BAGAIKAN temasya mini gayanya majlis kesyukuran, akikah dan tahnik bayi bongsu jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang berlangsung di ‘Palace’ masyhurnya di Kota Damansara, Selangor pada Sabtu, 18 Januari 2020. : KitaReporters.com 

Aliff Syukri dan isteri, Nur Shahida  bersama keluarga pada majlis akikah puteri bongsu mereka, Raudhah Arshiyah di kediamannya di Kota Damansara, Selangor pada 18 Januari 2020. - Kredit foto IG aliffsyukriterlajaklaris.


Berhabisan lebih RM200,000 dengan kehadiran kira-kira 2,000 tetamu jemputan, majlis akikah puteri Raudhah Arshiyah berlangsung berlatarkan konsep Moroccan ala istana, waima rekaan pelamin pun mencecah RM100,000.

Malah dengan hiasan bunga-bungaan rona merah jambu bagaikan taman terindah sama seperti maksud nama anak Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid yang baru 29 hari dilahirkan, majlis berlangsung persis anak puteri diraja layanannya.



Di luar kawasan kediaman pula, deretan khemah paling mahal jenis transparen didirikan dengan makanan disediakan ala gerai dengan pilihan menu kesukaan Aliff sendiri antaranya sate, putu bambu, laksa, nasi beriani, otak-otak dan banyak lagi.

“Saya mahu setiap anak ada momen dan kenangan masing-masing, apabila dewasa nanti bolehlah mereka tonton dalam YouTube bagaimana majlis mereka itu dilangsungkan, “ ujar Aliff Syukri ketika ditemui di kediaman ‘Palace’ nya pada majlis akikah Raudhah Arshiyah.


Menurutnya, majlis yang diadakan bukanlah bertujuan nak menunjuk-nunjuk tetapi sebuah majlis kenangan untuk anak-anak, sekali gus majlis tahlil untuk bapanya yang meninggal dunia tahun lalu.

Adakah anak kelima ini merupakan yang terakhir bagi pasangan usahawan muda  berusia 30-an ini?

“Saya nak anak sampai 12 orang,” ujar Aliff sambil Nur Shahida yang masih dalam pantang menggeleng kepala.

“Rasanya cukup sampai di sini sahaja, tetapi kita tidak tahu perancangan Allah. 

"Bukannya tidak mahu anak ramai tetapi kita perlu fikirkan soal penjagaan mereka agar mendapat pendidikan yang baik dan layanan sempurna,” ujar Nur Shahida.


Berkahwin pada 2007, Aliff Syukri dan Nur Shahida dikurniakan empat cahaya mata terdahulu iaitu Ammaar Ahyan, 12;  Qadejah El Zahra,10; Ibraheem Adham, 8; dan Yusoff Al Qardawi, 1 tahun 7 bulan.

Bercerita lanjut, Aliff Syukri mengumumkan bakal mengerjakan umrah pada bulan Februari akan datang bersama seluruh keluarganya.

“Insya-Allah, kali ini saya akan turut serta bersama isteri dan anak-anak ke Mekah selama kira-kira dua minggu,“ tambah beliau bersyukur.

Apa agaknya doanya yang mahu dimakbulkan Allah?

“Saya cuma ada dua doa supaya Allah terus merahmati dan memberikan kejayaan pada saya dan yang kedua  supaya diri ini lebih mendekati-Nya,” jawab Aliff.


Pun begitu, siapa tidak kenal dengan keletah dan keaktifan Aliff yang lebih popular digelar #abangterlajaklaris  memuat naik video saban hari melalui saluran YouTubenya (TV Terlajak Laris) di mana beliau memperoleh pendapatan sampingan yang tidak kurang lumayannya.

Mengakui memuat naik video setiap setengah jam dalam sehari, Aliff tidak menolak kemungkinan bakal merakamkan perjalanan dan pengalamannya ketika mengerjakan umrah kelak.

“Saya tidak kisah jika mendapat kritikan daripada netizen kenapa masih mahu membuat rakaman padahal sedang beribadah tetapi itulah kenangan yang saya mahu kongsikan. 

"Terpulang kepada penerimaan masing-masing, “ ujar Aliff yang lebih selesa menjadi dirinya sendiri daripada berlagak hipokrit semata-mata mahu memuaskan hati semua.

Dengan ‘subscriber’ mencapai 1.24 juta sehingga mampu menarik lebih 3 juta tontonan, tidak syak lagi Aliff Syukri tidak mungkin akan meletakkan titik nokhtah pada rutin hariannya itu apatah lagi  ia dapat menjana pendapatan lumayan.

Angka itu membuktikan walaupun ada yang membencinya, tetapi mereka tetap ‘rindu’ melayari TV Terlajak Larisnya.

Kalau benci kenapa masih ramai yang tengok ya tak?

Tetapi itulah hakikat dan tabii manusia, tidak semua yang ‘amar makruf dan nahi mungkar ‘ berada dalam dunia sementara ini.

Apabila wujudnya segelintir golongan membawang ibarat  'mulut tempayan memang tidak boleh ditutup rapi' apatah lagi berada dalam era siber tanpa sempadan ini, tak gitu? - KitaReporters.com


4
6
0
0
0

Copy Link: