"Lagu "Sumpah" menang kerana melodinya yang indah, tidak kira sama ada vokalnya tidak sebaik dalam recording tetapi kami nilai dari segi lagu kerana ini adalah pertandingan juara lagu." Begitu pendapat Ketua Juri Anugerah Juara Lagu ke-34, Mohd Faisal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai. : KitaReporters.com

Naim Daniel menyampaikan lagu ciptaannya 'Sumpah' dalam gaya unik pada AJL 34 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Februari 2020. - Foto TV3 Malaysia.


Beliau memberitahu demikian kepada media pada sidang akhbar selepas berakhirnya Anugerah Juara Lagu ke-34 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad, 9 Februari 2020.

AJL34 menyaksikan  lagu "Sumpah" ciptaan Naim Daniel/Omar K dinobatkan sebagai Juara Lagu AJL 34, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi AJL dan baucer CJ Wow Shop bernilai RM10,000.

Malam kemuncak AJL34 turut menobatkan lagu "Bangun" ciptaan Navigator dan penyanyinya Aman Ra sendiri sebagai Naib Juara, manakala lagu ciptaan Hael Husaini/Ezra Kong, "Anta Permana" nyanyian Bob Yusof dengan kemunculan istimewa penyanyi asalnya, Dato Seri Siti Nurhaliza menduduki tempat ketiga.

Siti Nurhaliza bersama Hael Husaini, Bob Yusof dan Ezra Kong. - Pix IG @ctdk


Naib Juara membawa pulang wang tunai RM35,000, trofi dan baucer CJ Wow Shop bernilai RM5,000 manakala RM20,000, trofi dan baucer CJ Wow Shop bernilai RM5,000 bagi pemenang ketiga.

Hafiz Suip menampilkan isterinya yang mengandung ternyata membawa tuah.


Sementara itu, penyanyi yang pernah tiga kali memenangi Vokal Terbaik dalam AJL, sekali lagi memenangi kategori yang sama buat kali keempat melalui lagu 'Kisah Cinta Kita'  di mana Hafiz Suip membawa pulang wang tunai RM12,000 bersama baucer McDonald's Malaysia bernilai RM10,000 dan baucer CJ Wow Shop RM1,000.

Hafiz juga buat kali keduanya memenangi kategori Persembahan Terbaik dengan memperoleh wang tunai RM12,000 dan baucer CJ Wow Shop bernilai RM1,000. 

Kali terakhir beliau memenangi kategori sama adalah pada AJL ke-28 (2013) melalui lagu "Bahagia Mu Derita Ku".

Naim Daniel bersama trofi kemenangannya. - Kredit foto NSTP


Sementara itu, mengulas kemenangannya, Naim Daniel melahirkan rasa syukur dan terharu atas pencapaian yang tidak disangkakannya itu. 

"Saya hanyalah penyanyi kerdil dibandingkan dengan finalis lain apatah lagi ada antara mereka adalah alumni AJL dan pernah bergelar juara beberapa kali," ucap Naim.

Beliau menganggap kemenangannya itu sebagai pembakar semangat untuk  terus berkarya, malah Naim mengumumkan akan melancarkan single keduanya pada Isnin, 10 Februari 2020.

Berhubung wang kemenangan, pelakon yang terkenal dengan watak seorang anak OKU melalui drama rantaian 'Pia' ini berharap dapat membantu dan membahagiakan keluarga terutama ibu dan ayahnya.

"Lagi pun kakak nak kahwin tak lama lagi jadi bolehlah saya bantu sedikit sebanyak," tambahnya riang.

Foto IG @haqiemrusli98_


Sementara itu, kategori Anugerah Pilihan Peminat Setel dimenangi Haqiem Rusli yang dipilih melalui undian dalam aplikasi Setel, bermula 30 Januari 2020.

AJL 34 menyaksikan 12 finalis berentap terdiri daripada Ku Bersuara (Ernie Zakri), Kisah Cinta Kita (Hafiz), Bangun (Aman RA), Dinda (Masdo), Rampas (Akim & The Majistret), Drama (Drama Band), Peneman (Hazama) dan Lembah Kesepian (Haqiem Rusli).

Aina Abdul dengan gimik persembahannya berlumuran 'darah' ketika menyampaikan lagu "Sumpah". - Pix IG @ainaabdul.


Dalam pada itu, jika "Sumpah" Naim Daniel mengangkat dirinya pada kedudukan tertinggi, judul lagu seumpama iaitu "Sumpah" milik penyanyi Aina Abdul 'memakan' dirinya. 

Ini kerana persembahannya dianggap membawa bayangan 'membunuh diri' apabila pada akhir persembahan dilihat seolah menikam dadanya sehingga darah membasahi gaun putih yang dipakainya.

Bagi Aina, persembahan tersebut hanya sekadar gimik dan simbolik, namun mengundang kecaman netizen serta Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) malah viral dalam media sosial sehingga ada pula yang meletakkan gambar Aina di samping ais krim berperisa strawberi persis seperti yang dijual di sebuah restoren terkenal.

Apa pun ini ulas Aina Abdul melalui Instagramnya:

"Sebagai seorang wanita Muslim, tak pernah terlintas di fikiran saya untuk melakukan konsep seperti yang didakwa. Saya masih waras dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. 

"Persembahan saya hanya sebuah ekspresi seni yang saya sampaikan atas pentas AJL34 dan ia merupakan kesinambungan kepada jalan cerita muzik video Sumpah."


Menurut Ajai, Aina tidak kurang dalam memberikan persembahan dan nyanyian baik, namun kurang pengalaman di pentas sekali gus tidak memberikan impak pada lagu tersebut, malah gimik 'berdarah'nya itu melanggar syarat dan peraturan stesen televisyen.

Ada pula yang menyamakan konsep dibawa oleh Aina Abdul itu sama seperti persembahan Lady Gaga ketika menyampaikan lagu 'Paparazzi' pada Anugerah MTV VMA 2009.

Apa pun nasi sudah menjadi bubur, meskipun persembahannya nampak kreatif, namun tidak sesuai dipentaskan pada sebuah acara hiburan berprestij seperti AJL. Tak gitu?

Kesemua persembahan finalis diadili 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Datuk Wah Idris, Azmeer,  Helen Yap, Datuk Mokhzani, Edrie Hashim, Sharon Paul, Aznul Haidi dan Cat Farish manakala Ajai bertindak sebagai ketua juri.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 80 peratus yang diadili terlebih dahulu, waima baki 20 peratus diadili melalui persembahan pada malam kemuncak.

Terkenal  sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL34 tahun ini mengetengahkan tema "Warna-Warna Suara" dengan gabungan tiga pengacara popular, Awal Ashari, Sherry Al-Hadad dan Haziq Husni.

Acara pembuka tirai persembahan pada Malam kemuncak AJL34 dihiburkan oleh sekumpulan pemenang Vokal Terbaik terdahulu antaranya seperti Misha Omar,  Liza Hanim, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Lah Ahmad, Black dan Hazami.

Manakala segmen akhir menyaksikan persembahan karya hebat komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir yang turut disampaikan oleh Ameng Spring, Fredo, Datuk Hattan dan Datuk David Arumugam. - KitaReporters.com

0
3
0
1
0

Copy Link: