TAHU TAK? BOLEH TANAM PISANG CARA TERBALIK

Published by
KitaReporters
EVOLUSI teknologi bidang pertanian mutakhir ini agak memberangsangkan malahan ada teknik mahupun kaedah yang dihasilkan seolah-olah di luar kotak pemikiran normal kehidupan kita : KitaReporters.com

Pisang yang ditanam melalui teknik songsang atau tanaman terbalik keadaan fizikal pokoknya agak rendah jika dibandingkan dengan kaedah tanaman biasa. Hasilnya, buahnya lebih banyak dan besar - Foto blogsports.com Donny Ien. 


Penciptaan kaedah yang dihasilkan dalam kalangan mereka meminati dunia pertanian yang berfikiran kreatif dan inovatif ini adalah tidak lain semata-mata hanya untuk meningkatkan kemajuan bidang tersebut melalui pertambahan pengeluaran hasil sesuatu tanaman diusahakan.

Thailand  antara negara terkehadapan dalam penghasilan teknik dan kaedah meningkatkan produk pertanian tidak kira jenis tanaman kontan mahupun kekal selain Taiwan, Jepun, Korea, China dan Indonesia serta negara-negara maju yang menjalankan aktiviti dalam bidang berkenaan.

Beginilah keadaan buah pisang yang dihasilkan melalui penanaman mengikut kaedah tanam terbalik.


Salah satu teknik pertanian yang boleh dianggap luar biasa dan tidak tergambar oleh fikiran dan mudah dilakukan ialah tanaman pisang. 

Ramai petani di negara terlibat khususnya Thailand dan Indonesia sudah mempraktikan kaedah tersebut dan berjaya. Hasil yang diperolehi melaluinya memberangsangkan.

Kaedah yang dimaksudkan dikenali sebagai proses songsang iaitu pisang ditanam mengikut teknik terbalik. 

Pisang yang hendak ditanam mengikut cara ini ialah pokok yang sudah mengeluarkan hasil dan ditebang. Ambil pokok pisang dan potong bahagian ubi atau perdunya sepanjang kira-kira 30 sentimeter dan seterusnya ditanam dengan membalikkan ubinya ke atas. 

Untuk proses menanam pisang melalui teknik songsang, pilih ubi pisang yang subur dan sudah ditebang pada ukuran antara 30 sentimeter hingga 40 sentimeter termasuk perdunya (sebahagian batang).


Menurut seorang pencinta bidang pertanian, Donny Ien dalam paparannya di blogsports.com miliknya,kaedah penanaman ini telah dicuba oleh petani di Thailand dan Indonesia. Hasil diperolehi melaluinya agak baik.

Dalam pemikiran sebagai orang biasa, kaedah penanaman pisang mengikut teknik ini mungkin tidak dijangka sama sekali malahan jika difikirkan ia seperti kurang munasabah.

Bayangkanlah, katanya bagaimana pokok pisang boleh tumbuh sedangkan cara menanamnya berbeza sama sekali daripada kaedah yang selalu digunakan iaitu dengan menanam ubinya dan bukan bahagian batangnya dahulu.

Tanam pisang melalui teknik terbalik atau songsang, bunyinya agak pelik dan menghairankan.

Tetapi kaedah ini dibuktikan berjaya dan mampu mengeluarkan hasil lebih baik daripada pisang yang ditanam secara normal, yang di sesetengah tempat dikenali juga dengan kaedah 3T ( tanam, tinggal dan tuai ).

Beliau mengambil rujukan mengenai kaedah tanaman pisang secara terbalik atau songsang ini daripada seorang pensyarah di Universiti Chiangmai, Thailand, Dr Yak Maejo yang membuktikan ia berhasil.

Antara faedah yang diperolehi jika mempraktikan teknik tanaman pisang secara terbalik atau songsang termasuklah :

  • Banyak anak pisang akan tumbuh daripada satu benih yang ditanam.
  • Pokok yang tumbuh keadaan fizikalnya rendah dan tidak mudah tumbang bila terkena tiupan angin.
  • Keadaan pokoknya cepat berbuah.
  • Pisang yang ditanam mengikut teknik ini berbuah rendah dan mudah dicapai semasa menuai buahnya.
  • Jarak pelepah daunnya lebih rapat jika dibandingkan dengan pisang yang ditanam secara biasa.
  • Buah yang dihasilkan lebih besar dan banyak dalam satu-satu tandan.

Beginilah antara cara penyediaan benih pisang yang sesuai untuk proses tanaman melalui kaedah songsang yang dilakukan petani di Thailand.


Cara dan teknik yang betul panduan bagaimana menanam pisang melalui kaedah tanam terbalik hingga mampu menghasilkan buah yang banyak. 


Setelah benih pisang dimasukkan kedalam lubang kambus dengan tanah dan tinggalkan kira-kira  beberapa sentimeter dipermukaan tanah dan tutup dengan rumput atau daun-daun kering bagi mengelakkannya daripada panas matahari.


Setelah beberapa bulan akan tumbuh tunas anak pisang, bagaimanapun keadaan ini bergantung kepada kesuburan tanah dan cara pengawasan dilakukan oleh seseorang.


Tanaman pisang melalui kaedah songsang atau tanam terbalik berjaya dihasilkan melalui penjagaan dan pengawasan yang bersistem selain kesuburan tanah. 


Sebahagian anak benih pisang yang dihasilkan melalui teknik tanam terbalik atau songsang.


Sementara itu, seorang aktivis pertanian moden di Indonesia Waryana Aji melalui blog Kabartani.com menceritakan cara bagaimana kaedah menanam pisang secara terbalik dan berbuah rendah seperti yang dilakukan oleh petani di negara berkenaan.

Beliau menggariskan enam teknik yang perlu dilakukan untuk tujuan menanam pisang secara terbalik atau songsang supaya pokoknya rendah dan berbuah  lebat antaranya :

  • Potong bahagian ubi atau perdu pokok pisang yang hendak dijadikan benih dan hendaklah ditanam dengan kedalaman antara 40 ke 50 sentimeter (cm). Pelbagai jenis pisang boleh dijadikan benih.
  • Korek lubang sedalam kira-kira 40  sentimeter dan lebar 30 sentimeter. Gemburkan tanah yang bakal  ditanam benih pisang supaya akarnya cepat tumbuh. Letakkan baja di dalam lubang telah dikorek supaya pertumbuhannya subur dan cepat.
  • Tanam pokok pisang yang hendak dijadikan benih memenuhi lubang yang siap dikorek secara terbalik dengan meletakkan bahagian ubinya di atas, manakala batang pisang tersebut ditanam ke dalam lubang.
  • Selepas proses menanam selesai tutup lubang dan tinggalkan benih pisang antara 2 sentimeter ke 3 sentimeter di atas permukaan tanah. Ambil rumput atau daun kering, tutupkan atas benih tadi supaya tidak cepat kering kerana cuaca panas. Siram air setiap hari supaya benih tersebut cepat bertunas  dan tumbuh dengan elok.
  • Selepas beberapa bulan (bergantung kepada kesuburan tanah dan cara pengawasan), tunas anak pokok baharu akan tumbuh. Jika disiram dan dibaja dengan teratur, pokok pisang berkenaan akan tumbuh dan berbuah lebih cepat berbanding proses tanam secara normal.

Setelah pokok pisang tersebut berumur hampir setahun ditanam melalui teknik ini akan menghasilkan buah yang agak lebat dan fizikal pokoknya lebih rendah jika dibandingan dengan ketinggian pisang yang ditanam secara normal.

Kaedah untuk menjadikan buah pisang yang hasilkan dalam keadaan rendah ialah dengan menebuk bahagian batangnya kira-kira 1 meter atau 1.5 meter jarak daripada bahagian perdu pokok. - Foto blogspot kabartani.com.


Beberapa hari kemudian tunas pokok pisang akan terbit daripada bahagian batang yang ditebuk.


Tunas yang terbit dari bahagian batang telah ditebuk kemudiannya akan menjulur keluar dan menerbitkan  daun pisang. Bahagian ini juga akan mengeluarkan jantung yang menghasilkan buah pisang.


Dalam pada itu, petani di Thailand dan Indonesia juga berjaya membuat eksperimen untuk memudahkan supaya buah pisang dapat diambil (dituai) dalam keadaan rendah berbanding melalui konsep tanaman biasa yang terpaksa ditebang pada kedudukan antara 2.5 meter ke 3.5 meter pokoknya agak tinggi.

Dalam paparan pada blogsports D'Kebun.com menyatakan teknik ini dilakukan supaya proses mengambil buah pisang lebih mudah dan selesa dapat dilakukan tanpa perlu mencacatkan buahnya terutama yang sudah  masak di pokok kerana kedudukannya agak tinggi.

Melalui teknik ini, pokok pisang perlu dibersihkan terlebih dahulu pelepah dan daun-daun kering sekitar tempat yang sesuai untuk dilakukan tebukan  di mana jarak kira-kira 1 meter hingga 1.5 meter dari perdu pokok bagi dijadikan tempat mengeluarkan tunas pisang yang baharu seterusnya sebagai pucuk dan mampu mengeluarkan jantung serta buah. 

Beginilah keadaan pokok pisang yang dihasilkan daripada kaedah tebukan pada batang dan untuk tempuh beberapa bulan mampu mengeluarkan jantung.


Dengan menggunakan pisau tajam, potong bahagian batang pisang yang telah dikenal pasti antara 12 sentimeter lebar dan 18 sentimeter panjang. Pemotongan perlu dilakukan hingga ke bahagian tengah pokok.

Selepas itu, buat potongan seperti terusan di bahagian bawah yang dilakukan pemotongan tadi untuk mengelakkan takungan air jika berlakunya hujan.

Letakkan penutup seelok-eloknya kotak pada bahagian atas yang telah dipotong bagi mengelakkan tunasnya melonjak terus ke atas.

Dalam jangka beberapa hari tunas pisang akan tumbuh dan menjulur keluar seperti tunas pada proses tanaman biasa.

Untuk tempuh dua bulan daripada proses pemotongan, bahagian tunas yang sudah menjadi sebahagian pokok pisang akan mengeluarkan jantung bakal menghasilkan buah.

Bagaimanapun tempoh tersebut bergantung kepada kesuburan pokok pisang berkenaan.

Melalui kaedah ini, kedudukan buah pisang yang terhasil agak rendah antara 1 meter hingga 1.5 meter bergantung kepada torehan bahagian pokok tersebut dilakukan.

Buah pisang yang terhasil daripada kaedah ini sama saperti buah-buah pisang yang ditanam melalui proses tanaman biasa cuma kelebihannya kedudukan buahnya lebih rendah dan senang untuk dituai bila sudah matang atau masak. 

Buah pisang hasil daripada kaedah tebukan batang sama saperti yang dihasilkan pada pokok asalnya malahan pada keadaan tertentu buahnya juga lebih besar dan banyak.


Dalam konteks ini, para petani negara wajar mencontohi dan mempraktikkan teknik-teknik pertanian yang boleh menghasilkan pelbagai peningkatan sebagai usaha memajukan bidang pertanian ke satu tahap lebih baik serta menguntungkan pada masa depan.

Malahan jika ada kalangan petani yang memiliki ilmu dan kebolehan mencipta apa-apa kaedah boleh memperbaiki dan meningkatkan hasil pertanian diusahakan perlulah berkongsi untuk faedah bersama.

Selamat mencuba kaedah penanaman pisang secara teknik songsang ini semoga majulah bidang pertanian dan meningkatkan tahap ekonomi golongan petani serta negara keseluruhannya.  - KitaReporters.com

2
6
0
0
0

Copy Link: