NAK REHAT ATAS POKOK? JOM KE PANTAI REDANG

Published by
KitaReporters
SETIAP kawasan rekreasi dan pelancongan biasanya mempunyai ciri-ciri keunikannya tersendiri dalam konteks menarik minat orang ramai terutama kalangan pelancong berkunjung kekawasan tersebut. : KitaReporters.com

Semasa cuaca baik dan air laut pasang Pantai Redang di Kampung Sungai Labu, Sekinchan selalu dikunjungi orang ramai termasuk pelancong.  


Sehubungan dengan itu, jika kita pergi ke suatu tempat rekreasi mahupun pelancongan sudah tentulah ada objek-objek khusus yang dikategorikan sebagai ikon dan boleh menjadi daya tarikan utama hingga mendorong orang ramai termasuk pelancong daripada luar negara berminat ke kawasan berkenaan.

Ciri-ciri ini turut wujud bagi Kawasan Perkelahan dan Rekreasi Pantai Redang di Kampung Sungai Labu, Sekinchan di daerah Sabak Bernam, Selangor.

Antara ikon tarikan yang ada di kawasan tersebut termasuklah pondok atau tempat rehat di atas pokok yang dibina menggunakan bahan binaan daripada kayu siap diproses dan kayu asli yang diambil daripada kawasan pinggiran pantai.

Pondok rehat berkenaan yang sengaja dibina menghadap arah ke Selat Melaka jika duduk berehat di atasnya dengan udara bersih yang nyaman, tiupan angin laut menyegarkan sudah tentulah akan menenangkan fikiran dan jiwa seseorang.

Selain itu dengan pemandangan laut yang mendamaikan terutama ketika air sedang pasang saujana  mata memandang hingga ke Perairan Antarabangsa kelihatan kapal-kapal dagang lalu disamping bot-bot nelayan yang menjalankan kegiatan menangkap ikan disekitar perairan berkenaan.

Bila air laut mulai surut jika bernasib baik anda akan berpeluang melihat bot-bot nelayan berderet pulang membawa hasil tangkapan untuk dipasarkan. 

Di bahagian kawasan Pantai Redang ini terdapat muara Sungai Labu yang menjadi laluan keluar masuk nelayan Bagan Sekinchan untuk menangkap ikan di Laut Selat Melaka.

Pondok rehat yang dibina diatas pokok menjadi antara ikon tarikan kekawasan rekreasi dan pelancongan Pantai Redang, Sekinchan, Selangor.


Berbagai bentuk dan struktur pondok-pondok rehat dibina di atas pokok terdapat di sekitar kawasan pantai berkenaan yang mampu memberi keselesaan kepada sesiapa sahaja yang mengunjunginya.

Keunikan inilah yang menjadi tarikan utama orang ramai selain penduduk setempat termasuk juga pelancong dari China, Hongkong, Taiwan, Thailand, Kemboja, Singapura, Indonesia, Jepun dan negara-negara Eropah.

Selain pondok-pondok rehat di atas pokok, pihak Majlis Daerah Sabak Bernam dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan turut menyediakan wakaf dan kerusi-kerusi batu untuk orang ramai berehat sambil menikmati kesegaran tiupan angin Laut Selat Melaka.

Kawasan sekitar pondok rehat atas pokok disediakan juga kemudahan buaian dan tempat duduk dengan menggunakan tayar-tayar lama selain bangku-bangku kayu.


Juga di kawasan ini ada disediakan kemudahan insfrastruktur bagi kemudahan dan keselesaan para pengunjung termasuklah gerai makanan dan minuman, gerai jualan produk laut, gerai buah-buahan dan sebagainya selain tempat parkir berturap.

Untuk itu, jika anda yang berminat untuk berehat di pondok yang dibina di atas pokok sambil menikmati kesegaran udara, tiupan angin Selat Melaka dan pemandangan luas Laut Selat Melaka bolehlah berkunjung ke Pantai Redang, yang terletak hanya 5 kilometer dari Pekan Sekinchan dan Jalan Persekutuan Kuala Selangor-Teluk Intan.

Salah sebuah pondok rehat atas pokok yang terdapat di Pantai Redang.


Malahan Sekinchan juga kini merupakan antara tumpuan ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara yang bercuti mengikut konsep ala kampung kerana selain pantai bagi tujuan berehat, rekreasi dan memancing juga boleh meninjau kawasan sawah padi yang luas saujana mata memandang, kebun kelapa, sayur dan buah-buahan.

Bagi tujuan tersebut, banyak homestay diwujudkan bagi kemudahan penginapan selain hotel-hotel baget dan sederhana yang menawarkan kadar sewa berpatutan.

Antara pengunjung yang menggunakan kemudahan pondok rehat atas pokok di Pantai Redang, Sekinchan. 



Bagi kalangan masyarakat kaum Cina terutamanya penduduk tempatan Pantai Redang di Sungai Labu, Sekinchan, pantai berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri kerana adanya sebatang pokok yang dikenali sebagai "Pokok Impian" di kawasan ini yang terletak berhampiran kawasan parkir dan tokong.

Bagi mereka "Pokok Impian" dianggap mampu merealisasikan hajat dan impian seseorang jika berkunjung ke kawasan pokok berkenaan sambil memohon suatu yang diimpikan menurut kepercayaan kaum tersebut.

Pokok Impian yang ada di Pantai Redang menjadi kepercayaan masyarakat Cina ia boleh memberi tuah dan menunaikan impian yang dihajati. 


Sekumpulan pengunjung mengabdikan kenangan bergambar di hadapan Pokok Impian di Pantai Redang, Sekinchan, Selangor.


Menurut Tan Seng Yap, 66, seorang peniaga ais krim yang ditemui berniaga berhampiran kawasan Pokok Impian berkenaan, ramai pelancong yang datang ke Pantai Redang akan melawat dan memohon sesuatu hajat dan impian di pokok yang menjadi kebanggaan orang-orang Cina itu. 

Katanya, bagi kepercayaan masyarakat Cina pokok ini boleh membawa tuah dan jika seseorang yang memohon suatu hajat akan tercapai jika semasa melawat pokok tersebut melakukan permintaan. 

Bagaimanapun penulis yang berkesempatan melihat dari dekat keadaan Pokok Impian ini jelaslah ia hanya kepercayaan sesuatu kaum berkenaan sahaja kerana pokok yang dikatakan tumbuh sejak ratusan tahun itu sama saperti pokok-pokok kayu yang lain. 

Bagi mereka yang beragama Islam, elakkan daripada mempercayainya kerana ia boleh terpesong akidah, bagaimanapun sekadar ingin tahu dan melihat dari dekat tidak ada salahnya.

Selain pondok rehat atas pokok menghadap kearah Laut Selat Melaka dibahagian bawanya ada gerai menjual makanan ringan  dengan meja dan bangkunya diperbuat daripada kayu siap proses dan kayu asli dikutip berhampiran pinggiran pantai 


Sementara itu, Mohd.Ihsan Abdul Karim, 39, memberitahu, pada hari cuti tidak kira cuti mingguan atau cuti umum ramai orang berkunjung ke pantai ini untuk menikmati kesegaran tiupan angin Laut Selat Melaka.

Menurutnya, ada dalam kalangan bukan kaum Cina datang ke kawasan Pokok Impian tetapi tak tahulah untuk memohon hajat atau hanya sekadar melihat sahaja daripada dekat.

"Pokok yang dihiasi dengan ikatan reben merah dan menarik minat sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pantai Redang sering menjadi perhatian pelancong luar,"  jelasnya. 

Jika air pasang,katanya, ada juga mereka yang datang ke Pantai Redang untuk memancing di kawasan benteng yang dibina khas di situ. 

Terdapat juga orang ramai yang datang melihat keindahan matahari terbenam di kaki langit, ia lebih menarik dan indah semasa air laut pasang.

Papan tanda perkataan Sekinchan yang ada di Pantai Redang.


Dalam kunjungan penulis pada Ahad (17/11/2019) lalu, kurang bernasib baik dengan keadaan cuaca tidak mengizinkan kerana hujan di sekitar kawasan Pantai Redang dan pengunjung tidak begitu ramai, manakala keadaan air lautnya surut waktu itu. 

Pemandangan kurang menarik jika dibandingkan sesama air pasang.

Semasa kunjungan itu, keadaan air laut ketika itu surut hanya kelihatan beberapa orang penduduk mencari kepah di laut dan pengunjung mencari remis di pinggiran pantai.

Sebahagian gerai jualan yang beroperasi setiap hari di Pantai Redang untuk kemudahan orang ramai membelibelah khususnya makanan dan minuman.


Pantai Redang, Sekinchan tersenarai dalam kalender destinasi pelancongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia.

Kampung Sungai Labu dan Bagan Sekinchan yang terletak bersebelahan Pantai Redang merupakan antara salah satu kawasan penempatan nelayan keturunan kaum Cina di Selangor.

Bagi mereka yang ingin bercuti sama ada hujung minggu atau cuti umum bolehlah berkunjung ke sini selain menikmati keindahan kawasan pantai dan laut Selat Melaka juga dapat menikmati kehidupan ala kampung dengan suasana persekitaran sawah padi yang luas mata memandang, dan kawasan kebun kelapa, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Kawasan Pantai Redang pernah dijadikan lokasi pengambaran sebuah rancangan santai  TV8 dalam bahasa Mandarin melibatkan penyertaan penduduk setempat bersama wakil rakyatnya, Ng Suee Lim (ADUN Sekinchan) yang fasih bercakap dalam loghat Jawa serta selebriti TV berkenaan pada pertengahan tahun lepas. - KitaReporters.com

Gerai menjual layang-layang dan barangan lain antara yang menjadi tumpuan terutama kanak-kanak untuk membeli layang-layang.


Papan tanda Pantai Redang di Kampung Sungai Labu,Sekinchan. 


Perkampungan nelayan Bagan Sekinchan yang terletak bersebelahan Pantai Redang.


Pantai Redang merupakan antara destinasi pelancongan yang tersenarai dalam kalender Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia. 

0
0
0
1
1

Copy Link: