WAJAH BAHARU: JOM KE TAMAN TASIK TITIWANGSA

Published by
KitaReporters
“JIKA berada di Kuala Lumpur tidak lengkap jika tidak singgah ke Taman Tasik Titiwangsa terletak di Jalan Tun Razak. Ia merupakan pusat rekreasi paling strategik bukan sahaja untuk aktiviti riadah malah dijadikan tempat titik pertemuan atau melepaskan kekusutan selepas berdepan kesesakan di ibu kota." : KitaReporters.com


Taman Tasik Titiwangsa berwajah baharu dibuka semula mulai Ahad 15 Disember 2019 ini.


Kini, Taman Tasik Titiwangsa bakal dibuka semula sepenuhnya pada Ahad (15/12/2019) ini dengan gaya dan berwajah baharu selepas setahun penutupannya bagi kerja-kerja menaik taraf dan pengindahan kawasan.

Terdahulu, Taman Tasik yang berkeluasan 46.13 hektar (114 ekar) dibuka secara rasmi pada 1 Februari 1980 oleh Allahyarham Tun Hussein Onn dan merupakan kolam bekas lombong yang terdalam selepas Tasik Mines, Seri Kembangan.

Taman rekreasi baharu yang dijangka dirasmikan pada awal tahun hadapan itu akan dibuka bermula 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. 

Dengan pembukaannya semula akan mengejutkan pengunjung dan pastinya mereka tertarik dengan gaya perubahan lebih moden ini.

Berdasarkan laporan, difahamkan usaha menaik taraf taman tasik ini adalah satu daripada pakej dalam projek Sungai Nadi Kehidupan (River of Life atau ROL), komponen pengindahan sungai yang melibatkan kos sebanyak RM99.88 juta.

Dalam tempoh ini, terdapat segelintir pengunjung cuba meninjau dengan lebih dekat kawasan tersebut yang masih dipagari, jelas menunjukkan mereka tidak sabar melihat pembaharuan yang dibawakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Namun begitu, ia tetap dibuka pada waktu ditetapkan bagi memastikan aspek keselamatan dan beberapa perkara lain yang perlu ditambah baik dilakukan terlebih dahulu.

Antara pembaharuan di taman berkenaan dijangka menjadi tarikan pengunjung ialah Kanopi Banjaran Titiwangsa (dataran), Laman Kerawang, Taman Air Kanak-Kanak dan Taman Permainan Kanak-Kanak.

Terdapat taman tema air mini untuk si cilik.


Kanak-kanak merupakan pengunjung yang paling teruja untuk ke taman tasik ini.


Taman Permainan kanak-kanak yang lebih moden.


Taman tersebut berkonsepkan ‘ínclusivity’ iaitu boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat terutama orang kelainan upaya (OKU) termasuk anak-anak autistik dan cerebral palsy (CP).

Jeti, rumah bot dan pusat informasi juga sudah dinaik taraf dengan reka bentuk lebih moden dengan kemasan lantai kayu, sekali gus sesuai dijadikan tempat menikmati pemandangan tasik selain bermain aktiviti air seperti berkayak atau bot kayuh.

Pusat kegiatan sukan seperti gelanggang badminton dan bola jaring ada terdapat di situ untuk aktiviti sukan atau penganjuran hari keluarga.

Manakala dua laluan trek dibina untuk penunggang basikal (berwarna merah) dan pejalan kaki atau berjogging (hitam) di sepanjang taman ini.

Tumpuan lain dijangka menjadi tarikan adalah ‘High Fountain Jet’ dengan pancutan air setinggi 100 meter. Ia adalah bertaraf antarabangsa, manakala tambahan fountain jet kecil adalah sebagai sistem pengudaraan air tasik berikutan mempunyai banyak alga.

Sementara itu, landskap taman juga lebih terpesona apabila kira-kira 1,600 spesies pokok baharu ditanam dan ditanam semula. 

Terdapat juga tambahan seperti pokok pain dan ru menjadikan suasana seperti berada di luar negara. 

Wahh! Nyaman sekali sesuai jika berhajat untuk melepaskan sebarang tekanan. - KitaReporters.com 

Air pancut bertaraf antarabangsa.


Nyaman... berada di sini hilang segala tekanan kerja.

6
0
0
0
1

Copy Link: