup sesuai mengikuti program-program anjuran PWB.

Untuk maklumat umum, program-program anjuran PWB bukan dikhususkan kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua tanpa mengira fahaman politik.

Kelas Masakan Nasi Berinai dan Ayam Palembang yang diadakan  di Puchong Prima mendapat sambutan di luar jangka.


Selain itu , Mazni memberitahu, bagi tempoh 12 bulan pada 2020, PWB Seri Serdang cuba berusaha menyelesaikan 10 modul program kemahiran yang merangkumi : 

  • seni kraf tangan, 
  • industrial makanan dan minuman, 
  • pertahanan diri, 
  • seni dan budaya, 
  • gaya hidup sihat, 
  • reka bentuk dalaman, 
  • laman tani dan landskap, 
  • program 3R (kitar semula), 
  • penyelanggaraan kenderaan, dan 
  • teknologi maklumat (IT).

Kelas Aneka Jenis Kuih Talam  yang diadakan di Puchong Prima mendapat sambutan menggalakkan.


Salah satu aktiviti yang terpaksa dilalui para peserta dalam Program Team Building diadakan di Sungai Lui.


Untuk tempoh tahun ini, sejumlah 30 program berpandukan modul-modul berkenaan dapat dilaksanakan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang melibatkan sejumlah 1,500 peserta.

Program yang dijalankan turut mendapat kerjasama ahli-ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ahli Jawatankuasa Permuakatan Kebajikan dan Kesejahteraan Penduduk (MPKK), universiti awam, PDRM, persatuan penduduk, NGO  dan syarikat swasta serta orang perseorangan.  

Antara program dan bengkel kemahiran dilaksanakan PWB Kawasan Seri Serdang sepanjang tahun ini dan mendapat sambutan di luar jangka termasuklah Bengkel Kraf Tangan Membuat Sarung Bantal Crochet di Kampung Bersatu Batu 12, Puchong dan Bengkel Decoupage Tudung Saji di Taman Seri Indah, Bandar Putra Permai.

Sambutan menggalakkan diberikan oleh komuniti setempat pada Bengkel Membuat Tempe yang diadakan di Kampung Sri Andalas, Puchong.


Program Rahim dan Kesihatan Wanita di Kampung Sri Aman, Puchong; Bengkel Membuat Bonsai Mini Kristal di Taman Puchong Permai; Program Wanita dan Kesihatan Mental di Kota Perdana, Bandar Putra Permai; Program Temu Duga Bekerja Di Rumah di Taman Puchong Utama; dan Bengkel Aneka Jenis Kuih Talam di Puchong Prima.

Bengkel Makanan Sihat di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Cyberjaya; Kursus Net Premier Untuk Jadikan Usahawan Wanita Maya Di Rumah dengan kerjasama PWB Sungai Ramal dan Dengkil di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor; serta Program Team Building dengan kerjasama PWB Bandar Utama, Kampung Tunku, Bukit Lanjan dan Taman Medan di Sungai Lui. 

Salah satu bengkel kemahiran kraf anjuran PWB Seri Serdang yang diadakan di Kampung Tengah, Puchong yang mendapat kerjasama badan-badan NGO dan MPKK setempat.


Usaha PWB Seri Serdang menganjurkan Bengkel Makanan Sihat di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Cybejaya memberi manfaat yang tidak ternilai kepada para peserta.


PWB Seri Serdang juga berjaya menganjurkan Bengkel Membuat Tempe di Kampung Sri Andalas, Puchong; program membantu membuat crocket sarung botol minuman kepada mangsa banjir di Parit Mahang, Kuala Selangor; Bengkel Tudung Saji Reben di Kampung Tengah, Puchong; dan Bengkel Aneka Roti di Taman Equine, Bandar Putra Permai. 

Skim Kesihatan Wanita Cegah Kanser Payudara dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyaraka DUN Seri Kembangan di Hospital Colombia, Bandar Puteri, Puchong; Program Masih Ada Yang Sayang lawatan  ke Penjara Kajang; Program Kebun Dalam Taman di Puchong Utama; dan Program Inspirasi Kreativiti Jana Pendapatan Hiasan Kokedan bersama Laman Sari di Saujana Puchong. 

Penduduk setempat khususnya kaum wanita memperolehi faedah daripada Program Rahim dan Kesihatan Wanita yang diadakan di Kampung Seri Aman, Puchong.


PWB Seri Serdang turut membantu mangsa banjir membuat crocket sarung botol air di Parit Mahang, Kuala Selangor.


Bengkel Decoupage di Kampung Tengah Puchong; Kelas Beraneka Kek di Puchong Prima; Kelas Masakan Nasi Beriani dan Ayam Palembang di Puchong Prima; Saringan Kesihatan Percuma di Padang MPSJ Puchong Indah; Bengkel Bunga Telur Stokin di Puchong Prima; Bengkel Shawl Batik Shibori di Serdang Raya; dan Kelas Bubahan Bunga di Pudu Kuala Lumpur. 

Malahan kata Mazni, melalui program dan bengkel yang diadakan, PWB Seri Serdang berjaya mencungkil bakat dan melahirkan beberapa individu sebagai usahawan dan fasilititor untuk membimbing mereka yang berminat menceburi bidang-bidang kemahiran tertentu khususnya dalam bidang seni kraf, reka bentuk dalaman, industrial makanan dan minuman serta lain-lain.

Selain itu, terdapat sebilangan peserta bengkel atau kelas anjuran PWB telahpun menjalankan perniagaan sepenuh masa atau sambilan.

Sebahagian peserta Bengkel Membuat Bonsai Mini Kristal di Taman Puchong Permai melakukan kerja-kerja praktikal.


Program Team Building banyak mendedahkan ilmu dalam membentuk individu sebagai seorang pemimpin mahupun fasilititor.


Katanya, kemuncak aktiviti PWB tahun ini sebagai tuan rumah karnival 3W (wanita, kesihatan dan kebajikan) peringkat Negeri Selangor baru-baru ini yang diadakan di Padang Awam MPSJ Puchong Prima melibatkan kira-kira 1,000 peserta. 

Hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk acara sukan. 

Program yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud merupakan penutup aktiviti PWB negeri.

Bengkel Aneka Roti anjuran PWB di Taman Equine merupakan antara program terakhir bagi tahun 2019 banyak memberi ilmu kepada peserta terlibat.


Dalam pertemuan itu, Mazni memberitahu satu perancangan untuk mengetengahkan Orang Asli sebagai fasilititor program bengkel kraf dan kerja tangan anjuran PWB Seri Serdang bagi sesi 2020.

Inisiatif ini cuba diketengahkan kerana, katanya, hasil kerja tangan dalam kalangan Orang Asli bermutu tinggi dan mampu diketengahkan di pasaran dalam serta luar negara.

Mazni juga berhasrat mempertimbangkan idea dan cadangan untuk PWB mengadakan hubungan terus dengan semua Unit Jiran Wanita, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Puchong dalam usaha memudahkan pelaksanan program atau bengkel yang bakal diadakan nanti.

Beliau berharap semoga tahun depan, PWB tidak menghadapi masalah dalam melaksanakan program dan aktiviti yang telah disusun atur dalam konteks membantu komuniti meningkatkan  taraf kehidupan khusus berkaitan bidang ekonomi. - KitaReporters.com

Antara peserta Bengkel Decoupage Tudung Saji di Taman Seri Indah, Bandar Putra Permai menunjukkan skil menyiapkan tugasan masing-masing.

0
1
0
1
0

Copy Link: