DEMI SYRIA!! 60 TAN BANTUAN, MAKANAN DIKIRIM
Published byYAYASAN Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) telah memilih untuk bersama-sama Hayrat Yardim yang merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertapak di Turki sebagai rakan kerjasama utama bagi melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan dan projek sosial bisnes di dalam dan luar negara dalam tempoh beberapa tahun. : KitaReporters.com
Muhammad Afiq Mohmad Nazari (kanan) dan Feridun Isikli, Naib Pengerusi Hayrat Yardim semasa sesi menandatangani Memorandum Persefahaman di Ibu Pejabat Hayrat Yardim di Istanbul, Turki pada 9 Januari 2020. - Foto ihsan YDKMM
Sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) ini dihadiri Pengerusi YDKMM, Muhammad Afiq Mohmad Nazari dan Ketua Pegawai Operasi YDKMM, Aisyah Shahid dan diketuai Feridun Isikli, Naib Pengerusi Hayrat Yardim.
YDKMM, Pertubuhan Basmi Kelaparan (Food For Hunger Organisation, FFH) dan Hayrat Yardim telah menjayakan Misi Kemanusiaan Musim Sejuk ke Syria selama 2 minggu bermula 8 Januari 2020 yang lalu.
Seramai 11 orang wakil YDKMM dan FFH telah berangkat ke Syria dan membawa pelbagai bentuk bantuan bernilai RM350,000 bagi fasa 1 yang dapat menyantuni hampir 10,000 pelarian Syria di sempadan Turki dan di Azaz, Syria.
Hasil kerjasama kertiga-tiga belah pihak telah membawakan 3 buah kontena yang berjumlah 60 tan dipenuhi dengan tepung gandum, set pakaian sejuk dan keperluan makanan asas berjaya dibawa masuk ke Azaz, Syria. Ardell Aryana, Nadzmi Adhwa dan Hazeman Huzir antara 3 orang selebriti yang bergabung tenaga demi menyertai misi kemanusiaan di negara bergolak itu.
Ardell Aryana, Nadzmi Adhwa dan Hazeman Huzir bersama Pengerusi YDKMM, Ketua Pegawai Operasi YDKMM dan ahli delegasi yang mewakili Malaysia bersama-sama 3 kontena yang dipenuhi dengan barang bantuan seberat 60 tan bersedia untuk dibawa masuk ke Azaz, Syria. - Foto ihsan YDKMM
Ardell Aryana berkata “Saya ingin menjadi seorang wanita yang berani seperti Safiyyah”.
Walaupun kandungan beliau mencecah 4 bulan, tetapi tetap bertegas untuk menyertai misi kemanusiaan ke Syria dan sepanjang berada di sana, beliau tidak mengalami sebarang alahan.
Beliau menceritakan lagi tentang cita-citanya sejak kali pertama dilantik menjadi ikon kemanusiaan YDKMM adalah untuk mejejakkan kaki ke bumi Syria dan impian beliau tercapai kini, di samping suami tercinta dan kandungan beliau di sana.
Bagi Haze pula, “Misi Kemanusiaan Musim Sejuk ini banyak mengajarkan saya erti syukur”.
Menurut laman sosial miliknya, beliau kini lebih memfokuskan karier sendiri dan mengutamakan masa serta peluang yang lebih fleksibel untuk membuat aktiviti kebajikan sosial dan berkenaan kemasyarakatan.
Selain daripada bantuan makanan asas dan set pakaian musim sejuk, YDKMM dan FFH juga telah membantu dari segi pemasangan sistem pemanas di salah sebuah rumah anak yatim yang menempatkan 75 orang anak-anak yatim piatu yang kehilangan ibu dan ayah mereka.
Mereka dididik untuk menghafal Al Quran, hadis dan kos pendidikan mereka ditanggung sepenuhnya oleh Hayrat Yardim.
YDKMM juga turut menyalurkan dana kepada salah sebuah Pusat Rehabilitasi di Azaz, Syria yang menjadi pusat rujukan hampir 200 pesakit setiap minggu untuk menjalani sesi fisioterapi dan rehabilitasi.
Kebanyakan mereka cacat penglihatan, pendengaran dan kecacatan fizikal, hilang anggota dan deria rasa akibat daripada kesan ketika dalam kandungan.
Seramai 10 orang para doktor dan ahli fisioterapi bertungkus lumus membantu mereka setiap minggu tanpa bayaran sudah hampir 7 bulan kerana kekurangan dana.
Pusat rehabilitasi ini dibuka semula sepanjang tahun 2020 hasil daripada kerjasama YDKMM dengan sokongan dan keprihatinan rakyat Malaysia.
Jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana hasil manfaat dari pelbagai bangsa dan peringkat umur yang prihatin dalam menjayakan misi kemanusiaan ini.
Sementara itu, antara projek lestari yang dirancang oleh YDKMM dengan kerjasama Hayrat Yardim ialah pembinaan kilang roti untuk menampung keperluan makanan ruji pelarian Syria yang saban tahun makin bertambah.
Menurut Muhammad Afiq, tujuan kilang ditubuhkan adalah untuk menyediakan bekalan yang berterusan sepanjang tahun kepada pelarian Syria.
Kilang ini beroperasi bermula jam 5 petang sehingga jam 10 pagi, dan kemudian akan diedarkan kepada kem-kem pelarian yang terdapat di kawasan tersebut.
Kali ini YDKMM menyerahkan bekalan tepung yang dapat menghasilkan 250,000 keping roti untuk menampung keperluan penduduk Syria di sana. - KitaReporters.com