CINTA LATA-RAJ: CINTA TULUS BUKAN CINTA BIASA
Published byUSIANYA sudah menjangkau 91 tahun. Namanya terkenal di dalam dan luar India. Jika hanya mendengar suaranya, pasti akan menyangka Lata Mangeshkar masih berusia belasan tahun kerana suaranya tetap nyaring dan merdu seperti suara gadis belasan tahun. : KitaReporters.com
LATA MANGESHKAR meniti hari tua berseorangan dan sering sakit. - Kredit foto: IWMBuzz.
Dia yang dilahirkan pada September 1929 menceburkan diri dalam bidang nyanyian pada usia muda iaitu 13 tahun.
Sejak itu dia terus menjadi kegilaan ramai.
Untuk beberapa dekad dia menempa nama dan menguasai kedudukan sebagai penyanyi latar filem-filem Hindi paling popular dan dihormati. Lagu-lagu nyanyiannya menjadi siulan peminat.
Lata tersenarai dalam buku ‘Guiness Book of Records’ sebagai artis yang merakamkan paling banyak lagu di dunia.
Dianggarkan dia merakamkan 30,000 lagu baik secara solo atau duet sejak mula merakamkan suara sehingga tahun 1987.Suara Lata digunakan oleh hampir kesemua bintang ternama Bollywood seperti Asha Parekh, Sharmila Tagore, Mumtaz, Saira Banu, Hema Malini, Vijayantimala, Tanuja, Dimple Kapadia, Sadhana, Nanda dan Babita.
Lata juga menyanyi untuk hampir kesemua komposer terkenal filem Hindi seperti Kalyanji Anandji, Laxmikant Pyarelal, Shankar Jaikishan, RD Burman dan SD Burman.
Dia yang pada peringkat awalnya berhasrat menjadi pelakon akhirnya mengubah haluan menjadi penyanyi. Perubahan ini membawa tuah pada dirinya. Nyata dia mencipta kejayaan besar sebagai penyanyi.
LATA MANGESHKAR ketika kecil (kiri) dan remaja. Keayuan terserlah di wajahnya.-Kredit Patricia News.
Lata adalah adalah penyanyi latar filem yang ulung, seperti juga Mohamad Rafi.
Hampir kesemua hero filem Hindustan menggunakan suara Rafi sebagai penyanyi latar. Dia lebih dikagumi berbanding seorang lagi penyanyi latar terkenal, Kishore Kumar.
Dalam karier seninya, selain rakaman solo Lata juga menyanyikan ratusan lagu secara duet dengan Mohamad Rafi dan Kishore Kumar. Namun gandingan Rafi-Lata dianggap paling ideal.
Ada beberapa lagi penyanyi latar wanita. Antara yang popular ialah adik Lata sendiri iaitu Asha Boshle, juga Sharda dan Sulman Kalyanpur.
Namun mereka tidak dapat menandingi kehebatan Lata, seperti juga Mukesh, Mahendra Kapoor yang tidak dapat menandingi kehebatan Mohamad Rafi.
MOHAMAD RAFI penyanyi latar terkenal dan rakan duet Lata Mangeshkar.
Dalam kariernya, Lata memang cemerlang.
Dia yang mendapat gelaran ‘The Nightingale of Bollywood’ pernah menerima pelbagai anugerah daripada kerajaan India, antaranya ‘Bharat Ratna’, ‘Padma Vibhushan’, ‘Padma Bushan’ dan ‘Anugerah Dadasaheb Palkhe’.
Namun di sebalik ini semua, kehidupan peribadi Lata tidak lengkap.
Sekali pun dikelilingi adik beradik iaitu Asha Bhosle, Usha Mangeshkar, Hridaynath Mangeshkar dan Meena Khadikar, dia menjalani kehidupan dalam kesunyian dan berseorangan.
Sementara rakan penyanyi lain berumah tangga dan beranak cucu, Lata sehingga kini masih bersendirian. Dengan usianya yang sudah lanjut dan kerap diserang sakit, dia mungkin akan terus berseorangan.
Adakah Lata tidak pernah jatuh cinta atau tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin?
Sebagai insan biasa, naluri cinta dan keinginan begelar isteri tetap ada.
RAJ SINGH insan yang berjaya mencuri hati Lata Mangeshkar.-Kredit The Hindu
Lata pernah jatuh cinta dengan seorang jejaka yang diharapkan menjadi pasangan hidup dan pelindung dirinya. Tetapi malangnya cintanya tidak sampai ke penghujung.
Apabila cinta putus, Lata tidak pernah jatuh cinta lagi dan hasrat ingin berkahwin dilupakan. Ini kerana baginya jatuh cinta hanya datang sekali. Sekali gagal bererti tiada cinta lagi.
Orang yang berjaya mencuri hati Lata ialah Raj Singh, rakan kepada abang Lata, Hridaynath Mangeshkar.
Raj berketurunan raja dan merupakan salah seorang pemain dan pentadbir persatuan kriket ternama di India. Malah dia juga diberi kepercayaan sebegai pemilih pemain pasukan kebangsaan India untuk dua penggal.
Raj Singh berkawan baik dengan Lata. Lama kelamaan persahabatan ini membenihkan bibit cinta antara mereka. Malah Raj Singh memanggil Lata dengan nama manja ‘Mithoo’.
SEKALIPUN ditakdirkan tidak hidup bersama, Raj Singh dan Lata Mangeshkar tetap bersabahat baik.
Mereka berdua sudah bersedia untuk menokhtahkan percintaan mereka dengan ikatan perkahwinan.
Malangnya ia tidak semudah dijangka. Ini kerana Raj Singh berketurunan raja sementara Lata orang biasa.
Bapa Raj Singh menentang hubungannya dengan Lata dan tidak mengizinkan mereka untuk berkahwin. Keluarga raja itu tidak boleh menerima Lata menjadi ahli keluarga.
Raj Singh, sebagai seorang yang taat dan hormat kepada bapanya akur dengan kehendak orang tuanya.
Lata menerima keputusan Raj Singh dengan berat hati. Walaupun kecewa kerana cinta putus di tengah jalan dan hasrat untuk hidup bersama tidak tercapai, mereka tetap menjadi kawan baik .
Namun Raj Singh juga berpegang kepada prinsip bahawa jatuh cinta hanya sekali. Dia bersumpah tidak akan berkahwin dengan sesiapa pun setelah gagal mengahwini insan yang dicintai.
Sumpah ini dipegang oleh Raj Singh sehingga akhir hayatnya. Dia yang dilahirkan pada Disember 1935 meninggal dunia pada September 2009 dalam usia 74 tahun.
Walaupun kisah cinta Raj Singh dan Lata tidak berakhir dengan kegembiraan, ia dipenuhi dengan kasih sayang dan sumpah setia yang tidak mudah terlerai iaitu sekali sudah dipilih hati tidak berbelah bahagi.
Ini terbukti dengan Raj Singh terus membujang sehingga ke akhir usia dan Lata Mangeshkar sendiri meniti hari-hari tuanya berseorangan.
Masih adakah cinta seperti ini di zaman ini? - KitaReporters.com