FUYOH! PAPA SWEET, MAMA SADO TAWAN PUNCAK
Published byUSIA bukan menjadi penghalang untuk bergiat aktif dalam bidang sukan termasuk aktiviti lasak yang memerlukan banyak tenaga dan kecergasan diri. : KitaReporters.com
Bagaimanapun, seorang lelaki dan wanita berusia separuh abad yang meminati hobi sukan lasak telah membuktikan berada pada usia hampir warga emas bukan menjadi penghalang atau melemahkan semangat mereka.
Meminati hobi yang sama, lelaki bertubuh sederhana, Muhammad Sulhan Ghazali, 50, dan wanita kecil molek, Dr Lily Kuan, 51, yang lincah dan aktif dalam sukan mendaki ini mengakui untuk kekal bertenaga, memerlukan disiplin diri yang tinggi terutama berkaitan faktor pemakanan harian.
Mempunyai beberapa persamaan tentang kehidupan, kedua-dua mereka yang berkerjaya sendiri berjaya mencipta kejayaan tersendiri dengan melakukan banyak pendakian gunung di dalam dan luar negara.
Antara pencapaian terbesar dilakukan oleh bapa dan ibu tunggal ini adalah melakukan Ekspedisi Mera Peak, Nepal (6,461 meter dari aras laut) secara berpasangan pada Oktober lalu yang turut disertai Pengurus Peak Journey, yang juga pendaki Everest 2016, Mohd Azim Afif Ishak.
BERJAYA.... Dr Lily Kuan (atas), Muhammad Sulhan Ghazali (tengah) berjaya melakukan Ekspedisi Mera Peak, Nepal (6,461meter dari aras laut) secara berpasangan pada Oktober 2019 lalu dengan bimbingan Pengurus Peak Journey, yang juga pendaki Everest 2016, Mohd Azim Afif Ishak (depan).
Dilahirkan di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, Muhammad Sulhan berkata, aktiviti mendaki itu pada asalnya diceburinya secara suka-suka untuk menjaga kesihatan, tapi lama kelamaan menimbulkan keseronokan untuk mencabar ketahanan diri.
Muhammad Sulhan berkata, aktiviti mendaki itu diceburi kira-kira 10 tahun lalu. Semasa kecil, beliau pernah menyertai pasukan pengakap sekolah yang banyak melakukan aktiviti lasak dan perkemahan.
Beliau yang juga bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), erak dan University of Notre Dame, England menyatakan semasa di kampung beliau sering membuat khemah di belakang rumah menggunakan guni bersama rakan.
Katanya, aktiviti mendaki itu umpama sebati dengan dirinya kerana ia banyak mengajar keupayaan diri, bersikap sabar, tolak ansur dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
MUHAMMAD Sulhan Ghazali ketika menyertai Ekspedisi Mera Peak, Nepal
Menceritakan pengalamannya, Muhammad Sulhan berkata, selain mencari kepuasan dengan mendaki bersama rakan, beliau dan peserta lain turut melakukan program khidmat masyarakat di atas gunung dengan membersihkan kawasan tersebut.
Bapa kepada anak kembar berumur 14 dan 16 tahun ini berkata, walaupun meletihkan, dia berasa puas apabila tiba di puncak dan perasaan itu sentiasa menguatkan semangatnya untuk terus aktif dalam aktiviti pendakian.
Beliau yang juga bekas jurutera di beberapa buah syarikat cari gali minyak terkemuka berkata, pada kebiasaannya dia melakukan aktiviti kecergasan seperti menunggang basikal, berjalan dan berjoging selepas tamat waktu bekerja bagi membina stamina.
“Bagi memastikan badan sentiasa sihat, saya turut melakukan beberapa pendakian di dalam negara seperti Gunung Tahan, Gunung Korbu, Gunung Gayong, Gunung Yong Belar, Gunung Yong Yap, Gunung Chamah, Gunung Ulu Sepat, Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi dan Gunung Tambuyukon.
