BERBURUK SANGKA HANYA MERACUNI AKAL, DIRI
Published byASSALAMUALAIKUM dan selamat pagi. Kongsi minda, bersih jiwa. : KitaReporters.com
Renungan.
Berburuk sangka
Jangan diamalkan
Jangan buat andaian
Nanti dalam kerugian.
Pernahkah kita berburuk sangka dengan orang lain? Jika ya, segera hentikan dan bertaubat. Jangan buat lagi.
Mengingatkan diri saya juga, sahabat dan saudara, buruk sangka dan suka mencari salah orang lain adalah perbuatan yang sangat dimurkai Allah SWT.
Apabila timbul buruk sangka, sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan timbul sehingga terbuka kesalahan, aib atau kelemahan orang berkenaan.
Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka dengan orang, lebih baik bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT kerana dosa orang yang buruk sangka adalah besar dan termasuk dalam perbuatan jahat.
Dalam erti kata lain, kita jangan mudah terpengaruh dengan orang yang suka bersangka buruk kerana ia termasuk dalam penyakit hati.
Sebahagian sikap itu timbul daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan tidak berasas sehingga menjadi ikutan orang lain.
Tabiat buruk sangka juga boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan kebenaran.
Sebagai orang beriman, kita perlu menjaga akhlak dan pertuturan supaya tidak timbul perasaan buruk sangka.
Jika tidak, sifat buruk sangka akan sentiasa berlanjutan.
Jiwa menjadi kacau, perasaan tertekan, rumah tangga runtuh, kedamaian hilang dan hidup menjadi kucar-kacir.
Ingatlah..
Bersihkan hati. Positif dengan diri sendiri.
Jangan terus mempercayai atau memberi maklum balas secara negatif terhadap sesuatu perkara yang kita dengar.
Siasat dahulu untuk kesahihan.
Jangan menyimpan perasaan buruk sangka terhadap sesiapa sahaja termasuk suami atau isteri.
Isteri yang tidak mempercayai suami, hanya akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan seperti pertengkaran yang hanya merugikan hubungan.
Begitu juga dengan perhubungan sesama manusia lain. Antara saudara dan sahabat.
Sehubungan itu, dalam melayari rumah tangga atau perhubungan, setiap pasangan disaran supaya tidak sesekali menyimpan perasaan buruk sangka dan mudah terpengaruh dengan pihak lain yang suka mencari kesalahan orang lain.
Tapi carilah jalan untuk mendapat kesempurnaan luaran dan dalaman tanpa buruk sangka dan andaian agar dilimpahi keberkatan.
🌹❤️ Bersyukur bila disayangi, berubah bila tidak disukai.. insya-Allah akan terbina penyatuan hati dengan izin Ilahi. 🌹❤️ - KitaReporters.com