KITA BELUM CUKUP HEBAT, BELUM CUKUP KUAT
Published byASSALAMUALAIKUM dan selamat pagi. Kongsi minda, bersih jiwa. : KitaReporters.com
Renungan.
Pulih iman, didik hati
Kekuatan kita Allah yang bagi
Jangan panjangkan kesedihan
Usah lupa bila diberi nikmat
Cabaran yang datang kadangkala bertimpa-timpa, sehingga membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Bayangkan, satu cabaran yang ada kita sudah hilang arah, inikan pula berturut-turut.
Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
Namun yang dirisaukan jatuh yang melemahkan segala daya dan upaya kita bila tiba-tiba tenaga hilang entah ke mana, sekali gus membawa pergi harapan buat hari esok yang seperti telah hilang buat selamanya.
Keyakinan yang selama ini ada dalam diri juga lenyap. Kita jadi murung dan banyak termenung.
Bila kena pada orang kita pandai bercakap tapi bila kena diri sendiri, baharu tahu rasanya.
Apapun bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.
Ya, Bersangka baiklah juga sesama manusia.
Agar kita merenung kembali hikmah yang Dia susunkan untuk kita, sambil tersenyum dan berlapang dada.
Cuba tanya diri, adakah kita selalu betul?
Atau kita sudah cukup hebat dan kuat?
Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, dan tidak akan menjadi lemah.
Kita rasakan kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua cabaran yang datang, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.
Sebenarnya tidak.
Kita lemah. Tak kuat hendak harung seorang diri.
Kita perlu orang lain untuk bantu keluar dari permasalahan.
Kita tidak akan mampu berdiri sendiri jika tidak memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Kita sombong untuk menadah tangan memohon pertolongan-Nya.
Jangan merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, hebat. Bijak segalanya.
Sedangkan hakikatnya, kita sedikit pun tidak punya daya kekuatan jika Dia tidak mengizinkannya.
Ingatlah..
Salah satu hikmah daripada cabaran adalah niat kita untuk bermuhasabah.
Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa oleh tindakan kita.
Adakah masih berada pada landasan yang benar ke jalan yang diredhai Allah SWT?
Atau jadi seorang pelupa.
Kita selalu lupa diri apabila diberi nikmat.
Sedangkan selama ini, hendak mengingati-Nya pun kita ambil mudah.
Perbetul nawaitu.
Tanya kenapa kita yang dipilih?
Sebab
Dia mahu kita kembali kepada-Nya.
Dia mahu kita selamat di dunia dan akhirat.
Dia mahu kita berfikir dan bermuhasabah kembali.
Kemudian jawablah dengan hati. Bertindak pulihkan iman, didik hati.
Kita boleh merasa sedih apabila dicabar kerana itu merupakan lumrah kehidupan tapi jangan kecewa dan berputus asa.
Dan jangan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.
Kembali kepada realiti, hidup ini untuk apa. Terus jalan.
❤️🌹 Lebih baik menjaga apa yang ada pada tangan kita, daripada mengejar apa yang ada pada tangan orang lain. Tidak ada kemajuan tanpa perubahan kerana orang yang tidak dapat mengubah cara berfikirnya tidak akan boleh mengubah apa-apa. ❤️🌹 - KitaReporters.com