MAT DON: RIMAU SELATAN VS RIMAU MALAYA?
Published byBOLEHKAH Liridon Krasniqi dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya sebelum menyambung aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G, 26 Mac ini? Kalau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah bersusah payah mendapatkan kewarganegaraan buat Krasniqi dengan kerjasama padu Kementerian Dalam Negeri pada 3 Februari 2020, tidak mungkin dia boleh dipinggirkan begitu sahaja. : KitaReporters.com
LIRIDON Krasniqi sudah mendapat pasport Malaysia dan MyKad tetapi bagaimana jersi Harimau Malaya selagi bukan jadi pilihan XI utama JDT? - Foto FB Liridon
Namun jika diukur pada siri persahabatan pramusim pasukannya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dari 20 hingga 30 Januari 2020 di Amiriah Arab Bersatu (UAE), tidak pernah sekalipun pemain dari Kosovo itu membarisi kesebelasan utama.
Perantara menyerang berusia 28 tahun ini hanya kerap masuk sebagai pemain gantian antara perlawanan persahabatan di UAE yang meliputi menentang Riga FC, Dibba Al-Fujairah, Turkmenistan, MSK Zilina dan Emirates FC.
Trend ini seakan mahu diteruskan jurulatih JDT, Benjamin Mora sebaik sahaja sepak mula Liga Juara Asia (ACL) 2020 Kumpulan G pada 12 Februari 2020 dengan bertandang ke Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun untuk menentang Vissel Kobe.
Mat Don juga tentu mengidam menentang bekas pasukannya dalam musim 2015 hingga 2018, Kedah bagi mempertahankan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah milik JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada 28 Februari 2020.
Walau bagaimanapun, hanya jurulatih dari Mexico itu yang mempunyai kuasa pemutusnya pada aksi bekas pemain skuad bawah 21 tahun Albania dan kebangsaan Kosovo ini di venue baharu Harimau Selatan itu.
MAT Don (kiri) hanya masuk sebagai pemain gantian ketika siri pramusim JDT di UAE, Januari lalu. - Foto JDT
Di Dubai dan Fujairah, UAE, pilihan dan fokus Mora banyak berlegar kepada tonggak import, Diogo, Gonzalo Cabrera, Harris Harun dan Leandro Velazquez sambil semakin menaruh kepercayaan kepada perantara tempatan, Nazmi Faiz Mansor.
Jika semakin kurang masa bermain apatah lagi sukar menyertai XI JDT, maka adakah dia masih berada dalam ‘radar’ pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe?
Namun jurulatih dari Kedah itu sudah mengenali corak permainan Mat Don ketika membimbing Helang Merah dari 2014 hingga 2017.
“Satu impak terbaik kepada pasukan negara. Dia ada perwatakan dan bersemangat tinggi serta membawa nilai positif bahagian serangan kita.
“Namun untuk menyenaraikannya ke kem latihan Harimau Malaya, saya kena nilai dulu prestasinya bersama JDT dalam Liga Super terlebih dulu.
“Sudah hampir setahun ketika menyertai Melaka United pada 2019, dia tidak beraksi dalam banyak perlawanan kompetitif kerana menjalani pembedahan dan pemulihan,” katanya.
Liridon bakal menyusuli langkah sayap kanan kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh yang mulai menyarung jersi Harimau Malaya pada 12 Oktober 2018 ketika menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan selain membantu muncul naib juara Piala AFF.
Menghuni tempat kedua Kumpulan G kelayakan, Harimau Malaya akan bertandang ke gelanggang UAE di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 26 Mac 2020, namun lima hari sebelumnya akan ke Bahrain bagi persahabatan pemanas badan.
FAM dan Liridon masih perlu menunggu pengesahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam tempoh terdekat ini berhubung penampilan sulungnya dengan Harimau Malaya terutama jika syarat pemastautinnya di negara ini sudah mencapai lima tahun berturut-turut.
LIRIDON (kiri) menayangkan MyKadnya di samping Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto FAM
UAE yang mengalahkan Malaysia 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 September lalu, tampak kian terdesak untuk keluar dari tempat keempat Kumpulan G yang dihuninya sekarang dengan enam mata setelah dikejutkan Thailand 2-1 dan Vietnam 1-0.
Al Abyad atau Si Putih yang sudah memecat pengendalinya, Bert van Marwijk selepas bekas jurulatih naib juara Piala Dunia Belanda 2010 gagal membantu mereka ke separuh akhir Piala Teluk, awal Disember lalu.
UAE yang kini dibimbing oleh Ivan Jovanovic dari Serbia, juga dilaporkan ‘menaturalisasikan’ seorang pemain kelahiran Argentina, Sebastian Lucas Taglibue dan dua warga Brazil, Caio Canedo Correa dan Fabio Virginio de Lima yang beraksi dalam Liga Pro negara Asia Barat itu.
Sepanjang 13 pertemuan dengan UAE sejak 20 September 1980, Malaysia hanya pernah menang dua kali, 2-0 dan 2-1 dalam Piala Asia 1980 dan Pestabola Merdeka 1982 serta seri sekali, 1-1 dalam persahabatan 1985.
Selebihnya kita kalah dengan yang paling teruk dan berbekas sebagai bencana terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia ialah 10-0 dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 3 September 2015 di Abu Dhabi.
UAE yang menewaskan Malaysia 2-1, September lalu kurang meyakini lagi kemampuan penyerang tempatan, Ali Mabkhout (kiri) dengan menaturalisasikan tiga pemain dari Argentina dan Brazil kali ini.