SATU kajian kesihatan untuk melihat penularan wabak di Wuhan dan Shenzen di China mendapati golongan darah jenis A lebih berisiko untuk dijangkiti wabak penyakit Koronavirus-2019 (COVID-19). Dan tindakan mereka yang "balik kampung" semasa arahan "duduk di rumah" atau "stay at home" ini membahayakan diri mereka, penumpang di dalam pengangkutan awam dan mereka di kampung. : KitaReporters


Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Prof Madya Dr Juliana Jalaludin berkata, kajian sampel terhadap 2,000 pesakit yang dijangkiti dengan virus di dua wilayah itu menunjukkan kebanyakannya dari golongan darah jenis A.

Katanya, manakala golongan darah jenis O didapati potensinya lebih rendah daripada dijangkiti wabak membunuh berkenaan.

"Kajian itu membabitkan populasi yang terjejas dan juga populasi yang sihat.

"Daripada 206 pesakit yang mati kerana Covid-19 di Wuhan, 85 adalah darah jenis A, iaitu 63 peratus lebih tinggi berbanding 52 peratus dengan jenis darah O.

"Ujian ini membabitkan semua peringkat umur dan jantina," katanya kepada KitaReporters.

Tambah beliau, golongan darah jenis A perlu meningkatkan tahap kesihatan yang tinggi seperti menggunakan topeng muka, PPE, pemakanan sihat dan makanan tambahan untuk meningkatkan tahap imunisasi. 

Prof Madya Dr Juliana Jalaluddin.



Menurut Dr Juliana, setelah perintah Kawalan Pergerakan diumum kerajaan bermula pada Rabu 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.

Apa yang dibimbangi, katanya, kesesakan orang ramai berpusu-pusu di perhentian pengangkutan awam seperti bas boleh menimbulkan implikasi berlakunya penularan wabak yang lebih cepat daripada biasa.

Pada Khamis, 19 Mac 2020 dilaporkan, Pejabat Kesihatan Kuantan mengesahkan seorang penumpang bas dari Johor Bahru ke Kuantan disahkan positif Covid-19.

Difahamkan, penumpang itu menjalani ujian saringan Covid-19 di Johor Bahru, tetapi tidak mengkuarantinkan dirinya.

Ramai yang berkumpul di terminal bas untuk membeli tiket balik ke kampung selepas Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan.


Sehubungan itu, Dr Juliana berkata, penularan wabak lebih mudah berpindah apabila berlaku aktiviti 'panik', bersesak membeli keperluan dan untuk pulang ke kampung.

Beliau menasihatkan pelajar-pelajarnya jika hendak pulang ke kampung naiklah kereta sendiri atau tumpang kawan yang sihat, bukan bersesak menaiki bas.

"Bas tidak didesinfeksi dan lain-lain pun sama, desinfeksi hanya dibuat setelah disahkan ada jangkitan.

"Bagaimana dengan virus yang berada sepanjang beberapa destinasi perjalanan bas? Tiada siapa tahu siapa yang sudah dijangkiti? Tambah lagi dalam bas dalam keadaan kelembapan tinggi.

"Bagaimana hendak kesan kontak pesakit turun naik bas, mana naik kereta mana pegang apa.

"Apa yang lebih membimbangkan adalah pembawa wabak lebih bahaya kerana dirinya tidak menunjukkan simptom tetapi boleh memindahkan wabak kepada mereka yang sistem imunisasi lemah," tegasnya.

Tambah beliau, seperti yang sudah dilaporkan, hanya kontak manusia sahaja yang disiasat dan disemak.

Kontak bukan manusia seperti bas tidak disiasat, maka bahaya terbuka lebih luas daripada kontak bukan orang, sebab itu virus merebaknya lebih cepat. 

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai supaya tidak perlu panik, amalkan kebersihan dan menjarakkan diri (social distancing) daripada orang ramai. - KitaReporters 

Kontak bukan manusia seperti bas tidak disiasat dan disemak, maka bahaya terbuka lebih luas daripada kontak bukan orang, - Gambar hiasan.

5
2
0
0
0

Copy Link: