TILAPIA DIBAKAR 40 MINIT BAGI HIDANGAN MIANG PLA PAU
Published byBUMI Kelantan yang bersempadanan dengan Siam menyebabkan hampir kebanyakan masakan dan makanan di negeri berkenaan turut dipengaruhi cita rasa masyarakat di negara itu.
Makanan Miang Pla Pau tersedia untuk dijamu.
Malah, sejak dari dahulu, negeri ini memang terkenal dengan pelbagai jenis hidangan juadah dan kuih-muih yang beraneka rasa. Ada yang manis, pedas dan juga nama makanan yang pelik seperti tahi itik, badak berendam, lompat tikam dan sebagainya.
Pada malam hari, lazimnya hidangan Tom Yam dan makanan bergoreng menjadi pilihan ramai penjual makanan untuk disajikan kepada pelanggan, namun sekiranya mahukan kelainan, anda patut mencuba set Miang Pla yang menggabungkan antara pilihan udang, ikan atau kerang.
Miang Pla Pau adalah hidangan ringkas ikan tilapia yang boleh diratah begitu sahaja, mahupun dimakan bersama nasi. Ikan ini disajikan bersama dua jenis sos yang terasa pedas, manis dan masam.
Berpeluang mencuba hidangan ini, baru-baru ini bersama Pengurus Pusat Jualan Kraf, Kraftangan Malaysia Kelantan, Mohd. Fouzee Tahir, makanan ini ternyata unik dan sedap biarpun penyediaannya ringkas.
Kami menikmati hidangan ini di kedai makan yang terletak di pekarangan Pusat Jualan Kraf, Batu 2, Jalan Kuala Krai, Benut Payong, Kota Bharu, Kelantan.
Kedai makan Anak-Beranok Station dan Bayu Snowfish ini dibuka pada malam hari sekitar enam petang hingga dinihari.
Menurut Mohd. Fouzee, konsep hidangan Miang Pla Pau adalah sama seperti Miang Kam, hidangan pembuka selera menggunakan daun kaduk yang dimakan seperti sirih yang diletakkan pelbagai bahan penyedap rasa ke dalamnya.
``Tilapia yang merupakan bahan terpenting Miang Pla Pau akan dibalut dengan daun pisang dan ditaburkan garam akan dibakar selama 40 minit, bagi memastikan ikan ini benar-benar masak, garing, tidak berbau dan terasa hanyir.
``Setelah masak, ikan ini akan dihidangkan di dalam talam kecil yang diletakkan bersama daun selasih, mihun halus dan kasar, daun salad, serta sos,’’ katanya yang memberitahu, harga makanan di kedai makan berkenaan adalah berpatutan.
Cara menjamah hidangan ini juga mudah, cuma ambil isi tilapia, selitkan ke dalam salad, secubit mihun kasar, halus dan daun selasih, serta letakkan sedikit dua jenis sos tadi dan kemudian dimakan.
Anda akan dapat merasakan satu kelainan dalam hidangan yang ringkas, tetapi enak.
Selain hidangan Miang Pla Pau, masakan lain yang boleh didapati di sini ialah Daging Colek dan Sotong Sumbat yang tidak kurang enak rasanya.
Selain hidangan berkenaan, anda boleh memesan tiga menu berlainan yang boleh dicampur dengan hanya berharga RM10. Anda juga boleh menikmati Teh-O ais dengan harga 50 sen. Sangat berbaloi.
Setelah makan, mungkin anda boleh melihat dan membeli kraf yang menarik di pusat jualan kraf pula. Pusat jualan kraf ini dibuka sehingga 11 malam pada setiap hari Khamis, Sabtu dan Ahad.