KONGSI BUAH LIMAU ERTI KONGSI KEMAKMURAN

Published by
KitaReporters
HAMPIR sejuta wargakota Kuala Lumpur dilaporkan sudah pulang ke Pantai Timur dan disusuli penghuni kota besar yang lain di seluruh negara meninggalkan tempat mencari rezeki untuk pulang menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga di kampung halaman. : KitaReporters.com

Limau kasturi, limau Mandarin, limau Bali dan buluh hiasan menjadi satu hiasan yang paling dicari oleh masyarakat Tionghua kerana buah-buahan itu adalah lambang kemakmuran.  


Semasa di Stesen Petronas, ada kenderaan pacuan empat roda berhenti dan kelihatan di belakang tempat barang, ada satu pokok limau Cina atau dikenali limau kasturi yang dibawa pulang oleh pemandu. 

Buahnya sedang bertukar menjadi kuning sepenuhnya, diharap 'masak' semasa tahun baharu nanti.

Limau kasturi, limau Mandarin, limau Bali dan buluh hiasan menjadi satu hiasan yang paling dicari oleh masyarakat Tionghua untuk menghiasi pejabat, rumah dan restoran kerana buah-buahan itu adalah lambang kemakmuran. 

Mereka percaya buah limau daripada kulit sehingga isinya berwarna kuning adalah lambang emas.

Ada dua jenis limau yang dijadikan hiasan satu untuk makan dan satu lagi sebagai perhiasan dan yang hiasan itu tidak akan disentuh sehingga buahnya gugur.


Dalam bahasa Kantonis, sebutan limau ini sama dengan emas sehinggakan ada pihak yang percaya lagi banyak orang makan buah-buahan itu, bertambah-tambah kayalah mereka. 

Sebab itu, satu kewajiban bagi setiap rumah membeli dan menghidangkan buah-buahan ini sepanjang musim perayaan.

Promosi membeli belah keperluan raya sudah dilancarkan pada Disember tahun lalu dan sehari dua ini, keluarga Cina itu lebih tertumpu kepada membeli keperluan segar untuk menyediakan hidangan malam makan besar itu. 

Tidak kurang juga mendapati ada keluarga yang beraya di bandar raya membuat persiapan terakhir memilih hamper, buah limau yang ditawarkan dengan harga promosi sambil meninjau makanan dalam tin serta biskut yang akan dihidangkan pada tetamu. 

TEE CHOR WAI


Bagi seorang peguam muda, Tee Chor Wai, dia berharap Tahun Baharu Cina adalah masa terbaik untuk berhimpun bukan saja dengan keluarga, malah sepupu dan saudara maranya. 

Walaupun, kerap pulang ke kampungnya di Seremban, hanya musim perayaan semua berkumpul di rumah datuknya.

Tahun Baharu Cina adalah perayaan agama yang dipercayai bermula pada Dinasti Shang 1766 BC - 1122 BC. 

Selalunya malam makan besar mengutamakan menu ikan sebagai sajian utama keluarga kerana ikan yang dimasak dengan mengekalkan kepala dan ekornya adalah lambang kemkmuran dan rezeki melimpah ruah sepanjang tahun. 

Yu dalam bahasa Mandarin adalah melimpah ruah. 

Mengekalkan ekor ikan dengan kepala juga sebagai lambang satu permulaan kerja yang harus dibuat. 

Dan anggota keluarga akan makan di bahagian tengah ikan itu, manakala ekor dan kepala akan dibiarkan untuk dihabiskan hari esok. 

Ini sebagai petua orang tua, lebihan itu supaya rezeki tidak putus malah melimpah ruah untuk sepanjang tahun ini.

Tahun Baharu Cina adalah masa terbaik untuk berhimpun bukan saja dengan keluarga.


Selain menu itu, keluarga juga akan menyajikan ladu, ayam, popia, mihun, pulut (kuih bulan), bebola pulut yang diisi dengan pelbagai perasa daripada kurma, kacang merah dan kacang tanah.

Memakan ladu itu macam lambang mata wang yang pernah digunakan masa pemerintahan raja di China, ayam pula sebagai ikatan kekeluargaan. 

Manakala spring roll merujuk kepada musim perayaan tahun baharu itu, mihun Cina melambangkan panjang umur.

Memakan kuih pulut atau kuih bulan pula untuk mendapatkan kekayaan, kesihatan malah yang berangan mahu tinggi pun bolehlah mencubanya. 

Tan Yuan macam puteri mandi sebab namanya dikaitkan dengan pertemuan semula, kesatuan dan kesepakatan.

"Buah oren sangat popular kepada orang Cina kerana kulitnya yang keemasan itu macam daya penarik kekayaan, manakala sebutan oren ini (cheng) sama bunyinya kepada kekayaan. 

"Selain itu, perkataan lain juzi juga sama dengan ayat untuk tuah," kata Tee menganggap apa yang dilakukan oleh nenek moyang perlu diteruskan oleh generasi muda Cina.

Apapun Tee berpendapat, durian yang menjadi buah yang sangat mahal kini, patut juga dimasukkan sebagai menu sajian makan besar sebab itu ulas raja buah sememangnya berwarna kuning keemasan! - KitaReporters.com

1
0
0
1
0

Copy Link: