MUSIM cuti sekolah dah pun bermula. Sudah tentu ibu bapa tidak ketinggalan merancang percutian keluarga samada ke luar negara atau pun dalam negara sahaja. Segalanya bergantung pada wang dalam kocek tak gitu? : KitaReporters.com


Pendek kata, kenalah ukur baju pada badan sendiri kan, usah pula ikut pepatah ‘biar papa asal bergaya’ sebab nanti bila dah nak buka sekolah dah tak cukup duit pula nak bayar hal ehwal persekolahan anak-anak apatah lagi yang mempunyai bilangan anak yang ramai.

Namun, bagi yang berada di luar daerah dan merancang untuk bercuti dan bersantai di ibu kota Kuala Lumpur sahaja, apa kata berkunjung ke beberapa kompleks beli-belah yang tidak kurang menyediakan pelbagai aktiviti, sekali gus dekor menarik  untuk dinikmati seluruh keluarga.

Malah bersempena dengan kehadiran sambutan Hari Krismas, kebanyakan pusat beli-belah sudah pun menghiasi ruang kompleks masing-masing dengan dekor yang mempesonakan mata memandang.


Antaranya anda boleh berkunjung ke salah satu pusat beli-belah prestij di ibu kota  iaitu ke Pavilion Kuala Lumpur yang merupakan sebuah pembangunan urban di Bukit Bintang.

Terletak di kawasan segi tiga emas, persekitaran Pavilion tidak pernah sunyi malah dikunjungi ramai pelancong dalam dan luar negara kerana di sini terletaknya syurga beli-belah utama, yang merekodkan tarikan kepada lebih 30 juta pengunjung setiap tahun.

Dan khusus buat peminat cerita fantasi ‘Star Wars’ apa kata memasuki Pavilion KL sebab di sini anda pasti akan terpegun dengan dekorasi  yang dicipta berkonsepkan ‘A Starry Christmas’ , bertepatan dengan pelancaran filem yang sangat dinanti-nantikan, “Star Wars: The Rise of Skywalker’ yang merupakan sebuah filem terakhir daripada francais Star Wars. 

Majlis pelancaran “A Starry Christmas” telah disempurnakan pada Selasa (19/11/2019) lalu oleh Dato’ Joyce Yap (pix bawah, tengah), Ketua Pegawai Eksekutif (Peruncitan), Pavilion Kuala Lumpur. 


Bergambar kenangan di hadapan Millennium Falcon terbesar di Pavilion Kuala Lumpur.


Sebaik beliau menekan butang pelancaran, sebuah replika Millennium Falcon terbesar yang dibina terapung di tengah ‘Centre Court’ bergerak-gerak naik sambil memancarkan  cahaya pelbagai rona.

Ya.. jika anda mahu menyaksikan pertunjukan cahaya yang dipancarkan oleh Millennium Falcon tersebut, sebaiknya bawa anak-anak ke Pavilion KL pada pukul 8  malam kerana ia telah dijadualkan bercahaya setiap malam pada waktu berkenaan.

Ciptaan Falcon terbesar ini telah dianugerahkan gelaran oleh Malaysia Book of Records, di mana ia berukuran sebesar 30 kaki x 40 kaki.

Jadi, mulai sekarang sehingga 31 Disember, para peminat Star Wars boleh merasai  kehangatan pengembaraan antara galaksi yang hebat di Centre Court, di mana anda akan disambut dengan ‘lightsabers’ merah dan biru yang menjulang tinggi di lelangit bumbung.

Pilih karakter mana dalam 'Star Wars" pilihan anda untuk bergambar kenangan.



Malah ketika menuruni ‘Spanish Steps’ anda dan anak-anak boleh bergambar dengan Sith Troopers (Stormtroopers merah) yang terpacak di kiri kanan tangga.

Jangan lupa singgah untuk pengalaman interaktif di stesen ‘Hyper Drive’ dan ‘Cockpit Access’ untuk peluang mengambil gambar kenangan. 

Dan sudah tentu, usah lepaskan peluang untuk membeli barangan khas Star Wars yang turut dijual berhampiran. Ada produk ‘Hot Wheels’ Star Wars juga tau!

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti  peluang untuk bertemu dengan watak-watak Star Wars kegemaran seperti C-3PO, R2-D2 dan Stormtroopers, begitu juga dengan latihan ‘lightsaber’ dalam usaha  untuk menjadi seorang Jedi di ”Star Wars Jedi Experience”. 

Wow! Kanak-kanak pasti gembira kan malah rasanya ibu bapa pun akan turut seronok berpeluang berdepan dengan situasi ekstravaganza Star Wars ini.

Sebenarnya, kehebatan dekorasi ini direalisasikan apabila Pavilion KL bekerjasama dengan The Walt Disney Company Malaysia.

"Kerjasama kami dengan Disney telah menyajikan pengunjung dan pelawat dengan peluang untuk merasai pengalaman dengan Mickey, Marvel dan sekarang Star Wars, dengan cara yang sangat menyeluruh dan penuh interaktif. 

"Komitmen kami di Pavilion KL adalah untuk terus meningkatkan mutu standard serta memberikan pengunjung dan pelawat pengalaman yang lebih hebat dan kreatif di setiap kesempatan yang ada," ujar  Joyce ketika berucap.


Pelbagai aktiviti disediakan untuk hiburan di Centre Court Pavilion KL.


Untuk rekod, pada tahun 2018, Pavillion KL telah bekerjasama dengan Disney untuk meraikan “Mickey’s 90 Years”, membawakan kepada pengunjung dan pelawat kempen “Disney Celebrate The Magic – Dream Christmas” yang memenangi pingat emas di Anugerah “CASC-PPK Best Experiential Marketing 2019”. 

Dari Jun 2019 hingga Januari 2020, Pavillion KL bekerjasama lagi dengan Disney dan Crave Asia untuk membawa pameran “Marvel Studios - Ten Years of Heroes Exhibition Malaysia” buat pertama kalinya di Malaysia. 

Walaupun hiasan perayaan yang mewah membawa anda ke dalam semangat beraya, makna sebenar musim ini adalah perkongsian.

Sehubungan itu, anda berpeluang mendapatkan ganjaran untuk pembelian di seluruh Pavilion KL dengan menebus dan membawa pulang beg bagasi saiz kabin Edisi Terhad Star Wars percuma dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM5,000 dalam satu resit atau RM3,000 dengan kad kredit Maybank.


Di samping itu, anda juga boleh menebus flask vakum Edisi Terhad Star Wars percuma dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM 1,500 dalam satu resit (RM 1,000 dengan kad kredit Maybank). 

Manalah tahu kot-kot anda ada menyimpan sedikit wang untuk membeli hadiah buat kenangan antaranya seperti produk Star Wars atau pun koleksi watak-watak ikonik Star Wars seperti Yoda, Darth Vader dan Boba Fett yang telah diabadikan dalam bentuk pewter oleh Royal Selangor.

Terlanjur berada di Pavilion KL, anda boleh juga membawa anak-anak untuk melihat Pameran “Marvel Studios - Ten Years of Heroes Exhibition Malaysia” di Aras 10, sebelum ia tamat pada Januari 2020.

Ok, selamat bercuti semua dan kepada penganut Kristian sempena Hari Krismas yang bakal tiba, ada pelbagai persembahan Krismas, Santa Meet & Greet serta nyanyian karol menanti anda juga.

Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Pavilion KL di www.pavilion-kl.com, akaun Instagram di https://www.instagram.com/pavilionkualalumpur/. - KitaReporters.com

2
0
0
0
0

Copy Link: