[VIDEO] TERBAIK ATM!! PERIBAHASA DALAM LAGU
Published byWALAUPUN dunia semakin moden dan canggih, namun anak seni tempatan tetap tidak melupakan keindahan budaya dan bahasa warisan nenek moyang kita. Ia dapat dilihat melalui lagu terbaharu kugiran popular, Akim And The Majistret (ATM) yang sarat dengan olahan peribahasa Melayu lama. : KitaReporters.com
Foto: Facebook Akim And The Majistret
Lagu yang diberi tajuk Roulette itu merupakan lagu latar untuk filem Bulan Dan Pria Terhebat terbitan Astro Shaw.
Roulette merupakan sebuah karya segar yang mempunyai melodi rancak tanpa meninggalkan identiti rock ATM.
Seni kata lagu itu yang paling menarik kerana ia menghimpunkan enam peribahasa Melayu yang diolah oleh penulisnya.
Walaupun peribahasa yang digunakan tidak ditulis dalam bentuknya yang lazim, ia masih mengekalkan maksud yang sama.
Contohnya, dalam rangkap pertama, peribahasa "kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga" diolah menjadi "jangan cuba duga lautan/kalau kail kau sejengkal/dalamnya bukan mainan".
Begitu juga dalam rangkap keenam apabila penulis mengolah peribahasa "seperti menarik rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan berselerak" kepada "tarik rambut kau dalam tepung/tak nak tepung berselerak/rambut tak nak putus".
Olahan peribahasa lain yang digunakan ialah “nanti lari tak cukup tanah/terpaksa langkah seribu”; “bara api digenggam/biarkan sejuk sampai jadi arang”; “untung sabut pastikan timbul/untung batu kau manalah boleh terapung” dan “ada ubi adalah batas/ada masa nanti pula akan dibalas”.
Keberanian ATM untuk menghasilkan karya yang mengangkat unsur seni dalam bahasa Melayu wajar dipuji.
Walaupun masih muda dan membawa imej rock, ternyata ATM tidak keberatan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu dalam karya mereka. - KitaReporters.com