RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

Published by
KitaReporters

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga yang dibina sekian lama. Inilah yang berlaku di China sekarang, di mana kadar perceraian meningkat, dikatakan berlaku gara-gara penguatkuasaan perintah kuarantin dalam usaha mengekang penularan wabak penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19. : KitaReporters

AKIBAT sepanjang hari bersama siang dan malam, untuk tempoh yang lama dan tanpa aktiviti, telah menimbulkan rasa jemu terhadap pasangan masing-masing. - Kredit foto: MSN.com 


Memetik laporan Daily Mail, sebuah pejabat pendaftaran di Dazhour, Wilayah Sichuan, menerima lebih 300 permohonan bercerai dalam tempoh tiga minggu sehingga 13 Mac 2020.

Sebuah pejabat pendaftaran di Xian pula menerima 14 permohonan sehari, mencecah had tertinggi yang dibenarkan. 

Malah ada pejabat pendaftaran kini menetapkan akan hanya menerima tidak lebih 10 permohonan perceraian dalam sehari.

Semua ini berlaku ketika wabak COVID-19 belum benar-benar dikekang, walaupun jumlah kes baharu yang dilaporkan kian menurun.

PEMANDANGAN di sebuah pejabat pendaftaran di Xian di mana orang ramai berbaris untuk menyerahkan dokumen permohonan bercerai. -Kredit foto: Daily Mail.


Pasti akan timbul pertanyaan apa hubung kait wabak COVID-19 dengan tindakan pasangan-pasangan  ini untuk mengakhiri perkahwinan? 

Kenapa pula mesti bercerai berai dalam kehangatan isu COVID-19?

Para pegawai pendafaran mendakwa, punca utama kejadian ini berlaku kerana pasangan-pasangan ini tinggal bersama terlalu lama di rumah. Ini ekoran penguatkuasaan ‘pengasingan’ atau kuarantin.

Akibat sepanjang hari bersama siang dan malam, untuk tempoh yang lama dan tanpa aktiviti, telah menimbulkan rasa jemu terhadap pasangan masing-masing, bukan semakin mengeratkan hubungan.

Angka permohonan perceraian ini naik mendadak dibandingkan dengan sebelum merebaknya COVID-19. - Kredit foto: Global Time


Pengurus Pejabat Perdaftaran Perkahwinan Dazhour, Wilayah Sichuan, Lu Shijun memberitahu, 300 pasangan mendaftarkan perceraian sejak 24 Februari hingga 13 Mac 2020. 

Ini merupakan angka pendaftaran tertinggi bagi sesebuah pejabat pendaftaran.

Menurut Lu, angka permohonan perceraian ini naik mendadak dibandingkan dengan sebelum merebaknya COVID-19.

Dia percaya ini berlaku kerana pasangan yang dikuarantin di rumah, dengan ‘suami memandang isteri dan isteri memandang suami’, menyebabkan kemesraan antara mereka menurun sehingga mendorong mereka memutuskan ikatan perkahwinan.

Selain itu, katanya, bagi pasangan muda yang menghabiskan banyak masa bersama di rumah bukan sahaja menjadi jemu tetapi juga mewujudkan suasana tegang, walaupun mengenai perkara-perkara kecil. 

Akibatnya mereka memilih bercerai, tambahnya.

PEGAWAI Pendaftaran di salah sebuah pejabat pendaftaran di China melayani pasangan yang hendak bercerai. - Kredit foto: Daily Mail


Satu lagi faktor yang menampakkan permohonan bercerai yang tinggi ialah kerana permohonan yang mungkin hendak dibuat lebih awal, tetapi tidak dapat dilakukan kerana pejabat-pejabat pendaftaran ditutup hampir sebulan ketika penularan COVID-19 berada di kemuncak.

Di Xian, antara destinasi pelancongan popular di China dalam  Wilayah Shaanxi, juga menyaksikan permohonan perceraian meningkat sejak ia dibuka semula pada 1 Mac.

Salah satu daripada pejabat pendaftaran di bandar itu menerima sehingga 14 permohonan sehari, mencapai paras siling yang dibenarkan.

Begitu juga kedudukan di Fuzhou, Wilayah Fujian, di mana para pegawai pendaftaran memberi kelonggaran sehingga 10 pasangan mengemukakan permohonan cerai dalam sehari berikutan jumlah permohonan yang meningkat.

Berdasarkan satu kajian pada 2018, pasangan yang hidup bersama untuk lima tahun atau lebih merekodkan kadar perceraian yang tinggi. 

Berapa lamakah pasangan yang memohon hendak bercerai di China ini sudah berkahwin?

Sukar diketahui dengan tepat. Tetapi yang pasti, saban hari bersama dikuarantin gara-gara COVID-19 bagai menyuburkan rasa jemu antara pasangan tersebut sehingga memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Atau mungkinkah wabak COVID-19 itu hanya satu kebetulan menjadi sebab perceraian mereka? - KitaReporters.com

Permohonan yang mungkin hendak dibuat lebih awal, tetapi tidak dapat dilakukan kerana pejabat-pejabat pendaftaran ditutup hampir sebulan. - Kredit foto: Daily Mail 

0
0
0
1
0

Copy Link: