HOTEL Marco Polo di Wuhan, yang selalunya sentiasa dipenuhi pengunjung, lengang bagai baharu diserang garuda. Tempat duduk penyambut tetamu kosong dan restoran hotel itu tidak lagi menyajikan makanan kepada pelanggan. : Kita Reporters.com

RESTORAN di Hotel Marco Polo, Wuhan, China, dengan pemandangan menarik Sungai Yangtze. - Kredit foto Hotel.com


Tiada lagi suasana riuh dan kesibukan pengunjung di hotel lima bintang itu sejak wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCov) dikesan bermula di bandar tersebut dan merebak dengan cepat.

Malah pekerja hotel berusaha melarikan diri daripada bertembung dengan tetamu kerana bimbang dijangkiti virus yang kini telah dikesan menular ke beberapa buah negara lain, termasuk Malaysia.

Hotel Marco Polo adalah antara hotel yang masih beroperasi dalam kemelut koronavirus.  

Namun ia bagai ‘hotel hantu’ yang sunyi kesan serangan virus yang telah meragut lebih 200 nyawa dan menjangkiti lebih 9,700 orang di China setakat Jumaat, 31 Januari 2020.

Akibat gejala ini, Wuhan, bandar yang terletak di tengah China dengan 11 juta penduduk, kini terputus daripada hubungan luar apabila Beijing melaksanakan perintah kuarantin sehingga masalah koronavirus itu dapat diatasi.

HOTEL MARCO POLO, hotel mewah lima bintang. - Kredit foto Tripadvisor


Namun Hotel Marco Polo tetap beroperasi ketika krisis koronavirus meletup, walaupun ada kebimbangan virus ini boleh berpindah daripada seseorang kepada seorang yang lain.

Meskipun begitu, ketika menjejakkan kaki ke hotel ini yang terletak di tebing Sungai Yangtze, siapa pun akan tahu dan dapat melihat bisnes di hotel itu tidak berjalan seperti biasa.

Tiada siapa berada di bahagian penyambut tetamu. Suasana begitu sunyi sehingga menimbulkan rasa takut. 

Ini amat berbeza sekali dengan persiapan meriah dan berwarna warni meraikan Tahun Baharu China iaitu Tahun Tikus.

Hotel moden yang sentiasa sibuk itu hampir kosong. Pekerja tidak banyak tugasan untuk dibuat sehingga menimbulkan rasa jemu.

RUANG lobi Hotel Marco Polo sunyi dan kosong sejak Wuhan dilanda koronavirus. - Kredit foto AFP


Untuk memastikan mereka sentiasa aktif dan sihat, pekerja mengadakan senaman berkumpulan setiap hari pada pukul 10 pagi.

Menurut seorang kakitangan, Zhua Jua yang dipetik oleh agensi berita AFP, mereka merasa lebih selesa dan santai setelah selesai menjalani senaman tersebut.

Rakannya, Xiao Fan pula memberitahu, senaman tersebut berjaya meningkatkan daya ketahanan fizikal serta mental.

Ancaman koronavirus juga telah menyebabkan beberapa perubahan dalam rutin harian Hotel Marco Polo.

Pengunjung diwajibkan memakai topeng muka dan setiap orang akan diawasi dengan penuh teliti dan curiga.

Bagi setiap orang yang datang atau meninggalkan hotel tersebut, pengawal keselamatan akan memeriksa suhu badan untuk mengesan sebarang tanda demam panas.

Xiao Fan yang diberi tanggungjawab mengawasi pemeriksaan subu badan ini memberitahu, jika suhu badan seseorang dalam lingkungan 37.3 celcius ia dikira selamat. 

Bagaimanapun jika suhu melebihi angka tersebut, tindakan bersesuaian akan diambil.

Pengunjung juga dikehendaki mengisi borang khas memaklumkan mengenai pergerakan mereka. 

Antara soalan yang ditanya dan mesti dijawab ialah: “Adakah anda berhubung atau bertemu dengan sesiapa juga yang terkena jangkitan koronavirus dalam tempoh dua minggu?”

PEKERJA Hotel Marco Polo bersenam setiap pagi untuk menghilangkan jemu kerana tidak banyak kerja perlu dibuat. - Kredit foto AFP


Hotel Marco Polo mempunyai 356 bilik dan selalunya kadar penginapan ialah 80 peratus pada waktu sibuk seperti Tahun Baharu Cina.

Tetapi sehingga Rabu, 29 Januari 2020, hanya terdapat 20 pengunjung di hotel berkenaan. Daripada 34 tingkat hotel tersebut, hanya dua tingkat ada penghuni.

Kebanyakan mereka ini tersadai berikutan perintah kuarantin. Mereka, seperti penduduk Wuhan lain, tidak dibenarkan keluar masuk baik melalui jalan darat,  kereta api atau udara.

Restoran di hotel berkenaan pula ditutup untuk mengelak penyebaran penyakit. Pengunjung bagaimana pun masih boleh memesan makanan melalui pesanan bilik atau 'room service'.

Kelakarnya, pekerja khidmat 'room service' ini pun takut berhadapan dengan pelanggan. 

Menurut seorang pelancong dari Amerika Latin, apabila dia membuka pintu, penghantar makanan meletakkan makanan di atas lantai dan terus  melarikan diri seolah-olah nampak hantu.

Jelas para pekerja hotel Marco Polo sangat takut dengan koronavirus . Mereka sentiasa memakai pakaian perlindungan dan bertopeng dalam kawasan hotel.

Menu pesanan bilik  juga sangat sedikit dan seringkali hanya mi. 

Semakin hari bertambah senarai menu semakin berkurangan kerana bekalan bahan mentah makin menyusut disebabkan tiada bekalan baharu sampai kerana kuarantin.

BILIK mewah Hotel Marco Polo. - Kredit foto Booking.com


Sementara itu, beberapa hotel lain yang masih beroperasi di Wuhan cuba tidak menerima pelanggan. Mereka memberitahu hotel ditutup sedangkan ia sebenarnya dibuka.

Yang lain pula menyediakan perkhidmatan amat terhad sambil menolak sebarang tempahan baharu. 

Inilah juga yang dilakukan oleh Hotel Marco Polo. Hotel tersebut bimbang pelanggan baharu membawa jangkitan koronavirus.

Namun ia juga tidak dapat menutup hotel kerana pengunjung yang sudah ada di hotel tersebut tidak dapat pergi ke mana-mana selagi perintah kuarantin masih berkuat kuasa. - KitaReporters.com

ARAS bilik Hotel Marco Polo lengang tanpa orang berkeliaran. - Kredit foto AFP

2
1
4
0
0

Copy Link: