KAT MANA? ADA 137 JANDA DI ''KAMPUNG JANDA''
Published byNAK tahu apa yang luar biasa dengan sebuah kampung di selatan Thailand. Kampungnya kecil sahaja, berkeluasan 72 hektar, tetapi sangat tersusun. Nama desa ini, Rotan Batu, letaknya berhampiran Ban Khai, kira-kira 20 kilometer dari bandar Narathiwat, selatan Thailand. : KitaReporters.com
Kawalan keselamatan mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke "Kampung Janda" Rotan Batu, Narathiwat, Thailand.
Luar biasanya kampung ini, ada 137 ibu tunggal di dalamnya, rata-rata kematian suami dan ada juga kehilangan suami serta anak akibat ditembak oleh penjenayah ekoran pemberontakan pemisah di wilayah berkenaan.
"Tapi jaga-jaga, jangan sebarangan kacau janda di kampung ini, sebab mereka ada kemahiran dan pandai jana duit,'' usik Penolong Pegawai Daerah Narathiwat, In On Ketamut semasa ditemui penulis ketika kunjungan ke kampung berkenaan baru-baru ini.
Penolong Pegawai Daerah Narathiwat, In On Ketamut
Menurut In On, di perkampungan yang lebih sinonim dengan nama "Perkampungan Janda" dan bukannya Kampung Rokan Batu ini, kerajaan menyediakan beberapa kemudahan termasuk mengadakan tanah pertanian, kandang ternakan haiwan, kolam, sangkar ikan dan pusat pembuatan kraftangan berasaskan seramik.
Beberapa orang ibu tunggal menghabiskan masa menguji bakat dengan membuat pasu seramik di Perkampungan Janda Rotan Batu, Narathiwat, Thailand.
Jika janda-janda ini tidak dibantu, dikhuatiri mereka akan terbabit dalam kehidupan tidak bermoral terutama terjerumus ke kancah pelacuran untuk kelangsungan hidup.
Kampung Janda ini dibangunkan sejak lima tahun lalu dan bagi anak-anak yang bersekolah, kerajaan juga menyediakan sebuah bas khas bagi membawa mereka berulang alik ke sekolah secara percuma.
"Ia juga dilaksanakan menerusi Program Kecekapan Kampung dan Ladang Sampingan Ekonomi Rumah dengan setiap keluarga diberikan bantuan wang sara hidup sebanyak RM4,500 sebulan,'' kata beliau.
Ibu tunggal di perkampungan Janda diberi kebebasan memilih kemahiran atau minat masing-masing untuk menyara hidup.
Kerajaan memberikan sebuah rumah kepada setiap ibu tunggal yang berkeluarga serta tanah seluas 0.6 hektar untuk kegunaan mereka bercucuk tanam bagi menyara diri sendiri dan keluarga.
Namu, kesemua mereka hidup sangat harmoni di sebalik perbezaan pendapat serta pegangan agama.
Salah seorang ibu tunggal yang ditemui, Nisah Deraman, 65, berkata, beliau memilih untuk bekerja sebagai pembuat barangan tembikar yang disediakan oleh pihak pengurusan Perkampungan Janda.
"Dah 10 tahun di sini. Hidup tenteram walaupun ada waktu-waktunya tertekan mengenangkan peristiwa suami ditembak, kemudian anak dibunuh.
"Di sini, saya habiskan saki baki hidup yang ada. Rakan-rakan ibu tunggal lain banyak membantu. Bila bersama mereka, rasa masa cepat berlalu,'' kata ibu kepada empat anak ini.
Nisah menambah, wang upah yang diberi hasil kerja membuat barangan tembikar amat mencukupi untuk kegunaan sendiri, membeli keperluan makan minum setiap hari.
"Saya berasa selamat di sini. Tiada ada lagi saya hendak kejar dalam dunia ini, mahu beribadat kepada Allah,'' ujar Nisah sambil menambah, enggan bersuami lagi semasa ditanya jika beliau mahu menamatkan zaman janda.
Seorang lagi ibu tunggal berasal dari Sungai Padi, Saadah Berahim, 56, beliau sangat beruntung kerana dapat tinggal di kampung ini selepas hidup berseorangan berikutan suaminya ditembak individu tidak dikenali.
Katanya, beliau tinggal di situ sejak 11 tahun lalu dan diberi kemahiran dalam perusahaan tembikar dan bidang itu sememangnya bertepatan dengan minatnya.
“Kawan-kawan yang tinggal di sini semua nasibnya sama seperti saya. Jadi, kami dapat memahami perasaan antara satu sama lain dan boleh bekerja bersama.
“Di sini kami lebih selamat kerana pusat ini sentiasa dikawal oleh pihak tentera dan boleh hidup tanpa rasa ketakutan,” katanya.
"Anda perlu datang ke sini melihat bagaimana harmoninya penduduk kampung selain dapat melihat pekerjaan mereka yang rata-ratanya terdiri dari kalangan ibu tunggal yang dibantu oleh anak-anak mereka," kata In On.
Galeri seramik juga tersedia untuk jualan cendera mata dibawa pulang oleh pelancong yang melawat perkampungan berkenaan.
Hasil kreativiti ibu-ibu tunggal di perkampungan Janda dijual kepada pengunjung yang datang melawat mereka.
Melangkah keluar bersama pengalaman di kampung ini menjadikan penulis terfikir tentang bagaimana kerajaan Malaysia boleh menjadikan "Kampung Janda" sebagai contoh dalam melindungi dan menjaga kebajikan ibu tunggal dan tanggungan mereka. - KitaReporters.com