[VIDEO] WUISSH!! TERASA BAGAI TETAMU DIRAJA
Published byDI SATU kawasan dataran sawah, penduduk kampung sedang bersedia menunggu. Bersama mereka sekumpulan remaja berpakaian tradisional yang dipertanggungjawab melaksana adat menyambut. Inilah majlis Selamat Datang ke tanah Minangkabau!! : KitaReporters
Gadis penari adat dan pesilat bersedia menanti tetamu, bersama penduduk kampung.
Nampak saja rombongan tetamu dari jauh, kumpulan itu langsung mengemaskan barisan.
Mereka ialah penari, pembawa dulang sirih dan pengiring (perempuan) selain pesilat, peniup serunai, pemain gendang dan telampung (lelaki).
Penulis bersama Grup Worikh Tok Bok dari Malaysia sedang bertamu di Desa Wisata Lubuk Soda, Nagari Tambangan, Sumatera Barat, Indonesia.
Kedua-dua telapak tangan dirapatkan dan jari ditegakkan ke atas, sebagai aksi penghormatan kepada tetamu.
Setibanya kami, gendang pun dipalu kemudian dua pesilat lelaki mengatur langkah memulakan pencak selamat datang.
Tangan dilentur kaki dihayun mengikut gerak persilatannya, manakala kumpulan tari menunggu giliran.
Selesai persilatan, peserta tari mula bergerak, berjalan setapak demi setapak. Mara ke arah tetamu, sambil kedua telapak tangan dirapatkan, dengan jari tegak separas dada, lagak mengangkat sembah.
Mereka sedang mempersembahkan Tari Pasambahan.
Sebelum itu, wakil penduduk kampung dan grup tetamu berbalas ucapan selamat datang.
Grup Worikh Tok Bok dari Malaysia yang baru tiba, berkumpul untuk menyertai adat bertamu di Desa Wisata Lubuk Paku.
Majlis kemudian gegak dengan bunyi gendang, talempong dan seruling yang mengiringi gerak tari pesilat dan penari.
Suasana ceria dengan warna kostum, merah dan kuning keemasan.
Penggunaan kain dan selempang songket tenunan benang emas serta renda berkilau, membiaskan suasana gemilang. Ditambah dengan getaran paluan gendang dan serunai, suasana ternyata meriah.
Terkesima diraikan seumpama itu, terasa bagaikan tetamu kenamaan dan raja-raja.
Kami disambut secara beradat oleh penduduk kampung Minangkabau di Desa Wisata Lubuk Soda, Nagari Tambangan, Kecamatan Sepuluh Koto, Kabupaten Tanah Datar, Wilayah Sumatera Barat, Indonesia.
Selain gendang, persembahan disempurnakan dengan iringan tiupan seruling yang mendayu.
Mengakhiri pertunjukan, dulang sirih diunjurkan kepada tetamu barisan hadapan.
Kunjungan pertama ke Desa Wisata Lubuk Soda, membangkitkan rasa bangga bercampur terharu kerana diberikan sambutan cukup meriah.
Difahamkan, begitulah adat menyambut tamu di kalangan orang Minang yang kekal diamalkan turun temurun. Ada pelbagai lagi jenis tarian untuk memeriahkan lagi sambutan selain Tari Pasambahan yang baru dipersembahkan.
Dataran tengah bendang menjadi tempat menyambut tetamu di Desa Lubuk Soda, dilatari warna alam, langit biru dan gunung menghijau.
Tari Pasambahan tidak hanya ditampilkan dalam acara menyambut tetamu, tetapi juga boleh ditonton dalam seni pementasan dan pertunjukan sebagai acara hiburan masyarakat.
Terpesona melihat keayuan gadis penyambut tetamu yang berpakaian sopan dengan kepala berkerudung melindungi keseluruhan rambut.
Tambah manis dengan songket mewah dan aksesori rantai di leher, jurai di dahi dan sanggul lintang pada kepala.
Diapit dua pengiring, pemegang dulang sirih mara ke arah tetamu. Masing-masing sopan dengan pakaian menutup aurat, dilengkapi songket merah kuning keemasan.
Tetamu turut dirai dengan persembahan tari indang, randai dan silat lanyah.
Grup Worikh Tok Bok dari Malaysia, berkunjung ke Padang Bukittingi, Sumatera Barat dalam misi menjejak warisan ranah (tanah) asal, nenek moyang mereka di Pagarruyung Batu Sangkar.
Kunjungan ke desa itu untuk melihat adat budaya Minang yang masih dikekalkan. Kami kagum melihat kesenian Tari Pasambahan dan terharu diraikan mengikut adat.
Penyambut tetamu dengan pakaian menutup aurat, daripada kepala sehingga ke kaki, bercirikan Islam.
Tarian Pasambahan ialah salah satu seni tari tradisonal Minangkabau yang berkembang di berbagai daerah wilayah Sumatera Barat.
Dipersembahkan sebagai merai tetamu, juga lambang ungkapan selamat datang atau rasa hormat terhadap mereka yang bertandang.
Tarian ini juga ditampilkan sewaktu kedatangan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan.
Seorang wakil dan dua pengapit perempuan, mengunjurkan daun sirih dalam cerana kepada tetamu, mengakhiri persembahan.
Dalam upacara pernikahan, daun sirih dicerana diunjurkan kepada pengantin lelaki atau kepada kedua-dua orang tua pengantin.
Langkah tari menyambut tetamu, jauh dari Malaysia.
Tari Indang pula biasa disebut tari dindin badindin, sebuah seni tari tradisional daripada pelbagai bahagian kesenian daerah di Indonesia yang berasal dari budaya masyarakat Minang dan Pariaman, wilayah Sumatera Barat.
Tarian ini adalah sebuah permainan alat muzik yang dialun secara bersama. Persembahannya dikatakan mendukung nafas budaya agama Islam.
Kumpulan penyambut tamu, bergambar bersama sebahagian tetamu dari Grup Worikh Tok Bok.
Randai pula salah satu permainan tradisional dimainkan secara berkelompok dengan membentuk lingkaran, kemudian melangkahkan kaki secara perlahan, sambil menyampaikan cerita dalam bentuk nyanyian bergilir menggabungkan unsur seni lagu, muzik, tari, drama dan silat dalam satu persembahan.
Desa Wisata Lubuk Soda Nagari Tambangan, antara destinasi pelancongan terbaru di Sumatera Barat dalam kategori seni budaya dan alam. - KitaReporters