BAUNG JADI RAJA LIBAS SEPAK TAKRAW UMNO-PAS

Published by
KitaReporters
BUNTAL, Puyu, Pari, Sepat, Gelama, Patin, Cencaru, Baung, Tilapia, Bawal, Haruan, Siakap, Rohu, Tenggiri, Keli dan Kerapu. Semuanya nama ikan laut dan air tawar, tetapi yang peliknya tidak pula berkaitan pertandingan memancing mahupun akuarium berhias! : KitaReporters.com

BARISAN tetamu kenamaan, jawatankuasa penganjur dan pemain-pemain Pertandingan Liga Sepak Takraw Taman Putra Perdana, Puchong 2020 bersorak semangat sebagai tanda kejayaan penganjuran kali pertama ini pada 2 Februari 2020.


Rupa-rupanya inilah senarai nama 16 regu yang beraksi dalam Pertandingan Liga Sepak Takraw Taman Putra Perdana 2020 di depan balai raya taman berkenaan di Puchong, Selangor pada Ahad, 2 Februari 2020.

Nama ini hanyalah simbolik kepada perpaduan ummah dua parti politik terbesar Malaysia sekarang.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dulunya dikatakan tidak mungkin mampu bekerjasama atau bergaul seperti dua spesies ikan tadi.

Nama-nama itu dipilih atas matlamat penganjur, Kelab Sukan dan Rekreasi Taman Putra Perdana, Puchong untuk meraikan dan memperkasa perpaduan ini sambil golongan belia disasarkan supaya memilih amalan gaya hidup yang sihat.

NOOR AZLI SAID melakukan servis sebagai gimik perasmian kejohanan pada sebelah pagi.


Daya usaha kelab ini mendapat sokongan padu kedua-dua parti itu dengan kehadiran Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noor Azli Said, manakala penutupannya dilakukan Yang Dipertua PAS Kawasan Sepang, Ir. Mohd. Haslin Hasan.

Turut sama menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif.

Kejohanan yang melibatkan 48 pemain ini turut memiliki keunikannya apabila mereka digandingkan menerusi cabutan undi berdasarkan posisi tekong, apit kanan atau perejam dan apit kiri atau pengumpan kegemaran masing-masing.

Namun demi menjadikan permainan lebih terbuka, seimbang dan berdaya saing, penganjur melarang keras penggunaan servis kuda, manakala sistem kiraan matanya diubah suai kepada 21, 21 dan 15 terbaik daripada tiga set, tanpa servis bergilir-gilir.

Format pertandingan kalah singkir di gelanggang terbuka yang dipanah terik matahari ini juga menuntut ketahanan mental dan fizikal yang tinggi para pemain, sekalipun ada antaranya yang sudah dianggap agak ternama dan berpengalaman luas.

Sejauh mana ketiga-tiga pemain ini mampu membentuk keserasian permainan dan tekun serta sabar berjuang walaupun hanya dalam masa yang singkat pada hari pertandingan, juga benar-benar teruji dan terserlah.

REGU Baung (dari kiri, Suhadak Ibrahim, Mohamad Azuan Abdul Rahman dan Mohamad Azman Awang Soh) ceria menayangkan hadiah kemenangan selaku juara. 


Setelah mengharungi empat perlawanan berturut-turut dari pagi hingga petang, kejuaraan, Piala Ketua UMNO Bahagian dan Yang Dipertua PAS Kawasan serta hadiah wang tunai RM500 akhirnya menjadi milik regu Baung.

Baung yang membariskan Mohamad Azuan Abdul Rahman (tekong), Mohamad Azman Awang Soh (perejam) dan Suhadak Ibrahim (pengumpan) menumpaskan Tilapia 24-22, 21-15 dalam perlawanan akhir hampir setengah jam.

Suhadak, apit kiri juara turut mendapat bonus apabila dinobatkan Pemain Terbaik kejohanan sementara Tilapia meraih RM400 selaku naib juara.

AKSI hebat antara Baung (melibas) dan Tilapia dalam perlawanan akhir. 


Terdahulu dalam separuh akhir, Baung menewaskan Buntal 21-15, 15-21, 15-10, manakala Tilapia mengatasi Keli 22-24, 21-11, 15-13.

Keli dan Buntal masing-masing beroleh RM300 dan RM200 sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat tanpa perlu melalui perlawanan play-off gara-gara kudrat yang hampir habis dikerah pada separuh akhir dan kesuntukan masa.

Sepak takraw merupakan sukan pertama yang dianjurkan Kelab Sukan dan Rekreasi Taman Putra Perdana, Puchong kerana pada 8 Mac 2020, satu kejohanan bola sepak bakal menyusul dalam misi mereka untuk terus merapati dan menyantuni golongan belia di kawasan sekitar. - KitaReporters.com

MOHD. Haslin Hasan (kiri) membuat servis sebagai gimik sebelum perlawanan akhir.

12
4
0
0
0

Copy Link: