SISI GELAP CINTA AMITABH BACHCHAN DAN REKHA

Published by
KitaReporters

SUPERSTAR Amitabh Bachchan dan aktres Jaya Bhaduri dianggap sebagai pasangan ideal dan bahagia. Mereka dihormati baik dalam kalangan karyawan filem mahu pun masyarakat umum. Masyarakat  menyanjung tinggi pasangan yang telah mewarnai dunia Bollywood sejak beberapa dekad lalu. : KitaReporters.com

AMITABH BACHCHAN, Jaya Bhaduri (kanan) dan Rekha pernah bergabung dalam filem 'Silsila'.


Bertambah hebat keluarga ini apabila anak mereka, Abishek Bachchan juga terjun ke kancah Bollywood. Kehebatan makin terserlah apabila Abishek pula berkahwin dengan aktres ternama Bollywood, Aishwarya Rai.

Namun kehebatan pasangan Bachchan ini sebenarnya hanyalah lebih di permukaan sahaja. 

Tidak ramai yang tahu di sebalik segala pujian ke atas pasangan itu, ada titik-titik hitam bagai awan mendung yang pernah menyelubungi pasangan tersebut.

Amitabh Bachchan, 77, yang mengahwini Jaya Bhaduri, 71, rakan bintangnya dalam filem blockbuster ‘Sholay’, bukanlah seorang suami yang benar-benar setia.

Ini kerana setelah berkahwin pada Jun 1973, Amitabh menjalin hubungan sulit dengan aktres popular Rekha. Kedua-dua mereka jatuh cinta selepas sama-sama membintangi filem ‘Do Anjaane’ (1976).

Filem arahan Dulal Guha ini turut dibintangi Mithun Chakraborty, pelakon watak jahat Pran, Lalita Pawar, Urmila Bhatt dan Jagdish Raj.

'DO ANJAANE' menyemai benih percintaan Amitabh Bachchan dan Rekha.


Cinta yang berputik di set penggambaran ini terus mekar segar. Hubungan Amitabh dan Rekha semakin intim walaupun Amitabh sedar dia sudah menjadi suami orang.

Malah ada yang mendakwa pasangan kekasih ini telah berkahwin secara rahsia. Tiada pengesahan mengenai perkara ini tetapi rakan-rakan rapat mereka dikatakan tahu mengenai perkahwinan tersebut.

Walaupun pasangan tersebut cuba menyembunyikan hubungan mereka, akhirnya ia dihidu juga dan pecah menjadi berita serta perbincangan hangat. 

Pengarah tersohor, Yash Chopra, sendiri pernah mengesahkan bahawa Amitabh dan Rekha memang pasangan kekasih.

Jaya Bhaduri sendiri dikatakan tahu mengenai hubungan terlarang ini tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Perasaan sedih dan kecewanya hanya dipendam di dalam hati. Inilah saat yang paling menyedihkan dalam hidupnya.

MESRANYA pasangan Amitabh Bachchan-Rekha.


Namun dalam kesedihan dan kekecewaan, dikumpulkan segala kekuatan yang ada pada dirinya untuk bersemuka dengan Rekha dan membuat perhitungan.

Dalam pertemuan itu, Jaya menegaskan kepada Rekha, dia sama sekali tidak akan meninggalkan Amitabh walau dengan apa cara sekali pun.

Pada masa sama, Amitabh juga tidak berhasrat meninggalkan Jaya untuk ke pangkuan Rekha. Perbuatan ini hanya akan menjejaskan kredibiliti dan nama baiknya di mata umum.

Dengan kata dua Jaya dan menyedari pendirian Amitabh, Rekha yang membuat penampilan Bollywood melalui filem ‘Sawan Bhadon’ pada 1970 bersama Navin Nischal, menyedari Amitabh tidak akan meninggalkan Jaya untuk dirinya.

Pasti dengan situasi ini, dia menerima hakikat kisah cinta mereka akan sia-sia sahaja. Penantiannya bagai mengejar bayang-bayang. Makin dikejar makin jauh. 

Kerana itu dia mengambil keputusan memutuskan terus hubungannya dengan Amitabh.

CINTA TIGA SEGI... Amitabh Bachchan, Rekha dan Jaya Bhaduri (kiri).


Rekha melalui kehidupan yang sunyi selepas itu. 

Dalam mencari ketenangan dan kasih yang hilang, dia dikatakan mempunyai hubungan dengan beberapa jejaka, termasuk aktor Vinod Mehra dan Sunjay Dutt. Namun itu juga tidak berakhir di gerbang perkahwinan.

Akhirnya dia bertemu dengan seorang usahawan, Mukesh Aggarwal. Mukesh terus jatuh hati kepada Rekha dan melamarnya. Rekha menerima dan mereka berkahwin pada 1990.

Sayangnya perkahwinan ini hanya bertahan setahun. Mukesh Aggarwal mati pada 1991 kerana membunuh diri. Sekali lagi Rekha dirundung kecewa.

Hakikatnya hari ini, sementara Amitabh Bachchan bahagia bersama Jaya dan keluarga, Rekha masih bersendirian melayari bahtera hidup setelah kematian Aggarwal. 

Kebahagiaan yang diimpikan nyata tidak menjadi kenyataan. - KitaReporters.com

PASANGAN kekasih Amitabh Bchchan-Rekha yang akhirnya berpisah.


 

  

 

 

 

 

5
0
2
1
2

Copy Link: