IG KENA GODAM, 'LIKE' SEMULA @AKUAMYSEARCH
Published byGOLONGAN terkenal sering menjadi mangsa digodam media sosial mereka. Terbaharu dialami penyanyi rock, Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman, 61. : KitaReporters.com
Amy Search berputih mata apabila Instagram (IG) miliknya @Akuamysearch digodam selepas mengumpul lebih 600,000 pengikut sejak mengaktifkan akaun media sosialnya itu beberapa tahun lalu.
Lebih menyedihkan, koleksi foto dan video yang dimuat naik dalam akaun itu, lenyap begitu sahaja.
Amy menyedari kejadian itu, subuh Jumaat, 21 Februari 2020 dan tidak menduga nasibnya sama seperti akaun media sosial selebriti lain yang pernah digodam.
"Jika selama ini, saya hanya membaca dan melihat teman artis melalui pengalaman sama, kali ini, giliran saya pula.
"Nampaknya, saya kena bermula dari langkah pertama. Sebelum ini, pengikut saya sudah lebih 600,000 orang. Bukan mudah hendak mencapai angka itu.
"Saya reda. Selama ini, media sosial seperti IG menjadi ruang buat saya mendekatkan diri dengan peminat dan mencari rezeki melalui promosi produk," katanya.
Sebagai artis senior, Amy tidak mahu ketinggalan memanfaatkan media sosial dan platform komunikasi lain untuk berhubung dengan peminat.
"Saya percaya media sosial termasuk IG mempunyai manfaat sendiri jika diguna dengan baik. Usia bukan halangan untuk kita menggunakan kemudahan ini," katanya.
Amy mengaku sedih banyak kenangan dalam akaun IG itu lesap.
"Soal pengikut kita boleh kumpul balik. Tapi, foto dan video yang saya simpan hilang. Itu yang menyedihkan," kata Amy.
Amy tanpa membuang masa membuka akaun baharu dengan mengekalkan nama @akuamysearch dan mula mengumpul peminat.
Sehingga jam 7 malam Sabtu, 22 Februari 2020, akaun baru @Akuamysearch (https://www.instagram.com/akuamysearch/) sudah mempunyai 1,172 pengikut.
Halaman barunya baru dimuat tiga video dan dua foto.
Salah satu video menunjukkan ketibaan Amy ke lapangan terbang Bandung, Indonesia. - KitaReporters.com