SIAPA sangka aktivis tempatan terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat pada 25 Mei 2020. : KitaReporters

Khairudin Aziz (dua dari kanan) bersama anggota DFM dan wakil PEMADAM yang akan ke Amerika Syarikat pada 25 Mei 2020. 


Khairudin Aziz, 41, atau dikenali sebagai Khai antara lima penerima di bawah negara-negara PBB yang terpilih untuk menerima anugerah itu sempena Hari Anti Dadah Sedunia.

Lebih membanggakan, beliau satu-satunya penerima anugerah itu dari benua Asia.

Pemilihannya adalah berdasarkan sumbangannya yang aktif menerusi lebih 200 program kempen cegah dadah di sekolah, universiti dan kolej swasta bersama persatuan Bebas Dadah Malaysia (DFM) yang diasaskannya sejak sedekad lalu.

Malah dianggarkan 40 peratus masalah penagihan dadah berjaya dikurangkan kerana penglibatan aktif DFM, yang mana generasi muda mula beralih kepada muzik berbanding terjebak kepada masalah dadah yang merugikan.

KHAIRUDIN AZIZ...  menerima anugerah sempena Hari Anti Dadah Sedunia.


Usahanya menarik perhatian ramai sehingga diberi pengiktirafan oleh pelbagai pihak termasuk menerima Anugerah The Star Golden Heart pada 2016, Ikon Negaraku pada 2017, dan Pingat Jasa Kebaktian oleh Sultan Selangor.

Menggunakan muzik dan seni sebagai platform menyampaikan mesej kepada golongan belia yang menjadi sasaran mudah penyalahgunaan dadah, Khai dan dua lagi rakannya dalam kugiran DFM menghasilkan lagu bertajuk "Drug Free Anthem" yang digubah pada 2013.

Apa yang mengejutkan ia mula ditularkan oleh pengguna media sosial dan menarik perhatian dunia termasuk PBB.

Menurut Khai, lagu berkenaan juga terpilih sebagai lagu rasmi Hari Anti Dadah Sedunia yang akan dipersembahkan di hadapan lebih 30 delegasi negara di bawah PBB seluruh dunia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pencegahan dadah.


"Lagu itu akan dibawa dan dinyanyikan mengikut bahasa negara masing-masing.

"Kami dijangka berada di sana selama seminggu dan program bermula pada 25 Mei ini.

“Lagu gubahan DFM ini sudah diperdengarkan kepada masyarakat menerusi lebih 200 program pencegahan dadah yang kami anjurkan.

“Sukarelawan yang mengikuti DFM sudah mencecah 10,000 orang dan kami berharap dapat menyampaikan mesej berkesan mengenai bahaya dadah melalui muzik,” katanya kepada wartawan pada Jumaat, 13 Mac 2020.

Pemilihan Khai difahamkan berdasarkan sumbangannya sebagai aktivis cegah dadah yang aktif sejak 10 tahun lalu.

Pembabitan Khai dalam DFM selepas melihat sendiri penderitaan arwah abangnya yang telah meninggal dunia akibat terbabit dengan dadah.

Tolong DFM kumpul RM50,000 untuk ke Amerika Syarikat bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Anti Dadah


Bagaimanapun, DFM memerlukan bantuan orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi menampung kos menghadiri Persidangan Antarabangsa Anti Dadah di Amerika Syarikat yang dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Seramai lima ahli DFM serta dua wakil daripada PEMADAM akan menjejak kaki ke Amerika Syarikat.

“DFM berhasrat untuk membawa pulang ilmu dan pengalaman mencegah dadah yang bakal diperolehi di persidangan itu bagi dimanfaatkan kepada rakyat negara ini.

“DFM tidak menerima dana daripada mana termasuk dari Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.

“Ahli-hli kami tidak memiliki sumber pendapatan lain kerana memberi tumpuan penuh kepada aktiviti kemasyarakatan dan program pencegahan rasuah ke semua sekolah dan universiti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan dialu-alukan ke akaun Bank Islam milik Drug Free Youth Assosiation 12270010006300 atau hubungi DFM menerusi talian 01122114500. - KitaReporters



1
0
0
0
0

Copy Link: