NAK BELI BERUK PUN ADA BANTUAN KEWANGAN?
Published byPERMOHONAN bantuan kewangan untuk membeli seekor beruk mungkin dianggap pelik dan melucukan kepada pihak yang tidak memerlukan haiwan itu untuk keperluan mencari rezeki kerana ia jarang berlaku dalam kehidupan masyarakat negeri ini. : KitaReporters.com
Mat Yusof Noh bersama beruk kesayangan yang banyak berjasa dalam kehidupan.
Walau apapun anggapan masyarakat, haiwan itu sememangnya amat berguna kepada seorang penduduk yang memerlukan beruk untuk mengambil upah memetik kelapa sebagai sumber pendapatan harian.
Penduduk, Mat Yusof Noh, 56, dari Kampung Gong Beris, Rhu Rendang, Marang, Terengganu bertekad memohon bantuan kerajaan untuk membeli seekor beruk walaupun tahu perkara itu tidak pernah dilakukan oleh orang lain.
Katanya, disebabkan kemiskinan beliau tidak mampu untuk membeli haiwan itu dan terpaksa memohon dengan pihak tertentu yang sedia membantunya.
Hasrat itu kemudian disampaikan beliau kepada wakil Menteri Besar Terengganu yang secara kebetulan datang ziarah di rumah beliau pada 4 Februari 2020.
Turut hadir dalam ziarah itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Yusof dan Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsuden.
Bersimpati dengan permintaan itu Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Marang bersetuju meluluskan permohonan itu kerana ia memenuhi syarat kelayakan selain melihat kesungguhan Mat Yusof yang mahu mengubah nasib keluarga mencari rezeki dengan mengait buah kelapa menggunakan keringat haiwan itu.
Harun berkata, permintaan seperti itu tidak pernah berlaku.
Bagaimanapun,pihaknya bersetuju untuk membantu Mat Yusof, oleh kerana beliau sangat bersungguh-sungguh untuk mendapatkan haiwan itu untuk mengambil upah mengait kelapa.
“Selain daripada membeli beruk tersebut, bantuan pinjaman modal lain turut diagihkan,” katanya.
Permohonan Mat Yusof meminta bantuan membeli beruk diluluskan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Marang
Mat Yusof berkata, pemberian haiwan itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk bekerja, di mana dia kini mampu mendapatkan 300 sehingga 500 biji kelapa sehari.
Katanya, walaupun harga seekor beruk antara RM300 dan RM500 seekor tetapi dia tidak mampu membelinya dan terpaksa memohon bantuan kerajaan.
“Saya tidak dapat bekerja berat kerana menghidap penyakit usus, jadi ini salah satu kaedah memudahkan dan mengurangkan kudrat dalam mencari rezeki,” katanya
Mat Yusof berkata, ketika ini, beliau turut menerima bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - KitaReporters.com