HARIMAU BELAJAR BESBOL DARIPADA SAMURAI
Published byWOW! Mahal juga ya hendak bermain besbol! Satu set kelengkapan penuh seseorang pemain besbol berharga dalam anggaran RM600 hingga RM700. Jersi sahaja RM120, manakala cleat (seluar) yang paling murah pun, RM150. Macam mana kalau dicampur pula sarung tangan, RM150 dan topi? Itu belum termasuk bat (kayu pemukul). : KitaReporters.com
SKUAD besbol Malaysia pernah mendapat bimbingan bekas jurulatih Indonesia, Katsumi Harada (berdiri, kanan) dari Jepun. Indonesia menjadi naib juara Sukan SEA 2011 di bawah kejurulatihan Harada.
Namun bagi Naib Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Raja Shahrul Azmi Raja Shahar, biasanya dua batang bat digunakan secara berkongsi oleh sesebuah pasukan di negara ini.
“Kecualilah seseorang pemain pro itu yang memang mahu dan berasa lebih selesa dalam menggunakan bat sendiri,” katanya yang sudah menceburi sukan ‘pukul, lari dan tangkap’ ini sejak 1999.
“Besbol di sini agak bertuah kerana menerima sumbangan peralatan daripada beberapa pasukan liga profesional Jepun yang datang mengendalikan klinik kejurulatihan.
Peralatan besbol kebanyakannya dibuat di Amerika Syarikat dan Jepun, namun Malaysia biasanya mengimport barangan berkenaan yang dikeluarkan di kilang-kilang jenama terkenal di Indonesia, Vietnam dan China.
Besbol di Malaysia katanya bukanlah terlalu baharu kerana sudah lebih dua dekad dimainkan dan terdapat kira-kira 100 pemain berbakat pada peringkat Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung secara tahunan.
Raja Shahrul Azmi merupakan antara pemain perintis besbol negara yang membantu meraih tempat ketiga Piala Asia di Chinnagar, India pada 1999 yang disertai tuan rumah, Filipina dan Iran.
RAJA Shahrul Azmi Raja Shahar, bekas pemain skuad negara dalam Piala Asia 1999 di India.
Pada 16 November 2019, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang menerima kunjungan jurulatih Akademi Yomiuri Giants Jepun, Kosuke Naruse dan pasukan Universiti Kitakyushu (19 Julai dan 6 November 2019) mahupun Seibu Lions.
Malah UPM yang bakal siap dibina sebuah stadium khas besbol di tanah seluas 4.45 hektar, dua tahun lagi, pernah dikunjungi dua pemain kelab dalam Liga Perdana Besbol (Major League Baseball atau MLB) di Amerika Syarikat.
Antaranya pelontar, Mike Wright dari kelab Seattle Mariners dan Chance Sisco, penangkap Baltimore Orioles pada 26 Oktober 2019.
Stadium besbol UPM kata Raja Shahrul Azmi, bakal menyaksikan kehadiran lebih ramai pemain dan jurulatih pasukan profesional antarabangsa apabila tiba musim sejuk atau luar musim liga mereka.
“Stadium dengan kos pembinaan RM4 juta ini akan jadi padang latihan luar musim apabila Jepun dan Amerika bermusim sejuk. Inilah peluang baik kita belajar daripada mereka dalam klinik besbol,” katanya.
Selain itu, dalam kejohanan kebangsaan, BFM selaku penganjur turut mengundang beberapa pasukan yang pemainnya dalam kalangan ekspatriat Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat.
AKSI skuad negara (berjersi gelap) menentang UPM dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa di UPM, Serdang, Julai 2019.
“Agak hampa ialah apabila sebuah pasukan besbol negara gagal dihantar beraksi dalam Sukan SEA Filipina (pada November 2019).
“Sebabnya banyak berkaitan bajet dan tiadanya sokongan badan induk tertentu. Besbol kata mereka, bukan sukan teras,” katanya.
Besbol katanya cuma berbeza daripada sofbol (dulunya bola lisut) pada jenis bola, jarak dan cara lontaran serta ukurang padangnya.
“Padang Politeknik Jitra, Kedah mirip baseball park (stadium besbol) tetapi tidak cukup panjang untuk dimainkan besbol dan hanya sesuai bagi sofbol.
“Tanah merahnya atau dipanggil skin diamond memang rata, tanpa rumput dan lopak yang apabila bola terkena permukaannya, tidak akan melantun,” katanya. - KitaReporters.com