MUNGKIN ramai yang mahu menjadi kontraktor kerana kerjaya itu mampu menjanjikan pendapatan lumayan. Namun hakikatnya kerjaya sebagai kontraktor tidak semuanya indah dan penuh dengan cabaran sehingga ada yang terpaksa gulung tikar atau meninggal sebelum menerima bayaran. : KitaReporters.com

Syed Syafiz Syed Kamarul Baharin menunjukkan kerja membuat padang dan pagar yang siapkan sejak 2003 tetapi belum dilunaskan bayaran sehingga kini.


Isu keuntungan yang tidak setimpal, bayaran tertangguh dan ditipu sememangnya dilihat  menjadi lumrah dalam dunia kontraktor pada masa ini.

Dan bagi seorang kontraktor, Allahyarham Syed Kamarul Baharin Syed Abdullah dari Rompin, Pahang yang sudah lama bergiat dalam kerja itu, nasibnya terus 'teraniaya' apabila sehingga ke akhir hayat dia masih tidak mendapat bayaran kerja kontrak yang telah disiapkan.

Akibat tidak mendapat bayaran menyebabkan hasrat Allahyarham yang meninggal dunia pada 10 November 2019 ketika berusia 62 tahun untuk menyelesaikan baki hutang rumah dan membelikan kereta buat anak perempuan bongsunya tidak kesampaian.

Malah rumah didiami keluarganya juga hampir dilelong selepas gagal menjelaskan bayaran bulanan kerana kehabisan wang simpanan yang digunakan untuk melakukan kerja-kerja kontrak.

Allahyarham  Syed Kamarul Baharin Syed Abdullah ketika mendapatkan rawatan akibat sakit kanser di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang. 


Anak mangsa, Syed Syafiz Syed Kamarul Baharin, berkata, kejadian itu begitu memberikan kesan kepada Allahyarham bapanya yang berasa tertipu dan kecewa sehingga bertindak menjual lesen kelas F.

Katanya, sehingga ke akhir hayatnya Allahyarham yang begitu jujur dan amanah dalam melakukan kerja kontrak meluahkan rasa terkilan dengan perkara itu.

"Sehingga ke akhir hayat dalam keadaan sakit dan berkerusi roda ayah pergi ke pejabat Menteri Besar sebelum Menteri Besar memberikan surat supaya pejabat daerah Rompin menyelesaikannya, tetapi tiada kesudahan sehingga kini.

"Kami amat sedih kerana pada nafas akhir, Allahyarham meminta kami tolong uruskan (dapatkan bayaran) kerana katanya tidak ada apa yang ditinggalkannya untuk emak dan adik bongsu yang masih belajar," katanya ketika ditemui di Kuantan pada Ahad, 16 Februari 2020.

Allahyarham  Syed Kamarul Baharin Syed Abdullah yang meninggal dunia pada 10 November 2019 menaruh harapan pada akhir usianya agar bayaran tersebut dilunaskan demi untuk isteri dan anak bongsunya. 


Menurut Syed Syafiz,  Allahyarham bapanya menggunakan kesemua duit simpanan bagi melaksanakan kontrak yang diterima itu sehinggalah tidak mampu melunaskan bayaran bulanan rumah yang didiami.

Katanya, selepas bank mengeluarkan notis melelong rumah berkenaan, salah seorang abangnya yang bekerja kerajaan terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi menjelaskan hutang tersebut.

Dalam pada itu, menceritakan mengenai kerja kontrak berkenaan, dia memberitahu, Allahyarham mendapat kontrak membina sebuah balai raya, membina padang dan membuat pagar dengan nilai keseluruhan RM183,000.

Katanya, semua kerja yang ditawarkan dalam surat kerja itu hanya dijelaskan bagi bayaran pembinaan balai raya sahaja, tetapi bagi pembinaan padang dan pagar masih belum dijelaskan sehingga kini.

"Kami berasa pelik kerana surat kerja ada dan semua kerja telah disahkan siap pada 2003 tetapi apabila kami ke pejabat daerah mereka mengatakan tiada fail projek ini.

"Kami berasa ini satu penipuan dan berharap ia mendapat perhatian dan kami hanya mahukan bayaran yang dijanjikan dalam surat kerja itu," ujarnya. - KitaReporters.com

Surat tuntutan bayaran yang menerima maklum balas dari pejabat Menteri Besar tetapi bayaran masih belum dilunaskan sehingga kini.

0
0
21
1
2

Copy Link: