JETI SIRIP BIRU JADI 'POT' PENTING KAKI PANCING
Published byAKTIVITI memancing terus popular di negara ini sebagai satu hobi ketika masa lapang. Ada sesetengah yang berani memancing di laut dalam, banyak pula hanya memancing di pesisir pantai, manakala kolam-kolam ikan turut menarik peminat tersendiri. : KitaReporters.com
IKAN yang berjaya ditangkap menggunakan pancing.
Sehubungan itu, pelbagai usaha dilakukan bagi menjadikan aktiviti memancing itu bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi menjadi sumber ekonomi bagi pengusaha, pemain industri pelancongan dan kerajaan negeri.
"Kerajaan Selangor akan menjadikan Cabaran Memancing Jeti Sirip Biru, Pantai Bagan Lalang di Sepang sebagai acara tahunan bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke jeti dan pusat pelancongan agrotourism itu," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.
Perkara ini diumumkan oleh Izham berdasarkan kepada sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan peserta dari sekitar Lembah Kelang pada pertandingan julung kali diadakan khususnya untuk kaki pancing pada Ahad (17/11/ 2019) lalu.
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim (tengah) melihat ikan yang ditangkap pemancing pada Pertandingan Cabaran Memancing Jeti Sirip Biru, Bagan Lalang di Sepang, Selangor baru-baru ini.
Seramai 260 peserta membanjiri kawasan jeti itu bermula seawal jam 6 pagi hingga 2 petang yang dibahagikan kepada tiga katogeri iaitu katogeri laut dalam, dasar laut dan rumah rakit.
Program yang diadakan sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dan Tahun Melawat Sepang 2020 itu diadakan secara kerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Negeri Selangor, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Selangor melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) dan Sirip Biru Recreation Club ( SBRC).
PESERTA memancing katogeri dasar laut.
Izham berkata, sepanjang tempoh tahun ini, Jeti Sirip Biru di bawah kelolaan PNK Sepang dan KUBENA itu sudah berkembang kepada subsektor yang mampu untuk meraih pendapatan menerusi aktiviti pelancongan atau lebih dikenali sebagai pelancongan agro.
Menurut beliau, kawasan pelancongan agro yang semakin mendapat perhatian daripada pelancong tempatan dan antarabangsa itu mendapat sokongan Tourism Malaysia dan menjadi salah satu destinasi sempena TMM 2020.
Katanya, penambahbaikan pelancongan agro di kawasan itu turut mendapat sokongan LKIM dan Kerajaan Selangor yang bertujuan mewujudkan suatu lokasi baharu kawasan pelancongan berkonsepkan alam sekitar semula jadi.
JETI Sirip Biru,Bagan Lalang di Sepang
"Keunikan Jeti Sirip Biru itu menjadikan lokasinya menjadi tarikan yang akan dinaik taraf dalam jangka masa terdekat secara berperingkat-peringkat di beberapa bahagian seperti membangunkan sebuah jeti terapung di pantai pasir putih bagi memudahkan pelancong berkunjung dan mengadakan aktiviti di kawasan itu.
"Kemudahan jeti terapung itu pasti akan memberi pengalaman baharu kepada pencinta alam yang meminati kehijauan paya bakau sambil mengadakan aktiviti di kawasan itu.
"Sungai ini juga menjadi tumpuan pelbagai spesis burung dan sebahagian daripadanya menjadikan hutan paya bakau itu sebagai habitat dan fenomena ini pastinya menjadi tarikan kepada peminat fotografi bagi melengkapkan album mereka.
"Bagi kaki pancing pula kawasan ini menjadi lokasi menarik kerana disediakan beberapa pakej memancing seperti laut dalam, memancing sambil memukat dan rumah rakit.
"Lebih 10 buah rumah rakit disediakan di sini dan peminat pancing boleh bermalam sambil mengadakan aktiviti keluarga mahupun tempat kerja. Sekiranya bernasib baik, pemancing boleh mendapat pelbagai spesis ikan seperti ikan talang, merah, parang, pari dan kerapu.
"Bagi yang ingin mengadakan aktiviti luar dan berkumpulan boleh berkhemah di Pantai Pasir Putih sambil mengadakan lawatan ke pusat ternakan ikan sangkar berdekatan kawasan itu.
"Sebagai sebuah kawasan pelancongan agro yang menitikberatkan pemuliharaan alam sekitar, maka sebarang aktiviti penebangan kayu bakau, pencemaran sungai dan pembuangan sampah haram amat diutamakan di sini sebagai tindakan jangka panjang untuk generasi masa depan," jelas Izham.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim (depan), Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadhli dan Ketua Pengarah LKIM Selangor, Norazian Safian melawat rumah rakit di Sungai Sepang Besar, Sepang baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pertandingan memancing diadakan ini menjadi salah satu promosi bagi memperkenal agro tourism yang terdapat di Sepang dan akan dijadikan sebagai kalender aktiviti tahunan Kerajaan Selangor bagi menarik lebih ramai penyertaaan pada masa depan.
Sementara itu, sebanyak RM12,000 disediakan oleh penganjur bagi menjayakan pertandingan itu dan juara setiap katogeri menerima hadiah wang tunai RM500, tekong bot terbaik RM500, naib juara RM300 dan ketiga RM100 termasuk hadiah cabutan bertuah.
SEBAHAGIAN dari peserta Pertandingan Cabaran Memancing Jeti Sirip Biru, Bagan Lalang di Sepang pada 17/11/2019 lalu.
Peserta Khairul Afzan Safian, 26, dari Bagan Lalang, Sepang muncul juara katogeri laut dalam selepas memperoleh ikan talang seberat 9 kilogram (kg), manakala naib johan ialah Mohd Irwan Ismail, 32, dari Putrajaya yang menangkap ikan talang seberat 3.32 kg, dan ketiga, Mohamad Elimin Elias, 33, dari Seremban, Negeri Sembilan yang menankap ikan talang seberat 3 kg.
Majlis penutupan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Izham di pentas utama tapak pertandingan.
Turut hadir Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil; Ketua Pengarah LKIM Selangor, Norazian Safian; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Pelek, Ronie Liu. - KitaReporters.com
IZHAM (tengah) bersama pemenang katogeri laut dalam yang berjaya menaikkan ikan talang.
JOHAN katogeri laut dalam, Khairul Afzan Safian (tengah) ,naib johan Mohd Irwan Ismail (kiri) dan ketiga Mohamad Elimin Elias (kanan).