KPG SUNGAI LAMPIN JANJIKAN KEDAMAIAN DESA, KEDINGINAN SUNGAI
Published byPERKAMPUNGAN tradisional dilihat berpotensi untuk ditukar status, sekali gus dilonjakkan imej dari sebuah desa pertanian kepada kawasan pelancongan popular.
Beginilah keadaan jalan masuk ke Kampung Sungai Lampin, Janda Baik, Bentong, Pahang.
Sungai Benus yang merentang sepanjang perkampungan antara tarikan utama buat mereka yang datang bercuti.
Sesuai dengan evolusi semasa serta ekosistem sedia ada, anjakan perubahan dapat dilakukan melalui kerjasama semua pihak terutama penduduk setempat dan kerajaan serta sokongan dari sektor swasta.
Malahan melalui perhatian dan bantuan kerajaan bagi menyediakan prasarana serta membina kemudahan insfrastruktur, sudah tentulah proses ke arah ini akan berjalan dengan lebih cepat.
Kampung Sungai Lampin, Janda Baik dekat Bentong, Pahang sebuah perkampungan tradisional yang diteroka sekitar tahun 1960-an mempunyai ciri-ciri ini dan berpotensi cerah dijadikan sebagai kawasan pelancongan popular untuk aktiviti utama riadah dan perkelahan.
Mereka yang datang bercuti menikmati suasana pagi dengan udara segar dan nyaman.
Sekalipun kampung ini merupakan sebuah kawasan tanah rizab Melayu, yang dikhaskan untuk kegiatan pertanian, tetapi dengan ekosistem sedia ada, keadaan muka buminya landai serta berbukit di tambah Sungai Benusnya merentang ke seluruh kampung, kewajarannya untuk tujuan berkenaan tepat .
Menurut Syed Roslan, pengusaha Homestay Sheliza, kampung ini pada awal pembukaannya diusahakan dengan tanaman padi terutama di tempat-tempat yang landai dan datar.
Bagaimanapun setelah beberapa tahun ditukar dengan tanaman koko. Pokok-pokok koko masih ada kelihatan di kampung ini.
Kawasan tinggi dan berbukit penduduk tanam dengan pokok buah-buahan pula termasuk durian.
Rumah bentuk lama yang dijadikan homestay menjadi perhatian sesiapa sahaja yang ingin bercuti di Kampung Sungai Lampin, Janda Baik, Bentong.
Hari ini kegiatan pertanian yang dijalankan oleh penduduk berkurangan, tetapi masih ada yang menjalankan perusahaan kebun sayuran, dusun buah-buahan dan sebagainya,
Kebanyakan generasi masa kini yang mewarisi hartanah dari keluarga terdahulu lebih gemar menjalankan pengurusan homestay, chalet dan rumah sewa untuk kemudahan orang ramai datang bercuti.
Suasana udara segar dan nyaman, jauh dari kesibukan kota, kemudahan ekosistem untuk riadah dan perkelahan mampu menjadikan nama Kampung Sungai Lampin meniti pada bibir setiap seorang yang meminati kehidupan desa yang damai dan menambat hati.
Sama ada cuti hujung minggu maupun cuti umum homestay di Kampung Sungai Lampin dipenuhi mereka yang datang bercuti tidak kira secara kumpulan atau keluarga.
Di kampung ini terdapat puluhan homestay, kebanyakannya milik keluarga yang mempunyai pertalian saudara daripada beberapa keluarga asal di sini.
Sehingga kini, mereka yang pernah bercuti di Kampung Sungai Lampin datang dari Perlis, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan beberapa tempat lain dari seluruh negara.
Beberapa ahli keluarga yang datang bercuti memetik buah tampoi yang ada di salah sebuah homestay di Kampung Sungai Lampin.
Kampung Sungai Lampin mempunyai daya tarikannya tersendiri untuk sesiapa sahaja yang ingin bercuti di sini selain simponi alamnya juga suasana perkampungan yang indah lagi menawan, serta mempunyai kemudahan prasarana yang selesa termasuklah jalan dan bekalan air serta eletrik.
Jalan perhubungan yang dibina dan dibaik pulih oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar melalui Projek Touch Rakyat pada 2013 memberi kemudahan selesa untuk keluar masuk ke situ.
Sungai Benus tarikan utama di Kampung Sungai Lampin mengalir tenang sesuai untuk aktiviti mandi manda dan riadah.
Sungai Benus yang merentang sepanjang perkampungan antara tarikan utama buat mereka yang datang bercuti. Dengan keadaannya berbatu-batu dan landai serta aliran air sungainya yang sederhana, memang sesuai untuk mandi manda atau riadah.
Selain itu, ada pengusaha homestay yang membina wakaf bagi tujuan memberi ruangan yang selesa untuk berehat sebelum atau selepas mandi sungai.
Siapa sahaja yang bercuti di Kampung Sungai Lampin pasti tertarik untuk mandi di Sungai Benus.
Malahan jika anda bernasib baik boleh melihat kumpulan monyet yang suka menghampiri tempat penginapan untuk mencari sisa makanan.
Hasil penelitian penulis yang berada dua hari satu malam di kawasan ini memang tidak dapat dinafikan Kampung Sungai Lampin mampu melonjakkan imej serta menukar statusnya dari kampung pertanian tradisional kepada kawasan pelancongan yang berpotensi.
Bagaimanapun untuk menjayakannya, perlu komitmen dan perhatian semua pihak terlibat khususnya para penduduk setempat dan kerajaan selain syarikat swasta.
Dalam konteks ini juga, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan perlu melakukan inisiatif mengadakan aktiviti yang sesuai bagi menjadikan kawasan ini lebih dikenali ramai.
Contohnya Program Meredah dan Meyelusuri Sungai, Jungle Tracking, Program Jogging Bersekala Besar ke Seluruh Kawasan Kampung dan sebagainya yang lebih tertumpu kepada aktiviti riadah dan perkelahan.
Sementara itu, Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui agensi-agensinya termasuk Pejabat Daerah Bentong sewajarnya kerap mengadakan program-program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk setempat, selain pihak swasta menganjurkan pelbagai karnival dalam usaha mempopularkan Kampung Sungai Lampin ini kepada masyarakat luar.
Sekalipun dalam keadaan sejuk kanak-kanak tetap bermain dan mandi manda di Sungai Benus.
Salah seekor monyet yang berada di kawasan pinggir Sungai Benus mengintai kalau-kalau ada sisa makanan ditinggalkan.
Suasana pagi di Kampung Sungai Lampin, Janda Baik, Bentong, segar dan nyaman menarik minat mereka yang datang bercuti menikmatinya terutama pada awal pagi.