SAYA PERLU PELANGGAN BUKAN SIMPATI - OKU

Published by
KitaReporters

MENERUSKAN kehidupan dalam keadaan fizikal tidak sempurna bukanlah sesuatu yang mudah! Ada saja yang tidak kena pada mata masyarakat. Begitulah yang dilalui Pak Busu, orang kelainan upaya (OKU) dari Melaka, biarpun tidak mempunyai kaki dan tangan yang normal, lelaki ini masih gigih bekerja dengan membaiki kereta yang rosak di bengkel miliknya. : KitaReporters.com

Pak Busu @ https://www.facebook.com/pak.busu.3


Pak Busu bersama sebuah kenderaan pelanggan yang dibaiki di bengkel miliknya di Batu Hampar, Melaka.


Namun baru-baru ini, Pak Busu berkongsi luahan hati menerusi Facebook miliknya (https://www.facebook.com/pak.busu.3 ) berikutan kesal di hati apabila ‘tempat’ dia mencari rezeki tidak dikunjungi pelangan.

Akui lelaki istimewa itu, ramai yang bersimpati dengan ‘kekurangan’ dirinya membuatkan pelanggan tidak sampai hati untuk menghantar kenderaan ke bengkelnya.

Menerusi posting di Facebook yang diikuti oleh lebih 11,000 pengikut, Pak Busu itu menjelaskan sepatutnya masyarakat membantu diri kerana dia adalah ketua keluarga dan berperanan menyara isteri dan anak-anak.

"Jangan kasihankan saya, sepatutnya kamu semua kasihankan anak isteri nak makan apa nanti," luahnya menerusi Facebooknya, baru-baru ini.

Pak Busu bersama isteri dan anak-anaknya.


Katanya, sebagai seorang bapa kepada dua anak, dia memikul tanggungjawab untuk menyara isteri dan keluarganya malah ia bukan satu bebanan.

"Ini sudah menjadi tanggungjawab saya untuk buat kerja, cari rezeki bagi anak-anak, isteri makan. Beri duit perbelanjaan anak-anak sekolah harian, bayar bil elektrik, air, bayar sewa rumah dan macam-macam lagi.

"Sesiapa yang kereta rosak tu, hantarlah ke bengkel IM Auto Garage saya di Batu Hampar. Bagi saya buat kerja, dapatlah saya bagi anak bini makan untuk meneruskan kehidupan ni," katanya.

Biarpun kekurangan fizikal, namun Pak Busu mempunyai kepakaran dalam membaiki kenderaan.


Jelasnya, tindakan masyarakat yang bersimpati dengan dirinya bukan sahaja memusnahkan kehidupannya tapi tidak memberi peluang dirinya membuktikan kebolehan diri walaupun OKU.

Oleh itu, dia berharap agar mereka meninggalkan sentimen tersebut kerana dia memerlukan duit untuk menampung perbelanjaan seperti membayar sewa bengkel dan juga keperluan keluarga.

Pak Busu yang mempunyai dua orang anak ini juga berharap agar mana-mana pihak yang memerlukan khidmatnya untuk membaiki kereta boleh terus menghubunginya melalui nombor telefon yang disertakan dalam posting itu.

Dengan kuasa viral, luahan Pak Busu itu menjadi bualan sehingga mendapat respons positif daripada netizen.

Malah ramai pengguna dalam laman sosial itu meninggal respons positif dan memuji kesungguhan Pak Busu biarpun dalam kekurangan.

Dalam masa sama, sebahagian netizen yang memuji kegigihan Pak Busu kerana langsung tidak menjadikan kekurangan diri sebagai satu jalan untuk meraih simpati dan tetap berusaha mencari duit sendiri bagi kehidupannya. - KitaReporters.com

Pak Busu tekun menyiapkan kenderaan pelanggan yang membaiki di bengkelnya, baru-baru ini.

 

 

10
1
0
0
0

Copy Link: