TIKET LEBIH MURAH!! MAILAH NAIK KERETA API ETS
Published bySEKIRANYA di Jepun ada Shinkansen (kereta api laju), di Malaysia kita ada Perkhidmatan Tren Elekterik (ETS) yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai alternatif perkhidmatan kenderaan awam lebih pantas, selesa, selamat dan menjimatkan. : KitaReporters.com
Bermula 1 Mac 2020, penumpang perkhidmatan ETS bakal menikmati kadar tambang yang lebih berpatutan apabila syarikat itu memperkenalkan struktur tambang secara fleksi.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan di Putrajaya pada Isnin (30/12/2019) lalu berkata, tiket bagi tambang fleksi berkenaan akan mula dijual pada 15 Januari ini bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS antara 1 hingga 31 Mac 2020.
KTMB menawarkan kadar tambang ETS fleksi bermula 1 Mac 2020.
"Pelaksanaan tambang fleksi itu memberi kelebihan kepada pengguna untuk merancang perbelanjaan dan perjalanan dengan lebih baik di mana pengguna boleh mendapatkan tambang perjalanan yang lebih
menjimatkan mengikut pilihan masing-masing.
"Sebagai contoh, bagi perjalanan pada musim perayaan dan cuti sekolah, pengguna yang membuat tempahan awal akan menikmati kadar tambang yang lebih rendah berbanding mereka yang membelinya pada saat akhir.
"Pengguna juga berpeluang menikmati penjimatan berganda menerusi promosi yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa."
Menurut kenyataan MOT itu lagi, pelaksanaan struktur tambang fleksi itu telah diluluskan oleh Kabinet pada 18 September 2019 lalu selepas kajian terperinci diadakan terhadap segala aspek terutama sekali berkaitan profil penumpang dan pengoperasian perkhidmatan ETS.
"Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menerima dan menggunakan perkhidmatan awam terbaik dan terus memilih pengangkutan seperti kereta api sebagai pilihan utama."
PERKHIDMATAN ETS KTMB lebih pantas, selesa, selamat dan menjimatkan.
Sebagai pengenalan kepada tambang fleksi itu, KTMB turut menawarkan promosi “Seleksi Tempat Duduk” percuma untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan di antara 1 hingga 31 Mac 2020 ke semua destinasi.
Pada masa sama, KTMB masih meneruskan penawaran harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak 4–12 tahun, pelajar (pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba.
Perkhidmatan ETS yang mula beroperasi di antara Kuala Lumpur dan Ipoh pada 2010 telah merekodkan seramai 215,000 pengguna pada tahun pertama pengenalannya.
Perkhidmatan yang telah dilanjutkan ke sektor Gemas dan Padang Besar itu kini berjaya merekodkan seramai 3.9 juta penumpang pada tahun 2018, sekali gus membuktikan peningkatan dan menjadi pilihan kepada pengguna.
Antara faktor penyumbang kepada peningkatan pengguna itu adalah ketepatan waktu perjalanan yang menepati sasaran melebihi 95 peratus, layanan khidmat pelanggannya serta kemudahan moden seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan.
Tren ETS yang mesra pengguna terutama bagi warga emas dan OKU, di samping juga dilengkapi dengan kafeteria moden serta layanan daripada pramugara serta pramugari. - KitaReporters.com
TREN ETS mesra pengguna kepada golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).