Sebahagian daripada pempamer yang menyertai KRS2020 yang diadakan di Kuantan Parade, Kuantan pada 17-19 Januari 2020.
Karnival Raja Sehari 2020 (KRS2020) yang berlangsung di pusat membeli belah Kuantan Parade, Kuantan pada 17 hingga 19 Januari 2020 menjadi platform bagi bakal pengantin mendapatkan apa yang mereka impi dan idamkan.
Lebih menguntungkan, bakal pengantin di Pahang bukan sahaja menerima insentif khas sebanyak RM200 daripada kerajaan negeri, mereka dapat pulak diskaun sehingga 50 peratus daripada perancang perkahwinan yang menyertai KRS2020 berkenaan.
Untung berganda... bertuahnya badan!!
Perunding Perancang Perkahwinan memberi penerangan mengenai pakej perkahwinan sepanjang karnival berlangsung.
Tetapi diskaun tu bersyarat dan yang bertuah adalah mereka yang menempah pakej perkahwinan ketika berlangsungnya KRS2020 berkenaan.
Begitu juga dengan pemberian insentif khas perkahwinan. Bagaimanapun, semuanya tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru baru ini, mengumumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan insentif khas untuk perkahwinan kali pertama berjumlah RM200 bagi bakal pengantin lelaki yang berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Untungkan bakal pengantin di Pahang ni. Nak pindah Pahanglah!!
Perancang perkahwinan dan Kerajaan Negeri bagaikan 'bersatu hati' membantu pasangan bakal pengantin yang inginkan majlis perkahwinan diraikan berdasarkan kemampuan masing-masing. Bajet tapi meriah!
Penganjur program KRS2020 ,yang juga pemilik Ujies Collection, Ujie Ariffin bersama sebahagian daripada model yang memperagakan busana pengantin selepas majlis perasmian karnival.
Justeru, bagi merealisasikan impian mereka, ramai bakal pengantin membuat tempahan awal kerana kebanyakan pengusaha perancang perkahwinan menawarkan pelbagai pakej istimewa dan pemberian diskaun sehingga 50 peratus sepanjang karnival berlangsung.
Sudah sewajarnya mereka merebut peluang yang ditawarkan itu tanpa perlu bersusah payah mencari butik pengantin atau perancang perkahwinan.
Perkara mudah kenapa perlu dipersulitkan!
Pengarah Urusan Ujies Collection, Ujie Ariffin, 46, berkata, bakal Raja Sehari yang berkunjung ke karnival itu dianggap bertuah kerana mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan pakej perkahwinan yang bersesuaian dan bertepatan dengan majlis yang bakal berlangsung itu.
Pelbagai pilihan busana pengantin yang disediakan boleh membuat bakal Raja Sehari 'pening kepala' untuk membuat pilihan.
Beliau yang juga penganjur program berkata, seramai 34 usahawan terdiri daripada pengusaha perniagaan butik pengantin, jurusolek, katering dan syarikat percetakan berkumpul di bawah satu bumbung bagi mempromosikan perkhidmatan masing-masing.
"Mereka (peserta karnival) sebenarnya beruntung dapat menyertai karnival ini kerana ia secara tidak langsung mempromosikan produk dan pakej perkahwinan pada harga yang lebih rendah daripada kebiasaan.
"Pihak penganjur menawarkan kos sewa tapak yang sangat murah selama tiga hari jadi apa salahnya vendor menyediakan pakej murah dan berbaloi kepada bakal pengantin. Mereka juga yang untung dan 'nama' pun dapat.
"Sebelum menyertai pameran, pihak saya sudah berunding dan bersemuka dengan bakal vendor untuk membuat persetujuan menang-menang ini," katanya ketika ditemui di lokasi program baru-baru ini.
Penganjur Program yang juga pemilik Ujies Collection, Ujie Ariffin bersama model yang memperagakan busana pengantin selepas majlis perasmian karnival.
Berdasarkan perkongsian pengalaman perniagaan, Ujie berkata beliau sanggup mengetepikan soal keuntungan dan tidak meletakkan kos sewaan yang terlalu tinggi.
Ujie mengenakan sewaan gerai pada kadar RM800 untuk tiga hari dan turut mengehadkan penyertaan vendor untuk menjaga kualiti dan pendapatan penyewa.
"Secara tidak langsung, vendor juga boleh menawarkan harga pakej yang lebih rendah dan dipersetujui pelanggan.
"Kebelakangan ini industri perancangan perkahwinan alami kekangan dari segi kos. Saya biasa menyewa gerai sehingga ribuan ringgit untuk tempoh tiga hari sebelum ini.
"Dari situ saya terfikir untuk menganjur sendiri program dengan menawarkan sewa yang sangat murah.
"Promosi awal tahun dengan kos pemasaran yang rendah menjadikan saya lebih yakin dapat bangkit bersama dengan rakan seindustri.
"Mereka bukan pesaing tapi pemangkin untuk industri ini terus relevan pada masa depan," katanya.
Segak bergaya
Anggun mempersonakan
Karnival yang mengangkat songket sebagai konsep utama pameran itu memperagakan lebih 60 busana songket dalam tempoh tiga hari memberikan varian kepada bakal raja sehari.
Menurutnya, pemilihan konsep itu dibuat bagi mengangkat songket sebagai tradisi Malayu yang "tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan".
"Songket sinonim dengan pengantin dan perkahwinan. Ia pakaian raja daripada dulu, kini dan selamanya.
"Sebab itu ia disebut Raja Sehari. Apabila pakai songket, terserlah pengantin itu menjadi raja meskipun untuk sehari.
"Namun pada hari ini, material yang digunakan lebih ringkas dan sesuai dengan era semasa berbanding pada zaman dulu yang menitikberatkan benang emas daripada sutera.
"Perincian songket pada masa kini juga menggabungkan elemen elegan bagi menampilkan imej klasik dan 'classy' kepada pengantin," kata Ujie.
Mazlina Manshor (kanan) melihat gambar-gambar koleksi perkahwinan daripada Ujies Collection ketika melawat booth pempamer selepas majlis perasmian.
Hadir sama selaku perasmi majlis ialah Pengarah SIRIM Pahang, Mazlina Manshor yang juga Pengerusi Persatuan Wanita Evolusi Baru (PWEB).
Turut diadakan pertandingan mengukir inai, pertandingan solekan, gerai tercantik, demonstrasi dekorasi kek dan demonstrasi hantaran berpatutan.
Sementara itu, vendor yang juga pengasas RG Studio, Muhammad Rizuan Abdul Ghani, 30, berkata, harga yang dibincangkan adil kepada semua pelanggan dan pengusaha-pengusaha perniagaan di sini.
"Kebanyakan karnival sewa lot untuk tiga hari mencecah ribun ringgit. Tapi kali ni sangat murah. Bukan 'profit oriented' sebaliknya untuk membantu kami yang berada di dalam industri ini," katanya.
"Industri ini sedang 'sakit' sebenarnya tetapi kami perlu teruskan juga kerana ia adalah profession kami. Ada yang sudah jatuh dan kami perlukan satu alternatif lain untuk terus berdaya saing dan kekal lebih dalam industri ini.
"Ada banyak barangan yang dijual 'ready-made' dan orang yang bekerja pun sekarang terdesak nak cari duit lebih. Mereka pun buat pelamin dan tawar harga jauh lebih rendah.
"Jadi apa yang menempatkan kita pada mata pelanggan adalah kreativiti dan kelainan. Itu yang menjadikan kita berkualiti dan pilihan pelanggan," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Dellusie Production, Safwan Mohd Razi berkata, pihaknya turut menawarkan harga pakej penggambaran serendah RM1,500 dengan diskaun RM200 berserta hadiah percuma berupa gambar berbingkai (16x26 inci) khas kepada pengunjung gerainya. - Kitareporters.com