"Saya juga pernah mengadakan beberapa pendakian di beberapa gunung di Indonesia yang dianggap sebagai mencabar kerana mempunyai trek yang curam seperti Gunung Kerinchi, Gunung Rinjani, Gunung Raung, Gunung Semeru, Gunung Arjuna dan Gunung Weleirang."
"Aktiviti lasak yang disertai itu bukan saja bermanfaat untuk diri, malah ia memberikan keseronokan dan kepuasan yang tidak dapat digambarkan," katanya.
DR Lily Kuan dengan gaya tersendiri meraikan kejayaan menyertai Ekspedisi Mera Peak, Nepal (6,461 meter dari aras laut) pada Oktober 2019 lalu.
Bagi Lily Kuan, sekali pandang mungkin ramai yang tidak menyangka wanita bertubuh kecil molek yang lincah dan aktif ini sudah pun menjangkau ke usia separuh abad.
Kala wanita seusianya sudah mula berehat dan didatangi pelbagai penyakit akibat faktor usia dan tidak lagi mementingkan aspek penjagaan diri, anak kelahiran Kajang, Selangor ini masih aktif dan memilih menjadi sebaliknya.
Ibu tunggal kepada dua cahayamata ini mengakui untuk kekal cantik dan bertenaga, memerlukan disiplin diri yang tinggi terutama berkaitan faktor pemakanan harian.
Bekas graduan fakulti pergigian Universiti Malaya (UM) ini berkata, beliau sering mengamalkan diet sihat dan tidur yang cukup untuk kekal sihat.
Beliau yang mengusahakan klinik gigi di ibukota berkata, ia adalah rutin wajib dirinya dan percaya faktor tidur yang cukup dan pemakanan perlu dijaga sebaik mungkin kerana ia mempengaruhi kecantikan dan kesihatan diri seseorang.
Menurut beliau, bagi mengekalkan kecantikan dan kecergasan diri, dia aktif melakukan aktiviti berbasikal dengan berulang-alik setiap hari ke klinik dan pada waktu terluang.
Katanya, dia amat meminati aktiviti mendaki sejak berusia 17 tahun dan pencapaian terbaiknya adalah pada Oktober lalu melalui Ekspedisi Mera Peak, Nepal yang diadakan bersama Muhammad Sulhan.
AKTIF pada usia tua bukan menjadi halangan untuk menyertai aktiviti mendaki kepada Dr Lily Kuan (kanan) dan Muhammad Sulhan Ghazali (kiri).
"Saya mula melakukan aktiviti ini dengan mendaki Gunung Nuang, Gunung Tahan, Gunung Kinabalu, Gunung Pinnacle, Gunung Jerai, Bukit Tabur, Gunung Nuang,Gunung Datuk, Gunung Irau dan Frasers Hill bersama rakan pada hujung minggu, di samping menguruskan dua orang anak sebagai ibu tunggal.
“Aktiviti ini bukanlah mudah kerana ia memerlukan semangat serta ketahanan fizikal serta mental, dan setakat ini, telah berjaya mendaki beberapa gunung di luar negara seperti Gunung Huashan dan Rainbow di China dan Humantay di Peru.
“Walaupun aktiviti ini sangat meletihkan, namun satu nikmat yang tidak dapat dibayangkan dirasai setiap kali tiba di puncak dan dalam masa sama, saya berpeluang menikmati keindahan alam.
“Pada usia sebegini, saya tidak boleh mengambil ringan aspek penjagaan diri kerana jika semuanya diambil mudah, banyak risiko kesihatan sedia menanti bila-bila masa."
Jelasnya, dia percaya apa yang dilakukannya itu mampu memberi manfaat kepada dirinya dan akan terus aktif selagi diberi kekuatan. - KitaReporters.com
DR Lily Kuan (kiri) dan Muhammad Sulhan Ghazali (dua dari kanan) ketika menyertai Ekspedisi Mera Peak, Nepal.
.
Muhammad Sulhan Ghazali (tengah), Dr Lily Kuan (berdiri, kanan) dan Pengurus Peak Journey yang juga pendaki Everest 2016, Mohd Azim Afif Ishak (duduk) ketika menyertai Ekspedisi Mera Peak, Nepal.