DENGAN modal permulaan sebanyak RM600,000, perolehan setahun disasar antara RM750,000 hingga RM1 juta. Inilah sasaran penubuhan Coop Farmasi, yang pertama di negara ini. : KitaReporters.com


Penubuhan Coop Farmasi pertama negara di Bentong, Pahang bakal menjadi titik sejarah penglibatan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam bidang farmasi, sekali gus menjadi model baharu perniagaan farmasi.

Malah kewujudan koperasi farmasi berkenaan bukan sahaja membuka banyak pekerjaan malah akan menjadi outlet kepada koperasi berkaitan untuk memasarkan produk kesihatan seperti madu kelulut dan sebagainya.

Satu ruangan khas bagi memasarkan produk kesihatan yang dihasilkan koperasi kampung dan koperasi kesihatan akan diwujudkan sekali gus mengangkat produk kesihatan tradisional ke tahap yang lebih tinggi. 


Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi yang ditubuhkan hasil kerjasama Angkasa dan Koperasi Farmasi Muslim Pahang Berhad menjadi model pertama Coop Farmasi di Malaysia dalam merealisasikan transformasi Angkasa.

"Kita sudah buka tiga bulan dan berasaskan kepada laporan awal, ia amat memberangsangkan dan kita bercadang menerusi koperasi-koperasi farmasi Muslim di seluruh Malayasia kita akan buka sebanyak 12 lagi pada tahun depan dengan setiap negeri satu outlet, manakala di Pahang sahaja kerana berjalan dengan baik kita akan buka empat lagi.

"Kita tidak takut pada saingan sebab kita ada ahli yang mana ahli kita di seluruh negara ada enam juta orang yang boleh menyokong kita," katanya dalam pada Majlis Perasmian Coop Farmasi Bentong di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Presiden Angkasa, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Pengarah Urusan Coop Farmasi Bentong, Abdul Aziz Jamaludin.

Menurut Abdul Fattah, penubuhan koperasi berkenaan akan dapat merancakkan sektor koperasi negara yang melibatkan diri dalam perniagaan berimpak tinggi.

Selain itu katanya, ia juga merupakan sumbangan Angkasa kepada masyarakat khususnya ahli-ahli koperasi dalam mendapatkan bekalan ubatan dan keperluan kesihatan dengan harga yang berpatutan. - KitaReporters.com

 #Bentong

3
1
0
0
0

Copy Link: