BUKAN KALENG-KALENG! 'SANG SINGA' UITM FC
Published byBERBAJET rendah dan sentiasa mengukur baju di badan sendiri. Dibarisi pula kebanyakan pemain muda kalangan mahasiswa universiti dan disokong oleh kakitangan dan alumni fakulti sains sukan dan kesihatan. : KitaReporters.com
UiTM FC mengukir pencapaian terbaik sejak 2013, menghuni tempat kelima Liga Perdana 2019 untuk melonjak ke Liga Super 2020 kerana status 'pasukan pengumpan' TFC II dan JDT II.
Sekurang-kurangnya tidak terikut-ikut langkah sumbang sebahagian besar pasukan ternama yang boros membeli bintang-bintang tetapi akhirnya, terpaksa menanggung tunggakan gaji berbulan-bulan.
Kekal bersederhana dalam persediaan dan pemilihan pemain tetapi awas!
Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC tetap bukanlah ‘kaleng-kaleng’ pasukan yang boleh diperbudak-budakkan!
Merekalah pasukan universiti pertama yang baru menjejak kaki ke kancah saingan Liga Super mulai musim 2020 yang bermula 29 Februari 2020 ini.
Pada tahun awal penubuhannya, 2008, UiTM FC hanyalah sebuah kelab amatur biasa yang aktif menyertai Liga Selangor dan Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Tiga tahun kemudian, Kementerian Pendidikan telah mengiktiraf UiTM sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Bola Sepak IPT.
Pencapaian Lion Troops (Pasukan Singa) ke Liga Super 2020 ini turut telah mendapat pengesahan untuk dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) oleh Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong pada 30 Disember 2019 lalu.
“Bajet pasukan dapat dijimatkan apabila kami mempunyai dan memanfaatkan kemudahan sukan (termasuk ‘venue kandang’, Stadium UiTM Shah Alam dan kepakaran sains sukan UiTM yang diketuai Dr. Raja Firhad.
“Kami selalu berhemah dalam perbelanjaan pasukan berdasarkan Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), rakan penganjur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Selepas tujuh musim beraksi dalam Liga Perdana dari 2013 hingga 2019, UiTM FC juga telah mendahului perancangan strategik dan sasaran awal kami untuk naik ke Liga Super 2021,” kata Presiden kelab itu, Prof. Azizan Abdullah.
FRANK Bernhardt (kiri) berjabat tangan dengan Azizan Abdullah. Di sebelahnya ialah Dr. Pekan Ramli, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan Kementerian Pendidikan.
Menyedari taraf Super yang lebih tinggi daripada Perdana, khidmat jurulatih warga Jerman, Frank Bernhardt pula diambil untuk memperkasa daya saing Lion Troops sejak tiga minggu lalu.
Bernhardt, 51, merupakan pengendali import pertama UiTM FC sejak menceburi Liga FAM dari 2009 hingga 2012 sebelum dinaikkan ke Liga Perdana.
Sebelum ini, kelab berpangkalan di Shah Alam, Selangor ini dibimbing oleh warga tempatan seperti Omar Ali (2009-2011), Azman Eusoff (2012-2013), Azuan Zain (2013-2014), Raja Isa Raja Akram Shah (2015-2016) dan Wan Mustaffa Wan Ismail (2016-2018) serta Ismail Zakaria (2018-2019).
Bernhardt bukanlah asing bagi bola sepak Malaysia kerana pernah mengendalikan skuad Bawah 22 Tahun Malaysia dari 2015, namun kontraknya ditamatkan lebih awal oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Dia juga berpengalaman sebagai bekas jurulatih Akademi Holstein Keil dan hampir dua dekad selaku jurulatih mahupun Pengarah Teknikal dan Sukan di Akademi FC St. Pauli Hamburg, Estonia, JK Tallinna Kalev, Nomme Kalju, FK Sumqayit (Azerbaijan) dan klinik Yayasan Real Madrid.
Justeru kata Azizan, pengurusan pasukan menetapkan bahawa muncul antara lapan teratas Liga Super dan layak ke Piala Malaysia musim ini sebagai indeks prestasi utama (KPI) buat Bernhardt dan anak-anak buahnya.
“Selain pengurusan tertinggi UiTM, kelab kami juga mendapat sokongan penuh kementerian. Sekalipun peruntukan kewangannya masih kecil dan terhad, UiTM FC berjanji untuk menyaingi pasukan-pasukan hebat dalam Liga Super 2020.
“Ini termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT – juara trebel musim 2019), Kedah (juara Piala FA 2019), Selangor dan Pahang,” kata Azizan, yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar) UiTM.
Bagi kepakaran sains sukan, Lion Troops mendapat khidmat alumni kedua-dua Fakulti Sains Sukan dan Sains Kesihatan UiTM seperti juruanalisis permainan, Mohamad Faiz Hakimi dan fisioterapi, Ahmad Hambal Raman.
Bernhardt juga akan dibantu oleh Wan Mustaffa iaitu bekas penolong jurulatih negara yang juga alumni Fakulti Pengajian Media UiTM dan bekas kapten ketika masih menuntut di universiti awam ini.
Lain-lain termasuk alumni Fakulti Sains Sukan dan bekas pensyarah UiTM, Mohd. Zaiham Abdul Hamid selaku jurulatih kecergasan; Irwan Jamil – penuntut Program Jarak Jauh Sains Sukan UiTM (jurulatih penjaga gol) dan penolong jurulatih, Mohd. Shahreen Nizam (kakitangan Pusat Sukan UiTM). - KitaReporters.com
BARISAN jurulatih dan pembantu sokongan UiTM FC yang majoritinya terdiri daripada staf dan alumni fakulti-fakulti UiTM.
Pencapaian UiTM FC :