ANAK MINAT BERLAKON? UJI BAKAT PADA 17 FEB..
Published byADAKAH anda mempunyai anak yang berbakat dalam bidang lakonan? Mungkin anak itu sering memujuk anda untuk membenarkannya berlakon, walhal usianya masih pada peringkat persekolahan? : KitaReporters.com
Jika dahulu kita sering melihat filem-filem yang menentang kerjaya seni seperti dalam filem arahan Seniman Agung P. Ramlee, “Ibu Mertua Ku’ di mana ayat yang diluahkan oleh Nyonya Mansur menjadi sebutan dan mainan pada bibir ramai: drama
“Ahli muzik? Memang pantang datok nenek aku ahli muzik. Kalau dah kau, aku tak suka, keturunan kau pun aku tak suka…”
Tu dia!!... Satu baris yang cukup ‘power’ dan menikam kalbu sesiapa yang mendengarnya ya tak?
Rasanya dahulu, ibu bapa rasa malu jika anak-anak terlibat dalam bidang seni di mana kerjaya guru, 'loyar' (peguam), majistret dan 'doktor' menjadi tumpuan.
Tetapi keadaan seperti itu wujud pada zaman 50-an dan awal 60-an, waima filem ‘Ibu Mertua Ku’ diterbitkan dalam hitam putih pada sekitar tahun 1962.
Tetapi pada era moden ini, keadaan sudah berubah, ramai pula ibu bapa dilihat membenarkan anak-anak mereka terlibat dalam seni hiburan.
Malah mereka sendiri turut terlibat dan menggalakkan anak-anak berlakon atau pun menyanyi. Tiada lagi istilah malu.
Program realiti Akademi Fantasia (AF) yang mula diperkenalkan pada tahun 2003 antara yang menjadi fenomena anak-anak muda berebut untuk bersaing.
Begitu juga apabila wujudnya program khas untuk kanak-kanak seperti ‘Ceria Popstar’ dan sebagainya, yang menawarkan hadiah lumayan oleh sebuah syarikat televisyen berbayar Astro.
Sejak itu ibu bapa dilihat menggalakkan pula anak-anak terjun ke bidang lakonan mahu pun nyanyian untuk segera meraih populariti di samping mengaut wang pada usia muda.
Kira dapat duit cepatlah, tak perlu belajar teruk-teruk, janji ada darah seni yang mengalir dalam tubuh, apatah lagi jka keadaan kewangan keluarga menjadi penghalang untuk teruskan pendidikan.
Jadi, sekiranya anak-anak anda tergolong dari mereka yang berbakat dan meminati bidang lakonan, maka barangkali boleh membawanya untuk hadir ke sesi uji bakat sebuah telefilem berjudul “Bisik-Bisik’.
Bakal diadakan pada 17 Februari 2020 (Isnin), pukul 1.00 hingga 5.30 petang, bertempat di Unit Drama TV RTM (UDTV RTM), Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur, pencarian terbuka kepada kanak-kanak untuk karektor berumur lima (5) hingga 10 tahun.
Pengarahnya, Hisyamudin Ahmad yang mengalu-alukan penyertaan kanak-kanak dalam usia demikian berharap yang hadir sudah bersedia lengkap.
Apa persediaannya?
Di sini ada beberapa tip berguna dikongsikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi kanak-kanak sebelum hadir mana-mana sesi uji bakat... ya. Apa yang perlu dikenal pasti adalah:
- Grooming
- Bakat
- Hafal skrip/lagu
- Datang awal dan tepati masa
- Senyum
- Sikap
“Yang hadir perlu memastikan mereka mempunyai sesuatu ‘bakat’ yang boleh dikongsikan,” ujar Hisyamudiin.
Menurut Hisyamudin yang juga salah seorang pengarah di UDTV RTM, pemilihan berdasarkan keperluan karekter dalam naskah ini diangkat untuk menonjolkan kisah komuniti anak-anak yatim yang terpaksa berjuang untuk kelangsungan hidup.
Telefilem ini bakal disiarkan khas sempena Maal Hijrah bulan Ogos depan dan dijangka siarannya menerusi saluran TV2.
Kesimpulannya, kepada yang berminat bolehlah tandakan tarikh tersebut dalam kalendar... ya supaya tak ketinggalan nanti tetapi seperti kata pengarahnya, bersiap sedialah dahulu.Kan pepatah pun ada menyebut 'sediakan payung sebelum hujan' tak gitu?
Bila diri dah bersedia, rasa konfiden sudah tentu ada, tidaklah nanti menyusahkan pihak casting serta pengarah terbabit dan membuang masa mereka sahaja.
Apa pun 'good luck' kepada semua, mana tahu bakat yang terpendam itu bakal membawa tuah dan menjadikan korang terkenal seperti pelakon kanak-kanak terdahulu antaranya Puteri Balqish, Mia Sara atau pun Fimie Don yang kini dah dewasa.Tetapi yang lebih penting jangan tinggalkan pelajaran dan jadikan bidang lakonan sebagai hobi masa lapang sahaja.. ya! - KitaReporters.com
Puteri Balqish merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2014 ketika usia 7 tahun.