PELUANG berkunjung ke Terengganu sememangnya memberi banyak pilihan kepada pelancong untuk melawat tempat-tempat menarik sama ada di persisiran pantai, pulau, tasik, bukit, gunung dan sungai. Tapi kini ada satu tarikan baharu dan unik.  : KitaReporters

Bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Terengganu dan mural potret wajah tujuh Perdana Menteri Malaysia. - Kredit foto: Bernama


Bandar raya Kuala Terengganu sebenarnya tidak kurang memiliki tempat yang boleh dikunjungi untuk melihat sendiri produk pelancongan yang mampu memberi kepuasan dan keseronokan ketika bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan. 

Mural potret wajah tujuh Perdana Menteri Malaysia yang terpapar di bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu menjadi satu lagi daya tarikan di pusat bandar raya Kuala Terengganu. 

Projek yang dicetuskan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang membabitkan kos RM30,000 untuk mengindah dan menceriakan bangunan tertua di bandar raya itu supaya lebih 'segar' dan menjadi daya tarikan pelancong ke bandar raya warisan pesisir air itu.

Mural berukuran 250 kaki persegi itu adalah hasil karya empat pelukis dari Red Rebel Art Squad yang dianggotai empat anak jati Terengganu iaitu Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin, 34; Wan Ansri Nizam Wan Ismail, 37; Zulkarnain Abd Latif, 40; dan Mohd Fahmi Abdullah Sani, 30.

Raja Badruddin Hakim Shah atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Bad berkata mereka mengambil masa 27 hari yang bermula 9 Januari 2020 sehingga 4 Februari 2020 untuk menyiapkan mural istimewa berkenaan.

"Projek ini saya andaikan adalah seperti di Gunung Rushmore kerana tujuannya sama iaitu melakar wajah pemimpin nombor satu negara cuma medium dan kaedah sahaja yang berbeza," katanya.

Pelukis dari Red Rebel Art Squad ketika membuat sentuhan terakhir melukis potret Tujuh Perdana Menteri Malaysia di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Terengganu - Kredit Foto: Bernama


Menurutnya, di Gunung Rushmore, arca wajah empat presiden Amerika Syarikat itu dihasilkan dengan kaedah ukir dan pahat, sementara mereka hanya melukis mural menggunakan cat yang berkualiti untuk mengabadikan wajah tujuh perdana menteri Malaysia ini.

Mural wajah tujuh Perdana Menteri itu dipercayai adalah yang pertama di Malaysia. 

Ia adalah projek ketiga Red Rebel yang tular dan mendapat perhatian netizen selain lukisan Jalur Gemilang dan bendera Terengganu gergasi di atas bumbung Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 2019.

Beliau berkata banyak cabaran  untuk menyiapkan kerja berkenaan terutama keadaan cuaca, kerana terpaksa berhenti sekiranya hujan dan cabaran seterusnya adalah ketinggian kerana tidak semua mempunyai keberanian untuk melukis di tempat tinggi.

Bagaimanapun, Red Rebel sangat berbangga kerana pelukis mural tempatan juga diberi peluang dan mampu bersaing serta menyumbang idea dalam pembangunan seni di Malaysia dan Terengganu khususnya.

Katanya, kenangan terindah buat dirinya adalah ketika 'memakaikan' tengkolok di atas kepala Perdana Menteri pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Daripada tujuh potret ini, hanya Tunku sahaja satu-satunya yang memakai busana tradisional Melayu.

"Apatah lagi Tunku Abdul Rahmanlah individu yang mengisytiharkan kemerdekaan negara pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 yang secara tidak langsung memberi satu mesej untuk saya agar melakukan sesuatu supaya generasi akan datang terus berpegang teguh dengan jati diri sendiri iaitu Islam, Melayu dan berkhalifah (Raja)," katanya. - KitaReporters


Kredit foto: FB Raja Badruddin Hakim Shah (https://www.facebook.com/rajabadruddinhakimshah)

2
1
0
0
1

Copy Link: